'MALAYSIA Di Hatiku’, begitu judul lagu yang dibawakan oleh empat penyanyi generasi muda - Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan anggota kumpulan Dolla, Tabby, dalam menyampaikan kecintaan mereka kepada tanah air tumpahnya darah sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-64 tahun ini.

Mereka bersatu hati menghadiahkan sebuah karya patriotik segar sekali gus menyuntik semangat kekitaan walaupun hampir dua tahun negara bergelut dengan pandemik COVID-19.

Antara bait lirik lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca yang berbunyi, 'sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan sepenuh jiwaku Malaysia", bagaikan sebuah metafora menceritakan apa sahaja terjadi, kasih dan cinta terhadap negara ini tetap tiada tara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kemerdekaan


Begitulah harapan empat artis generasi baharu ini dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan tahun ini meskipun sudah hampir dua tahun kita bergelut dengan wabak berbahaya koronavirus.

"Memang rata rata semua daripada kita bergelut saat ini. Namun kehidupan tetap harus dilalui walau bagaimana cara atau solusi pun. Semoga kehadiran lagu dengan sentuhan moden, klasik, 'catchy' dan 'hype' ini akan terus meniup motivasi dan semangat buat kita semua,” ujar Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim.

Optimis karya baharunya itu akan menjadi pilihan masyarakat pelbagai lapisan umur  yang mempunyai rasa cintakan negara, Kmy menzahirkan harapan agar lagu berkenaan dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia berbilang bangsa. 

Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca telah dilancarkan pada 16 Ogos 2021.



Bagi rakan duo serasinya, Shameer Ashraf Shahruddin atau lebih dikenali dengan panggilan Luca, lagu nyanyian bersama mereka itu merupakan cubaan kali pertamanya menyanyikan bahagian rap tanpa bertindak sebagai penerbit.  

“Kebiasaannya saya menerbitkan lagu dan menyanyikan rap sekali harung,” kata Luca sambil mendedahkan rakaman lagu ‘Malaysia Di Hatiku’ dilakukan secara berasingan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Jun dan Julai 2021 lalu.

Tambahnya, ada yang merakamkan bahagian suara masing masing di rumah sahaja seperti Yonnyboii dan Tabby,

Penyanyi Yonnyboii akui berdepan sedikit cabaran saat merakamkan karya berkenaan terutamanya pada bahagian korus apabila perlu disuai padankan dengan vokal Tabby yang tinggi.

"Jadi solusinya vokal saya terpaksa diturunkan 'key' untuk mengimbangi suara Tabby. Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam 'best' pula mendengarkan kombinasi suara kami berempat yang saling melengkapi,” cerita plantun lagu ‘Salahku’  bernama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ini.

Bagi Tabby yang menjadi sekuntum bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini, peluang

menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia sudah lama diimpikan.

Biarpun projek berkenaan tidak membabitkan bersama anggota kumpulannya, Dolla namun kata Tabitha Ariel Lam, pembabitannya disifatkan cukup bermakna memandangkan Malaysia sentiasa kekal di hati sampai bila-bila.



“Paling utama saya boleh katakan kehadiran lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut pada era pandemik ini. Apa terjadi, kita tetap akan menang pada pengakhirannya. 

"Moga ujian berat ini akan cepat pergi dan kita terus bersatu. Jangan ada anasir atau apa saja ujian boleh memisahkan semangat cintakan negara.” tambah Tabby sambil menyifatkan pengalaman bekerja dengan Kmy, Luca dan Yonnyboii sesuatu yang amat berharga.

Sambung Tabby, mereka bertiga umpama senior dan abangnya malah berasa bangga dapat bersatu dalam menyampaikan sebuah lagu dengan penuh emosi dengan sentuhan genre muzik dari moden hingga tradisional waima seni muzik itu tidak ada sempadan. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: