Gerak geri anda jadi perhatian. Poster dari PPIM


AKIBAT suami berhutang dengan ah long dan isteri serta anak-anak tidak tahu menyebabkan seorang ibu bersama empat anak melalui detik mencemaskan dalam hidup selama hampir setahun akibat dikejar ejen sindiket pinjamanan wang haram

Kerana diugut dengan pelbagai cara termasuk mencurah cat di laman rumah, mereka terpaksa meminta perlindungan polis yang kemudian menyembunyikan keluarga itu, di pusat perlindungan terpencil di pinggir ibu negara.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ah long:

https://kitareporters.com/search?search=ah+long



Sehubungan itu mangsa terbabit mengingatkan semua pihak termasuk para suami janganlah sesekali meminjam wang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana yang menjadi mangsanya adalah anak-anak dan isteri.

Ini turut diakui Pengerusi Kelab Usahawan Muslim Profesional, Juwita Abu yang menasihatkan para peniaga jangan meminjam daripada ah long bagi menampung perniagaan pada musim Covid-19 ini kerana jika perniagaan mereka gagal, kesan lebih teruk lagi apabila hutang itu tidak dapat dibayar.

Pengalamannya membantu peniaga yang percayakan ah long, meminjam wang bagi pihak syarikat menggunakan nama sendiri, menyebabkan ramai wanita terpaksa lari bersembunyi, kehilangan rumah, kereta dan nama disenaraihitamkan sehingga tidak boleh meminjam dengan bank kerana diisytiharkan muflis.


Juwita Abu


"Jangan sesekali meminta bantuan sindiket ceti haram ini kerana jika tidak membayar hutang dan `bunga`,  ramai yang menderita termasuk tekanan jiwa kerana terpaksa bersembunyi," katanya.

Dalam satu kes, wanita ini (yang tidak dinamakan demi keselamatan) terpaksa meminta perlindungan polis dan mereka ditempatkan di sebuah asrama rumah perlindungan untuk orang-orang cacat, bayi kurang upaya dan ibu-ibu tua yang dibuang oleh anak-anak untuk menggelak dikesan oleh ah long.

Wanita itu menceritakan, suaminya terpaksa meminjam ah long kerana `perniagaannya` merosot teruk dan pinjaman itu bagi membayar hutang lama. Suaminya, pinjam duit ah long seperti `gali lubang tutup lubang` sehingga mencecahan ratusan ribu ringgit, tanpa pengetahuan isteri dan anak-anaknya.

Apabila sudah bertimbun hutang dan bunga, ah long mula mengugut wanita itu melalui telefon, kemudian mengganggu dengan `berhimpun` di depan rumahnya siang dan malam sebelum tindakan terakhir mereka mencurahkan cat di laman rumahnya.


Gambar hiasan daripada poster diusahakan oleh PPIM


"Ketika itu anak-anak saya sedang menduduki peperisaan UPSR dan SPM. Apalagi mereka sangat takut dan saya kemudian membuat laporan polis untuk meminta perlindungan. Sejak itu, kehidupan kami dah macam cerita Hollywood, masuk program perlindungan saksi dan terpaksa diiringi polis jam 2 pagi untuk lari dari rumah ke pusat perlindungan itu.

"Selama tiga bulan kami menumpang di asrama kerajaan ini dan sepanjang tempoh itu melalui pelbagai pengalaman. Kami turut membantu anak-anak cacat, melihat ibu tua menangisi diri ditinggalkan anak-anak dan lelaki serta wanita yang menghadapi tekanan jiwa keterlaluan sehingga membogelkan diri sambil berjalan ke hulu ke hilir dalam asrama," katanya.

Sementara itu, anak-anaknya terpaksa diiringi polis sehingga habis menduduki peperiksaan dan ada seketika itu mereka tidak berani pulang ke rumah, terus balik bersembunyi di kampung di utara akibat trauma nyawa diancam oleh sindiket ceti haram berkenaan.

Akhirnya, mereka berunding untuk menjelaskan pinjaman itu secara ansurans RM100 sebulan. Barulah berasa `sedikit` selamat walaupun ada ketika ini, anak-anaknya masih `ketakutan` mendedahkan diri kepada masyarakat.



Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ukhwah Fillah, Murniati Usman (gambar) ketika menceritakan pengalamannya mengendalikan kes ah long ini nyaris mengancam nyawanya sendiri. Ini kerana pinjaman yang perlu dia selesaikan meningkat kepada RM200,000, dan ah long melakukan pelbagai taktik ugutan untuk mendapatkan wangnya berserta `bunga` itu kembali.

Mula-mula dia mampu membayar hutang itu, kemudian selesai satu ah long, ada lagi deretan hutang lain yang saling berkaitan dengan rangkaian yang juga kawan-kawan ah long tadi. Mereka sengaja `menjerat` peminjam supaya menyambung hutang sampai mencecah ratusan ribu ringgit.

"Fizikal ah long ni gemuk, hitam dengan giginya macam `raksasa`. Manakala tubuhnya penuh dengan tato dan wajahnya yang bengis itu memang sesuai sungguh dengan kerja mereka mengugut pemimjan.

"Inilah wang yang saya ada. Jika encik mahu atau tidak, saya tidak mampu membayar semua hutang itu dan jika saya dibunuh sekalipun, encik akan timbulkan masalah lain." katanya sambil memberitahu ah long itu kemudian menghapuskan pinjamannya dan dia `dilepaskan`.

Malah ada ah long itu pula bertanyakan peluang kerja untuk mengubah dirinya.

"Jika anda berhutang dengan ah long yang tidak berlesen, jangan bimbang mereka hanya mereka-reka ugutan itu kerana mahu kutip hutang. Buat laporan polis kerana ah long ini sebenarnya lagi takut pada kita yang tahu undang-undang dan tahu, mereka beroperasi tanpa lesen," katanya.




Sementara itu, Ketua ativitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dipetik daripada akaun Facebooknya memberitahu, ah long kini menggunakan istilah perah sampai kering, dengan mengenakan caj tinggi kepada peminjam sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

Dalam laporannya kepada sebuah akhbar tempatan, beliau berkata dalam kes terbaru seorang peminjam kini dihimpit  hutang apabila terpaksa membayar lebih RM100,000 untuk pinjaman bernilai RM1,000. Secara keseluruhan PPIM menerima aduan 30 peratus meningkat daripada biasa.

Malah ada ah long menjadikan PKP sebagai tema untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai yang terdesak termasuk peniaga dengan alasan membantu mereka. Namun ia pada peringkat awal saja kerana selepas itu peminjam perlu bayar caj yang tidak masuk akal. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: