Perang dua Harimau! India layani Malaysia! Pemanas badan Kejohanan ASEAN dan Kelayakan Piala Asia!

Published by
KitaReporters

 

ARIF Aiman Hanapi dan La'Vere Corbin-Ong (jersi hitam) berjaya membolosi gawang Harimau Biru di Bukit Jalil pada 13 Oktober 2023. - Kredit foto: FAM


IBARATKAN dua harimau bertempur demi kelangsungan di belantara raya dengan hanya seekor daripadanya yang bakal muncul unggul!

Tanggal 19 November 2024 akan menemukan India atau digelar Harimau Biru dengan pendatang ke rantau Asia Selatan itu, Malaysia yang dijuluki Harimau Malaya.

Jadual siri perlawanan antarabangsa tahap 1 ini diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman sosial dan sesawang rasminya pada 25 September 2024.

India menjadi lawan terbaharu menurut kalendar pertandingan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain New Zealand yang akan menyambut skuad kendalian Pau Marti Vicente ini di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024.


DION Cools (21) antara empat penjaring gol Malaysia terhadap India dalam Pestabola Merdeka 2023. - Kredit foto: FAM


Harimau Malaya memenangi pertarungan mutakhir dengan Harimau Biru, 4-2 dalam separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-42 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Oktober 2023.

Kemenangan skuad kendalian Kim Pan Gon ketika itu, dilengkapkan dengan gol-gol oleh Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan La’Vere Corbin-Ong.

Harimau Malaya kini menghuni ranking ke-132 dunia selepas menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43 pada 8 September 2024 dengan kemenangan 1-0 terhadap Lebanon dan Filipina 2-1 di Bukit Jalil, manakala India, ke-126 sementara New Zealand atau digelar All Whites, ke-95.

“Venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan tuan rumah, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

“Siri perlawanan dalam kalendar FIFA dari 11 hingga 19 November 2024 ini akan turut menamakan satu lagi lawan pasukan negara apabila FAM mendapat pengesahannya,” lapor laman berkenaan.


HARIMAU Malaya meraikan kejayaan selaku juara Pestabola Merdeka 2024 sekali gus melonjak dua anak tangga dalam ranking dunia FIFA. - Kredit foto: FAM


Dua siri perlawanan ini menjadi sebahagian persediaan awal pasukan Pau menjelang Kejohanan ASEAN 2024 (sebelumnya Piala AFF) dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN dengan juara bertahan, Thailand selain Singapura, Kemboja dan pemenang perlawanan pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste pada 8 dan 15 Oktober 2024.  

Rekod pertemuan akhir di gelanggang India walau bagaimanapun menyebelahi mereka, 3-2 di Stadium Salt Lake, Kolkata pada 16 November 2011 dengan Safee Sali menyumbat kedua-dua gol kita.

Skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal ketika itu juga diikat 1-1 setelah mendahului menerusi Safiq Rahim dalam perlawanan pertama di Stadium Olahraga Indira Gandhi, Guwahati pada 13 November 2011.

Kali akhir bertemu New Zealand, Malaysia yang dikendalikan Norizan Bakar kalah 1-0 dan 2-1 dalam siri perlawanan persahabatan di Christchurch dan Auckland pada 19 dan 23 Februari 2006 dengan gol tunggal dijaringkan oleh Safee. - KitaReporters


SIRI PENCAPAIAN HARIMAU MALAYA 2024 SETAKAT 8 SEPTEMBER: 

8 Januari 2024, Doha, Qatar: Syria 2 Malaysia 2

15 Januari 2024, Al Wakrah, Qatar: Malaysia 0 Jordan 4

20 Januari 2024, Al Rayyan, Qatar: Bahrain 1 Malaysia 0

25 Januari 2024, Al Wakrah, Qatar: Korea Selatan 3 Malaysia 3

15 Mac 2024, Shah Alam, Selangor: Malaysia 5 Nepal 1

21 Mac 2024, Muscat: Oman 2 Malaysia 0

26 Mac 2024, Bukit Jalil: Malaysia 0 Oman 2

6 Jun 2024, Bishkek: Kyrgyzstan 1 Malaysia 1

11 Jun 2024, Bukit Jalil: Malaysia 3 Taiwan 1

4 September 2024, Bukit Jalil: Malaysia 2 Filipina 1

8 September 2024, Bukit Jalil: Malaysia 1 Lebanon 0


ROMEL Morales (kanan) penjaring gol kemenangan Malaysia terhadap Lebanon pada final Pestabola Merdeka, 8 September 2024. - Kredit foto: FAM

15
10
0
13
0

Copy Link: