Era pembaharuan! 3 Pagi Era bersama Nabil, Azad, Radin! Ganti JoHaRa Pagi Era! Pengisian baharu!
Published byAzad, Nabil dan Radin akan kendalikan program '3 Pagi Era' mulai 18 Julai 2022 ini.
Setelah 10 tahun menghiburkan pendengar pagi radio Era FM, siaran popular ‘JoHaRa Pagi Era’ yang dikendalikan oleh Johan, Haniff dan Ray melabuhkan tirainya apabila tiada lagi keletah dan celoteh ‘Mak Jemah’ akan kedengaran mulai 18 Julai 2022 ini.
Sebaliknya, ia akan digantikan dengan tiga jejaka versatil, Nabil, Azad dan Radin melalui siaran yang diberi nama ‘3 Pagi Era’.
Pun begitu bukan bermakna mereka akan bersiaran jam 3 pagi tetapi 3 jejaka ini akan menemani pagi anda di radio No 1 di Malaysia itu setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan radio Era FM
Majlis sidang media yang berlangsung dari kiri Hani, Azad, Nabil, Radin, Isha, Haniff, Ray, Muna Bella dan Fazziq.
“JoHaRa adalah legend dan kami sebagai penyambung legasinya akan memberikan yang terbaik dan membawa gelombang baharu yang menggemparkan lagi pagi hari pendengar,” ujar Nabil Ahmad ketika ditemui bersama dua gandingannya, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy pada majlis Pengenalan Personaliti dan Program Baharu Radio Era di Tiffin At The Yard, Sentul Depot pada Jumaat, 15 Julai 2022.
Turut bersama mereka, Hani Fadzil, Pengurus Kandungan Era serta penyampai radio baharu dan lama ERA antarnya, Haniff Hamzah, Ray, Munna Bella, Isha Norsham serta personaliti baharu Era. Fazziq Muqris.
Berkongsi lanjut, Nabil memberitahu, akan mengetengahkan jenama yang diciptakannya 14 tahun lalu iaitu ‘Lu Fikir’ sebagai salah satu daripada segmen ‘3 Pagi Era’ di samping pengisian lain meliputi ‘Lagu Berantai’, ‘Flex Jap’, ‘Sembang’ dan ‘Cekepi”.
“Cekepi atau ‘cerita kedai kopi’ merupakan sketsa perbincangan isu-isu tular dalam media sosial yang dilakonkan dengan konsep di kedai makan oleh personaliti Era,” sambung Radin.
Malah bagi Azad Jasmin yang baharu 4 bulan berkecimpung sebagai penyampai radio melahirkan rasa terujanya dapat kepercayaan untuk mengendalikan program pagi bersama Nabil dan Radin.
“Ini bukan bermakna saya akan putus hubungan dalam bidang lakonan tetapi akan terus berada dalam industri, cuma kali ini mahu mencuba sesuatu yang baharu agar lebih versatl sebagai artis,” jelas Azad sambil yakin segmen ‘Lagu Berantai’ yang membolehkan peminat bermain menyanyikan rangkap lagu dengan menggunakan perkataan diberikan oleh mereka akan mendapat sambutan hangat.
Sementara itu, berhubung berakhirnya ‘JoHaRa Pagi Era’ khususnya isu ketiadaan Johan, Hani berkata, ‘Setelah berbincangan diadakan, akhirnya kami mengambil keputuan untuk membawa haluan masing-masing. Dan sudah sampai masanya untuk membawa perubahan baharu pada pendengar yang selama ini menyokong kami sehingga menjadikan Era kekal sebagai stesen nombor satu di Malaysia.
Menurut Hani, melalui pembaharuan yang ditampilkan, Era teruja menyajikan pengisian relevan dan pelbagai buat 2.9 juta pendengar mingguannya,
“Kami berterima kasih kepada semua pendengar atas sokongan mereka yang menakjubkan serta berterusan dan berharap mereka menikmati pengisian terkini di Era,” tambah Hani sambil mengumumkan dua lagi program baharu Era meliputi ‘101 Era' bersama Haniff dan Ray serta ‘Daebak Era’ bersama Munna Bella dan Fazziq Muqris.
Hani, dari penyampai radio Era kini menerajui Radio Era
Di segmen baharu ‘101 Era’ bermula jam 4 petang hingga 8 malam, keserasian gandingan hebat personaliti radio Haniff dan Ray akan tampil berinteraksi bersama peminat dengan perbincangan yang informatif merangkumi segmen ‘Topik’, 'Teacher Teacher’ dan ‘Lirik Petik’ di mana pada setiap Jumaat Haniff dan Ray akan menjemput pemanggil bermain permainan untuk mencipta lagu dengan menggunakan perkataan yang di‘petik’ oleh mereka.
Haniff dan Ray kini beralih ke program '101 Era' jam 4 petang hingga 8 malam.
Pada waktu malam pula, peminat Era boleh menantikan kehadiran Fazziq Muqris, personaliti baharu Era, bergandingan bersama Munaa Bella dalam segmen ‘Daebak Era’, jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Munaa dan Fazziq akan menceriakan waktu malam peminat dengan segmen ‘Hanguko’ di mana Munaa akan berkongsi perkataan Korea.
Selain itu, ‘Pentas Daebai’ akan membolehkan peminat berhibur dengan lagu-lagu dari artis-artis baharu selain ‘Top 20’ dan ‘Tik Tok 10 Era’.
Munna Bella dan personaliti baharu, Fazziq Muqris.
Selain itu, pada hari Isnin hingga Jumaat, peminat boleh terus berhibur dengan segmen 'Port-Era’ bersama Danial Zaini, dari jam 10 pagi hingga 1 petang dengan W-O-N-T (What’s On The News Today) di mana Danial membawa watak ‘Bro Paprik’ seterusnya berkongsi cerita-cerita semasa yang tular.
Manakala pada segmen FYE (For Your Eye), pendengar boleh berkongsi topik-topik perbualan dalam media sosial dengan tanda pagar #FYE dan topik terbaik akan dikongsikan oleh Danial.
‘Gempak Hit Era’ bersama Isha Norsham, dari jam 1 hingga 4 petang, pula memperdengarkan Isha menemani peminat dengan topik perbualan menarik merangkumi hiburan, cerita artis tempatan dan luar negara, berita sukan dan isu-isu tular dalam media sosial yang diterbitkan oleh portal Astro Gempak.
Peminat juga berpeluang membuat permintaan lagu menerusi Instagram Era.
Pada hujung minggu pula, semua peminat boleh menghitung kedudukan lagu terbaik dalam ‘Carta Era 40’ dan berhibur dengan segmen-segmen menarik seperti ‘The best of 3 Pagi Era’, ulangan babak-babak terbaik; ‘Hallyu Era’, pilihan 10 lagu terbaik Korea dari permintaan pendengar; ‘Flow Era’, lagu-lagu bergenre Hip Hop & Rap daripada artis tempatan dan luar negara; serta ‘Non Stop Era’, putaran lagu-lagu popular tanpa henti.
Apa pun, nak tahu maklumat lanjut, layari www,era.je atau ikuti Era dalam platform media sosial. - KitaReporters