PROGRAM TV berkonsepkan bantuan kewangan bagi melunaskan bebanan hutang, ‘Mikrofon Impian’ kembali untuk musim kedua. Kali ini melibatkan seramai 39 peserta, terdiri daripada 29 lelaki dan 10 wanita yang akan mula bersiaran setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 27 Disember 2020 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123): KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan Astro:

https://kitareporters.com/search?search=Astro


Lebih menarik, program yang diadaptasi daripada ‘game show’ nyanyian nombor 1 di Thailand ini memperlihatkan suntikan baharu berbanding musim pertama di mana kali ini penyertaan turut dibuka kepada orang ramai yang ingin membantu golongan kurang bernasib baik dengan menyumbang suara mereka bagi mewakili pihak individu yang ingin dibantu.

Sudah tentu penyertaan begini memberi lebih peluang kepada peserta yang benar-benar inginkan bantuan tetapi kurang berbakat dalam nyanyian tidak ketinggalan diberikan hak sama seperti individu yang pandai menyanyi.



Malah satu kelainan lain yang diketengahkan apabila ‘Mikrofon Impian’ turut bekerjasama dengan saluran pengumpulan dana sosial menerusi platform ‘KitaFund’ khusus untuk orang ramai yang ingin menyumbangkan bantuan kewangan untuk keperluan perubatan, kemanusian, haiwan dan juga pendidikan.

“Di kesempatan ini, ingin kami tegaskan bahawa jumlah sumbangan bukanlah untuk dijadikan ukuran utama tetapi nilai ingatan kepada mereka yang memerlukan lebih diberikan perhatian sewajarnya,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal.

Menurut Emarina, kembali serba baharu dengan kes dan situasi yang berbeza, musim kedua ‘Mikrofon Impian’  kali ini bakal menyaksikan barisan artis ternama menyertai juri tetap, Fauziah Latiff dan Azmi Saat dengan Datuk Aznil Hj Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil turut dikekalkan sebagai pengacara.




Antara barisan juri jemputan yang akan diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu selama tempoh 13 episod terdiri daripada Ameng, Lisa Surihani, Syamel, Hazama, Erra Fazira, Azlan The Typewriter, Ernie Zakri, Akim Ahmad, Ezad Lazim, Siti Sarah, Dato’ Hattan, Dato’ Rosyam Nor dan Liza Hanim.

Lebih menarik lagi apabila peruntukan bantuan kewangan yang diberikan untuk musim ini juga bukan sekadar memfokuskan untuk membantu melangsaikan bebanan hutang semata-mata tetapi turut merangkumi pelbagai masalah kewangan yang lain seperti bagi membiayai kos rawatan perubatan, dijadikan sebagai modal perniagaan, menampung kos harian akibat kehilangan pekerjaan, meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas akibat krisis Covid-19 dan sebagainya. 

Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing. 



“Tiga peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod. Mereka akan diminta untuk menjelaskan situasi kewangan yang dihadapi sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri. Peserta yang berjaya memikat hati juri akan mara ke pusingan akhir untuk menentukan jumlah wang tunai yang bakal dimenangi,” jelas Emarina berkaitan format penambahbaikan terbaharu berbanding musim pertama.

Tambah Emarina, beliau percaya musim kedua ini akan lebih meruntun jiwa penonton apabila mereka berpeluang menyaksikan banyak momen menyayat hati ketika ada antara juri-juri yang turut sama berkongsi kisah peribadi mereka yang tidak pernah diketahui umum.

Penonton bakal menyaksikan Azlan The Typewriter dan Dato Rosyam Nor contohnya mengalirkan air mata setelah mendengar kisah menyayat hati tentang masalah yang dihadapi peserta waima Dato Hattan pula dilihat bangun memberikan ‘standing ovation’ pada kala peserta membuat persembahan.



Antara lain, termasuklah menyaksikan momen manis yang cukup menyentuh hati apabila seorang anak yang pernah dibuang keluarga disatukan semula dengan keluarga tercinta setelah dapat menebus kembali kesilapan silam dan mendapat kemaafan daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Musim ini juga turut merealisasikan impian seorang anak untuk bertemu kembali dengan ayah kandung yang telah terpisah selama lebih dari 20 tahun,” sambung Emarina sambil berharap semoga kes-kes yang ditonjolkan selama 60 minit bagi musim ini dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi, motivasi dan pemangkin semangat kepada masyarakat untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan berkualiti.

Program ‘Mikrofon Impian’ juga merupakan antara program realiti nyanyian yang tidak meletakkan had umur maksimum kepada peserta yang mana pada musim terbaharu ini peserta tertua yang menyertai berusia 53 tahun manakala peserta termuda pula berumur 18 tahun. 

Jadi sekali lagi pastikan anda tandakan kalendar pada 27 Disember 2020 ini di saluran Astro Ria dan Ria HD malah untuk pilihan yang lebih fleksibel, boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’. - KitaReporters


2
0
0
0
1

Copy Link: