Video| Zero benar-benar hero! Dari pelawak ke artis rakaman! Zero cipta sejarah melalui single Tondu!
Published by.
Asalnya tiga beradik dari Sabah ini terkenal sebagai kumpulan lawak ‘Zero’ selepas dinobatkan sebagai Naib Juara dalam program realiti TV, ‘Raja Lawak’ musim ke-6 .
Seterusnya setahun kemudian. trio bernama Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif), Mohd Syaiful Doli Sharif (Syaiful) dan Sharif Kunal Doli Sharif (Atu) mengukuhkan kedudukan mereka setelah menjuarai program ‘Maharaja Lawak Mega 2014’.
Pendek kata, sepanjang menyertai pertandingan lawak, jika tidak menjuarainya mereka masih berada di senarai tertinggi iaitu tempat keempat pada MLM 2017, tempat ketiga pada MLM 2018 dan sekali laii bergelar Naib Juara pada MLM 2019.
Terkini, mereka menunjukkan sisi sebenar sebagai artis serba boleh dalam industri seni tanah air apabila mencipta sejarah baharu dalam catatan karier mereka dengan pengeluaran single sulung berjudul ‘Tondu’ di bawah label Nova Music.
‘Tondu’ dalam bahasa Kadazan Dusun bermaksud 'perempuan' adalah ciptaan komposer Zai Hamzah bersama Hemo, manakala lirik pula hasil sentuhan Achoi Floor 88 dan Ayie Elham Floor 88.
"Idea untuk kami hasilkan lagu ini datang dari abang saya, Sharif sejak dua tahun dulu. Kemudian lagu ini dibawa kepada beberapa syarikat rakaman tapi akhirnya berjodoh dengan Nova Music,” cerita Atu pada majlis pelancaran lagu tersebut yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.
Kumpulan Zero.
Turut hadir Pengarah Urusan Nova Music (M) Sdn Bhd., Rosmin Hashim manakala kedua-dua abangnya, Sharif dan Syaiful tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja di Brunei waktu itu.
Menurut Atu, lagu ini dihasilkan kerana dua abangnya boleh menyanyi dengan baik. Malah, ia dibuktikan apabila mereka muncul juara ‘Famili Duo 2023’ yang diterbitkan oleh TV3.
"Sayanglah kalau tiada lagu sendiri kerana mereka ada bakat menyanyi. Sebelum ini, asyik-asyik menyanyi lagu orang sahaja. Mereka menyanyi sepenuhnya lagu ini sementara saya banyak terlibat dalam bahagian rap,” jelas Atu sambil memaklumkan konsep muzik yang ditampilkan lebih kepada lagu rakyat yang mudah diterima masyarakat.
Tambahnya, lagu Tondu ini mengenai seorang lelaki yang ditinggalkan oleh seorang gadis di mana selepas itu dia kena 'move on' daripada kekecewaan dialaminya.
"Zero buat lagu bukan sebab nak bersaing atau bertanding di mana-mana. Tujuannya lebih untuk cari show bagi membiayai pengurusan jenazah yang kami wujudkan, selain komitmen keluarga dan sebagainya.
"Kami tahu jika tiada lagu, kami kurang dapat show. Kami tak mengharap pada berlakon drama mahupun filem. Jadi kami cuba nak buat lagu bagi mempelbagaikan kelebihan yang ada," sambungnya.
Sebagai 'orang baru' dalam bidang nyanyian, Zero menyerahkan kepada kebijaksanaan pengurusan Nova Music untuk melakukan yang terbaik buat lagu ini.
"Mereka lebih berpengalaman dan profesional dalam bidang muzik. Jadi kami serahkan kepada mereka untuk promosi dan sebagainya, kerana percaya mereka pasti akan lakukan yang terbaik untuk 'Tondu'. Kami buat lagu ini untuk cari rezeki,” luah Atu jujur.
Beliau mengakui tidak sabar untuk menunggu kelahiran single pertama ini, tambahan pula, Zero sudah 10 tahun berada dalam industri seni tanah air.
“Alhamdulillah, Zero masih diberi rezeki dalam karier seni. Sekiranya dapat sambutan, kami akan sambung dengan lagu seterusnya pula. Saya anggap ia pembuka langkah lebih besar untuk tahun 2025," akhiri Atu yang yakin ‘Tondu’ boleh pergi jauh, waima ia dihasilkan dengan sempurna tidak seperti sebelum ini di mana mereka bernyanyi secara main-main dan siar dekat ‘YouTube’ sahaja seperti contohnya lagu raya.
Atu (kanan) bersama Rosmin Hashim pada majlis pelancaran single 'Tondu' baru-baru ini.
Sementara itu, komposernya, Zai Hamzah memaklumkan konsep lagu dibuat mengikut muzik Indonesia.
“Sebenarnya Sabah pun ada juga konsep muzik begini. Cuma ia kebanyakan lebih terarah kepada kepulauan Indonesia. Bahagian-bahagian ini genrenya dipanggil acara. Ia macam lagu-lagu mood happy. Kalau di kepulauan Indonesia atau negara Papua New Guinea, muziknya memang begini," kata Zai, yang juga dikenali sebagai Achoi Floor 88.
Beliau percaya semua golongan peminat termasuk di Semenanjung boleh menerima lagu ‘Tondu’ dengan baik.
"Lagu ini dekat dengan budaya Sabah. Ikutkan muziknya bukanlah asal dari Indonesia, cuma mereka suka buat remix. Jadi saya ambil pendekatan itu sikit dan tambahkan dengan elemen Sabah,” jelas Zai.
Menurut beliau, Kumpulan Zero boleh menyanyi dan ada karakter nyanyian tersendiri.
"Suara mereka bukanlah betul-betul seperti penyanyi yang kita tengok tapi mereka ada bakat untuk menyanyi lagu ini dengan sangat baik. Mereka ada buat penambahan dari segi vokal dan efek semuanya cantik," katanya.
Ayie dan Achoi Floor 88 aka Zai Hamzah (kanan).
Dalam pada itu, selaku penulis lirik bersama Achoi Floor 88, Ayie mendedahkan pada perancangan awalnya lagu ‘Tondu’ sepatutnya dinyanyikan oleh beliau dan Achoi.
"Tapi bila fikir balik, kami bagi orang lain menyanyi. Kami bagi peluang dan fikir Zero yang sesuai menyanyi lagu ini. Cerita asalnya, saya orang Sabah dan nak bawa Achoi tengok pemandangan di Sabah.
"Tapi dalam masa sama, Achoi pun nak cari wanita Sabah. Bila Zero nyanyikan, saya tukar lirik yang masih menceritakan tentang wanita Sabah tapi dinyanyikan oleh orang Sabah," akhiri Ayie, yang juga dalam Kumpulan Floor 88. - KitaReporters