LIGA Teqball Malaysia (LTM) kembali membara bagi edisi kedua penganjurannya dari 25 hingga 27 Oktober 2024.

Arena KL City, Kuala Lumpur bakal menyaksikan antara 32 hingga 64 pemain daripada lapan pasukan bertarung dalam LTM 2024 anjuran Persatuan Teqball Malaysia (MTA) ini.  

Setiap pasukan LTM musim ini pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana dijanjikan hadiah wang tunai berjumlah RM13,200.

Selain diiktiraf sebagai juara LTM 2024, pemilik piala kejuaraannya bakal mengaut RM4,000 sementara naib juara akan pulang dengan RM3,000 manakala RM2,000 buat pemenang tempat ketiga.

Pemenang anugerah Pasukan Permainan Adil pula dihadiahkan RM500 manakala bonus buat kedua-dua Pemain Terbaik Lelaki dan Wanita ialah RM250 setiap seorang.


AKSI hebat beregu lelaki Liga Teqball Malaysia 2023 di ibu kota. - Kredit foto: MTA


Laman sosial MTA menyatakan, juara bertahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Hunters adalah antara lapan pasukan yang mengesahkan penyertaan setelah tarikh akhir 18 Oktober 2024.

Naib juara 2023, Negeri Sembilan Stags juga kembali bersaing di samping Kelab Kilat Kuala Lumpur, Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Persatuan Teqball Melaka (Meta), Universiti Malaya (UM), Selangor Virtus Teqball (Selteq) dan ICMS Titans.


NUR Hidayat Ar Rasyid Ahmad Daud (kanan) yang mara ke separuh akhir perseorangan lelaki Piala Teqball Hari Sukan Negara di Putrajaya, 13 Oktober 2024 lalu, bakal memperkasa Selangor Virtus Teqball (Seltec) dalam LTM 2024 - Kredit foto NHARD



Hanya seorang pemain import wanita yang dibenarkan bagi setiap pasukan. Setiap pasukan boleh mendaftar tidak lebih lapan pemain (empat lelaki dan empat wanita) dan tidak kurang empat pemain (dua lelaki dan dua wanita).

Terbaik daripada tiga set ialah format pertandingan bagi setiap perlawanan liga kumpulan dan kalah singkir sekiranya kedudukan terikat 1-1 selepas dua set terdahulu bagi menentukan pemenang.

Sistem sirkit LTM 2024 pula merangkumi lima kategori - perseorangan wanita, perseorangan lelaki, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Pemain akan bermain dalam kategori atau sirkit masing-masing sehingga ke peringkat kalah singkir bagi penentuan kedudukan.

Pemain atau beregu yang mendapat tempat pertama hingga akhir akan mengutip mata bagi pasukan masing-masing dan dijumlahkan. 


AKSI beregu campuran Liga Teqball Malaysia 2023 tidak kurang sengitnya yang kadangkala mampu menjadi penentu kedudukan mata yang terikat. - Kredit foto: MTA 


Pasukan dengan kutipan mata tertinggi, dinobatkan juara. Pembahagian mata pemenang sirkit ialah pertama 30 mata, kedua 25 mata, ketiga 21 mata, keempat 18 mata, kelima 13 mata, keenam sembilan mata, ketujuh enam mata dan kelapan empat mata.

DBKL Hunters muncul juara LTM musim sulung pada 29 Oktober 2023 selepas menewaskan Negeri Sembilan Stags 3-2 dalam final di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. 

LTM 2024 juga dijangka menjadi medan pemilihan pasukan Malaysia ke Kejohanan Teqball Dunia di Kota Ho Chi Minh, Vietnam pada 4 hingga 8 Disember 2024. - KitaReporters


BARISAN pasukan pemenang Liga Teqball Malaysia 2023 antaranya DBKL Hunters dan Negeri Sembilan Stags bergambar dengan tetamu kehormat dan pegawai penganjur MTA. - Kredit foto: MTA


DBKL Hunters mahu mempertahankan gelaran LTM pada 25 hingga 27 Oktober 2024 namun turut menjadi buruan tujuh lagi pasukan yang cuba menyekatnya. - Kredit foto: MTA 

9
10
0
13
0

Copy Link: