Video| Seminggu rahsiakan berkahwin! Nad Zainal, Ungku nikah 1 Rejab 1444, 23 Jan 2023! Umum 29 Jan!
Published byHUBUNGAN cinta secara senyap antara dua insan seni Farah Nadia Zainal Abidin (Nad Zainal), 33, dan Ungku Ismail Ungku Abd Aziz (Ungku Ismail), 37, akhirnya dihalalkan apabila kedua-duanya selamat diijab kabul pada Isnin, 23 Januari 2023 bersamaan 1 Rejab 1444 dengan mas kahwinnya RM1,000.
Perkara itu diumumkan oleh Nad dan Ungku Ismail dalam Instagram masing-masing pada Ahad, 29 Januari 2023 iaitu seminggu setelah menjalani kehidupan bulan madu. Namun Nad tidak menyatakan lebih lanjut mengenai perkahwinan itu termasuk tempat ia diadakan.
Dalam hantaran tersebut, Nad memuat naik foto pernikahannya dengan Ungku Ismail, termasuk gambar mas kahwin yang tertera sebanyak RM1,000, berserta kapsyen ringkas iaitu ‘Alhamdulillah’.
Berita pernikahan pasangan selebriti itu mula tular apabila mereka memuat naik video teaser majlis terbabit yang didakwa berlangsung pada minggu lalu di lokasi yang dirahsiakan dalam laman Instagram masing-masing.
Melihat pada video yang berdurasi 10 saat itu, ia memperlihat mereka berpegangan tangan masuk ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini secara ringkas hanya meletakkan kapsyen emoji berbentuk cinta selain meletakkan tarikh 23 Januari 2023 dipercayai tarikh mereka melangsungkan pernikahan.
Sementara itu, pereka fesyen Seth & Luna juga juga berkongsi video persiapan Nad dan Ungku Ismail sebelum diijab kabul yang memberitahu mereka telah diberikan kepercayaan untuk menghasilkan busana pernikahan pasangan berkenaan.
Mereka antara individu yang memegang rahsia kedua-dua mempelai sebelum Nad dan Ungku Ismail memaklumkan berita gembira ini secara umum kepada peminat.
Nad pernah mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Faliq pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 7, dan Budi Kalsom, 2.
Bagaimanapun, awal September 2022, Nad mengumumkan rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun berakhir dengan penceraian.
Sementara itu Ungku Ismail pernah mengakui Nad adalah wanita paling rapat dengannya. Ketika Nad dimasukkan hospital akibat jangkitan paru-paru pada 20 November 2022, Ungku Ismail banyak berkongsi perkembangan mengenai pelakon itu kepada peminat.
Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah atas perkahwinan itu.
"Alhamdulillah tahniah Nanad," tulis pelakon dan pengacara Elly Mazlein.
"Selamat berbahagia di dunia akhirat. Amin," tulis pelakon Nur Fazura.
"Congratulations (tahniah), sampai syurga korang (kalian)," tulis pelakon dan pengacara Janna Nick.
"Happy for you babe (gembira untuk awak sayang)," tulis pelakon Ummi Nazeera.
Sementara itu Rozita Che Wan menulis, "Congrats (tahniah) Nanad (nama panggilan Nad)." - KitaReporters