PEMAIN-PEMAIN KL City FC memberikan isyarat terima kasih kepada sokongan padu penyokong Si Helang. - Kredit foto: KLC


KUALA Lumpur City FC (KL City FC) terpaksa menanggung padah gara-gara para penyokongnya yang terlalu seronok meraikan kemenangan dalam suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 dengan mencerobohi padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 18 November 2021.

Si Warga Kota dihukum bermain tanpa penonton dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Melaka United FC di stadium sama pada Isnin, 22 November 2021 ini dan mereka selaku tuan rumah, bersetuju tidak akan menjual tiket-tiket perlawanannya.

Tindakan para penyokong KL City FC meraikan kemenangan terhadap Selangor FC 1-0 itu didapati melanggar peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkaitan peraturan prosedur operasi standard (SOP) penonton perlawanan Piala Malaysia dan manual Liga Malaysia 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

SEKUMPULAN penyokong KL City FC mencerobohi padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kerana terlalu seronok dengan kejayaan pasukan mara ke separuh akhir Piala Malaysia. - Kredit foto ZZ 



“Insiden itu telah dikemukakan kepada Lembaga Pengarah MFL, semalam (18 Novermber 2021) yang mendapati, tuan rumah bersalah melanggar peraturan Bahagian 3 (v) SOP dan manual Liga Malaysia 2021: Artikel 4.7.2 yang menghendaki penonton mengamalkan penjarakan fizikal.

“MFL telah menerima laporan bahawa ada sebahagian penyokong telah melompat pagar dari tempat duduk penonton dan berlari ke dalam padang untuk meraikan kemenangan bersama pasukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam siaran media, 19 November 2021.


STUART RAMALINGAM


KL City FC bimbingan Bojan Hodak mara ke separuh akhir dengan agregat 3-0 dalam pertembungan jiran Lembah Klang itu untuk menentang Melaka United FC yang menyingkirkan Sabah FC agregat 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 18 November 2021.


KL City FC (merah) dengan tonggak serangannya, Hadin Azman menghampakan Selangor FC dalam suku akhir. - Kredit foto KLC


Sebaliknya Terengganu FC hanya diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat berhubung insiden para penyokongnya yang turut mencerobohi padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor.


PARA penyokong setia Terengganu FC turut teruja dengan kegarangan skuad Nafuzi Zain membenam Sarawak United dalam suku akhir. - Kredit foto: TFC


“Dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia menentang Selangor FC pada 7 November 2021, beberapa pemain Terengganu FC didapati tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan berlari ke arah mereka untuk meraikan gol keduanya.

“Beberapa penyokong turut didapati melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan memasuki padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC.

Terengganu FC telah melanggar Bahagian 3(v) SOP kemasukan penonton perlawanan Piala Malaysia 2021 berhubung penjarakan itu,” kata Stuart.

MFL katanya, turut mendapati Terengganu FC telah melanggar klausa 4.7.2(i) (f) (5) peraturan pertandingan dalam manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib. - KitaReporters


TFC (jersi hitam hijau) diberikan amaran keras akibat pemain dan penyokongnya melanggar SOP penjarakan fizikal ketika menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. - Kredit foto: TFC

10
12
0
18
0

Copy Link: