Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia! Tahun 2019 lebih sejahtera daripada 2018! Tahun 2020?
Published byBAGI menentukan tahap kesejahteraan hidup rakyat di negara ini, kerajaan kita mengguna pakai kaedah khas untuk mendapatkan fakta berkenaan. Kaedah yang diberi nama Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) itu diselia dan dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia. Sejahterakah rakyat Malaysia? : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Jabatan Perangkaan:
https://kitareporters.com/search?search=jabatan+perangkaan
Untuk IKRM tahun 2019, Jabatan Perangkaan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 121.0 mata berbanding 120.3 mata indeks pada tahun 2018.
Kejayaan yang cukup mengembirakan ini telah disumbangkan oleh peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada tahun 2019.
Pengiraan IKRM bagi tahun 2019 meliputi 26 indikator ekonomi dan 42 indikator sosial, dengan keseluruhannya 68 indikator. Setiap indikator ini adalah selaras dengan keperluan dan situasi semasa di negara kita.
Terbaharu, laporan berkenaan turut mengalami proses tambah baik dengan menambahkan satu indikator baharu iaitu penyakit berjangkit dalam komponen kesihatan pada indikator kesejahteraan berkenaan.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, peningkatan indeks ini sebenarnya didorong oleh pertumbuhan kesejahteraan ekonomi dalam negara iaitu 2.3 peratus kepada 131.8 mata indeks pada tahun 2019 berbanding 128.8 mata indeks pada tahun 2018 sebelumnya.
Namun demikian, Jabatan Perangkaan merekodkan kesejahteraan sosial telah mengalami penurunan sebanyak 0.6 peratus daripada 115.6 mata indeks pada tahun 2018 kepada 114.9 mata indeks pada tahun 2019.
Tambah Mohd Uzir lagi, kelima-lima komponen ekonomi dan enam daripada sembilan komponen sosial mencatatkan pertumbuhan yang ketara dan positif pada tahun 2019.
"Tiga indeks tertinggi dalam kesejahteraan ekonomi adalah komponen pengangkutan (139.6 mata indeks), diikuti komponen pendidikan (133.2 mata indeks) dan komunikasi (130.9 mata indeks).
"Manakala dari segi kesejahteraan sosial pula, tiga indeks tertinggi ialah hiburan dan rekreasi (132.5 mata indeks), keselamatan awam (132.3 mata indeks) dan tadbir urus (122.7 mata indeks)," katanya.
IKRM ini boleh dijadikan penanda aras dalam kita melihat sejauh mana kualiti hidup masyarakat di negara ini.
Adakah indeks kesejahteraan rakyat kita akan kian meningkat untuk tahun 2020 dan 2021 ini memandangkan kita sedang berhadapan dengan serangan pandemik COVID-19? - KitaReporters