PENDUDUK empat kampung dan satu rancangan Felcra di kawasan pedalaman Hulu Besut, Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaporkan memerlukan bekalan beberapa barangan asas terutama untuk kegunaan kanak-kanak dan wanita kerana bekalan barangan terbabit didakwa sudah kehabisan. 

Antara barangan yang dikatakan sudah kehabisan stok di kedai dalam kawasan PKPP terbabit termasuklah bekalan ubat-ubatan, susu kanak-kanak, pampes (lampin pakai buang), tuala wanita dan beberapa barangan keperluan lain.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD 


Sekolah Kebangsaan Keruak, Hulu Besut


Menurut mereka, kesemua barangan tersebut terputus sejak beberapa hari lalu disebabkan kebanyakan kedai menjual barangan runcit di kawasan PKPD terbabit tidak mendapat bekalan baharu akibat pelaksanaan perintah berkenaan. 

Empat kampung yang terjejas dengan bekalan barangan tersebut ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baharu, Kampung Keruak,Kampung Pak Sik dan Rancangan Tanah FELCRA Keruak yang terletak dalam kawasan PKPD. 

Tular dalam media sosial seorang wanita meluahkan permasalahan tersebut dan meminta pihak berwajib memberi pelepasan untuk kemasukan barang-barang keperluan ke kawasan terlibat.


 

Rancangan Tanah Felcra Keruak, Hulu Besut


Menurut wanita tersebut, Narizan Wahid sebelum ini mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut kerana ada dijual di kedai tetapi selepas PKPD dilanjutkan semula sehingga 27 April 2021 stok barangan kini sudah habis. 

Keadaan bertambah parah, kerana kampung terbabit berada jauh di pedalaman dan hanya mempunyai kedai kecil-kecilan yang cukup untuk menampung keperluan dalam tempoh seminggu sahaja.


 

Tular dalam media sosial bahawa penduduk di kawasan PKPD di Hulu Besut, kehabisan stok barang keperluan.


Petugas mengagihkan bekalan barangan keperluan kepada penduduk kampung dalam kawasan PKPD di Hulu Besut


Bagaimanapun, barangan keperluan dapur tidak terjejas kerana pihak berkuasa ada menyediakan bantuan khas yang dihantar dari rumah ke rumah setiap tiga hari sekali. 

“PKPD pulak di lanjutkan sampai 27 April 2021 dan  kami reda... tetapi macam mana kami nak teruskan kelangsungan hidup kalau keperluan penting kami tidak dapat dibawa masuk,” tulis wanita tersebut.


Abdul Rozak Muhammad


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, masalah tersebut sudah dibawa kepada pengetahuan Pegawai Daerah Besut untuk diambil tindakan dan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

Katanya, ketika ini pihaknya membenarkan saudara mara dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hendak mengirim barang keperluan kepada penduduk di kawasan terbabit dibenarkan menghantar melalui pejabat  Jabatan KebajikanMasyarakat (JKM) Daerah Besut. 

“Petugas JKM akan menerima barangan berkenaan dan mereka akan menghantar mengikut nama dan alamat yang diminta pengirim,” katanya.


Sementara itu, situasi semasa COVID-19 di Terengganu pada 19 April 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan 33 kes discaj dan lapan kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 188 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,903 kes. 

Kesemua 188 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. - KitaReporters


3
2
14
3
1

Copy Link: