PAPUA New Guinea (kiri) yang dibelasah Malaysia 10-0 di Gong Badak pada 20 Jun 2023, tidak dapat menerima ajakan FAM untuk perlawanan antarabangsa tahap 1 pada 11 Oktober 2024. - Kredit foto: FAM


KEPULAUAN Solomon juga ditumpaskan Harimau Malaya (jersi kuning) 4-1 dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di Gong Badak pada 14 Jun 2023. - Kredit foto: FAM


LAPAN pasukan Oceania ditagih sebagai satu lagi pengisi kalendar Oktober perlawanan antarabangsa tahap 1 namun tiada siapa yang sudi menerima ajakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini.

Mereka termasuk Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea yang pernah dibelasah Harimau Malaya 4-1 dan 10-0 dalam siri perlawanan berkenaan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 14 dan 20 Jun 2023 lalu.  

Penolakan itu serta oleh empat lagi negara Oceania yang di bawah ranking ke-132 dunia Malaysia – Fiji, Tahiti, New Caledonia dan Vanuatu juga dilaporkan atas alasan pembabitan pada Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 10, 11 dan 12 Oktober 2024.

Justeru hanya New Zealand yang bakal melayan skuad negara kendalian Pau Marti Vicente pada 14 Oktober 2024 di Stadium North Harbour, Auckland, manakala sebuah kelab utama negara itu pada 11 Oktober 2024 dipilih sebagai lawan pemanas badan pelawat.  


PAU Marti Vicente (depan, dua dari kiri) dan penolongnya, E. Elavarasan (kiri) dan Juan Torre Garrido bergerak ke Balai Perlepasan KLIA. - Kredit foto: FAM


Kesemua negara kepulauan Lautan Pasifik yang menganggotai Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) ini dipelawa FAM dipercayai atas faktor kedekatan geografi mereka dengan New Zealand.   

Perkembangan terbaharu ini dikongsi ketua jurulatih Harimau Malaya kelahiran Sepanyol berusia 41 tahun itu dalam laman sosial FAM pada 6 Oktober 2024.   

New Zealand atau digelar ‘Si Serba Putih’ kini menghuni ranking ke-95 dunia dengan rekod dua pertemuan akhir menyaksikan mereka menewaskan Malaysia 1-0 dan 2-1 dalam siri persahabatan tanggal 19 dan 23 Februari 2006 di Christchurch dan Auckland.  

Ujar Pau, “Harimau Malaya terbang ke Auckland dengan hanya 26 pemain tanpa kapten, Dion Cools yang terpaksa menarik diri kerana urusan keluarga.

"Kami berharap dia dapat kembali bagi kalendar perlawanan antarabangsa tahap 1 bagi November 2024,” tambahnya.

Skuad negara katanya, akan memulakan kem latihan pusat di sana selama seminggu mulai 7 Oktober 2024 sebagai persediaan menentang New Zealand.

“Kami juga akan menentang sebuah kelab utama tempatan untuk perlawanan antarabangsa tahap 2 pada 11 Oktober 2024 sebagai persiapan yang berkualiti sebelum itu,” ujarnya.


DION Cools menarik diri daripada kunjungan ke Auckland atas urusan keluarga. - Kredit foto: FAM


Siri perlawanan antarabangsa tahap 1 yang telah disahkan menanti Harimau Malaya selepas ini ialah menentang India pada 19 November 2024 di negara rantau Asia Selatan itu.  

FAM dikatakan masih cuba mendapatkan satu lagi pasukan lawan bagi mengisi jadual perlawanan antara 11 hingga 19 November 2024 yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu. 

Dua atau tiga perlawanan berkenaan juga bakal menyediakan Malaysia menjelang Kejohanan ASEAN Ke-15 (dulunya Piala AFF) dari 8 November 2024 hingga 5 Januari 2025. 

Malaysia diundi dalam Kumpulan A dengan juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan 8 dan 15 Oktober 2024 antara Brunei dan Timor-Leste. - KitaReporters


VANUATU dan Samoa antara enam negara Oceania yang dipelawa FAM, turut akan berdepan New Zealand atau dijuluki 'Si Serba Putih' dalam Kelayakan Piala Dunia 2026. - Kredit foto: NZAW


HARIMAU MALAYA KE AUCKLAND: 

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ab. Ghani, Azim Al Amin Kamaruddin, Haziq Aiman Esa (penjaga gol)

Matthew Davies, Feroz Baharudin, La’Vere Corbin-Ong, Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Dominic Tan, Daniel Sang Ting, Harith Haiqal Adam Afkar (benteng)

Nooa Hamzah Laine, Haykal Danish Haizon, Stuart Wilkin, Paulo Josue, Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos (perantara)

Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Adib Ra’op (sayap), Romel Morales, Darren Lok, Haqimi Azim Rosli, Syafiq Ahmad (penyerang).


ANTARA segelintir pemain Harimau Malaya, Matthew Davies (kiri), Darren Lok dan Stuart Wilkin serta Nooa Laine ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 6 Oktober 2024. - Kredit foto: FAM

14
10
0
16
0

Copy Link: