Video| Anuar akui sukar cari keserasian bersama Ziana! Yakin konsert 6 Ogos momen kolaborasi indah!
Published bySELEPAS lebih kurang 12 tahun tidak berkongsi satu pentas, pasangan penyanyi adik beradik, Ziana Zain, 54, dan Anuar Zain, 52, bakal berkolaborasi dalam konsert skala besar di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2022 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.
Diberi judul Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022, anjuran Trumpet International Sdn. Bhd, tiket konsert yang baharu dibuka secara dalam talian pada semalam (19 Mei 2022) menyaksikan tiket VIP berharga RM1,188 dan zon Perak bernilai RM988 ‘sold out’ dalam tempoh 3 jam ia dibuka melalui platform www.excitix.com.my malah tinggal 50% lagi jualan tiket yang masih ada pada harga RM288, RM588 dan RM788.
Tidak syak lagi dengan kapasiti penuh seramai 2,900 yang boleh dimuatkan dalam Dewan Plenari KLCC, tiket konsert laris bagaikan goreng pisang panas. Begitu hangatnya penangan kedua penyanyi popular kesayangan ramai ini nampaknya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anuar Zain
“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini,” ujar Anuar Zain ketika ditemui pada pelancaran Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada semalam, 19 Mei 2022.
Turut hadir Ziana Zain serta bekas pemain badminton negara, Koo Kien Keat selaku jurucakap penganjur merangkap Pengarah Eksekutif XOX Networks Berhad bersama Pengerusinya, Tengku Ezuan Ismara Tengku Nun Ahmad dan Pengarah Muzik, Jennifer Thompson.
Dari kiri: Anuar Zain, Ziana Zain, Tengku Ezuan Ismara dan Koo Kien Keat.
"Konsert ini akan menjadi ‘golden moment’ bukan sahaja buat peminat tetapi kami dua beradik,” sambung Ziana Zain sambil bersyukur di atas kepercayaan dan keberanian yang diberikan pihakj penganjur kepada mereka kala dunia hiburan tempatan baharu ingin giat semula.
Tambah pelantun ‘Madah Berhelah’ ini lagi, bukanlab pertama kali berkolaborasi dalam konsert skala besar bersama adiknya, Anuar, namun menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.
Sambung Anuar apabila menerima tawaran tersebut, kedua-dua mereka tidak berfikir panjang tetapi menerima rezeki yang datang atas kehendak Allah SWT jua.
“Walau pun range vokal kami berdua berbeza dan memang sukar untuk membawa lagu masing-masing tetapi kami akan cuba memberikan persembahan terbaik buat peminat yang merindukan kolaborasi kami,” jelas Anuar Zain.
Bakal memberi persembahan yang akan menjadi ‘mimpi indah’ selama 90 minit, kedua-dua penghibur ini dijangka melantunkan lagu-lagu malar segar dan popular yang telah menjulang nama mereka dalam persada muzik tempatan.
“Kami akan mendendangkan lebih kurang 6 lagu solo setiap seorang dan berduet dalam empat buah lagu secara acapella,” tambah pelantun ‘Lelaki Ini’ lagi.
Dan bagi Ziana sendiri, 'Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022' disifatkan sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai pelaku seni.
“Walaupun kami tidak pernah ada sebuah lagu bersama tetapi demi peminat kami akan berduet dan akan ada kejutan buat semua,” Ziana membayangkan.
Koo Kien Keat (kanan) menyempurnakan pelancaan konsert bersama Anuar dan Ziana Zain,
Sementara itu, Koo Kien Keat melahirkan rasa bertuah di atas penganjuran dan kerjasama julung kali Trumpet International Sdn. Bhd bersama idola ramai Anuar dan Ziana Zain.
Beliau menyifatkan penganjuran 'Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022' akan menjadi pengubat rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan adik beradik tersebut selepas pelbagai aktiviti seni termasuk konsert bagai ‘terhenti’ kerana pandemik.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Anuar dan Ziana malah pernah berangan-angan mahu menganjurkan konsert mereka dan kini tidak sangka impian itu menjadi realiti,” jelas Koo Kien Keat ketika ditanya kenapa memilih Anuar dan Ziana.
Menurut beliau, penganjuran konsert ini merupakan kesempatan yang sangat hebat apatah lagi berjaya membawakan dua penyanyi dengan vokal emas dalam kolaborasi yang pertama kali diadakan dalam sejarah hiburan tempatan di Malaysia.
“Kami percaya 'Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022' akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan,” tambah Koo Kien Keat yang turut berharap akan ada lebih banyak syarikat lain memberi sokongan kepada anak seni dalam penganjuran pelbagai konsert pada masa akan datang.
Informasi lanjut mengenai konsert boleh layari www.trumpet.com.my serta Facebook @trumpet.international dan Instagram @trumpet_international atau berhubung terus melalui talian 010 309 8998.
Dalam perkembangan lain, menyentuh soal jodoh, Ziana Zain atau nama penuhnya, Siti Roziana Zain, yang sudah kembali ‘solo’ sejak bercerai dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dikahwini selama 20 tahun, pada 12 Julai 2018 mengaku belum terbuka untuk mencari pengganti.
“Tumpuan saya sekarang hanyalah untuk terus aktif menyanyi dan bahagia di samping anak-anak, soal jodoh saya tidak berani nak kata pintu hati sudah tertutup tetapi berserah kepada ketentuan dan perancangan Allah SWT yang lebih mengetahui,” akhiri ibu kepada empat orang anak ini. - KitaReporters