.


Dalam lambakan artis-artis baharu memperkenal lagu raya masing-masing tahun ini, biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, ternyata tidak mahu ketinggalan.

Setelah dua tahun tidak mendendangkan lagu raya, selepas ‘Lip Lap Raya’, Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti kembali memeriahkan sambutan Hari Raya tahun ini (2025) dengan pelancaran single raya terbaharunya dengan persoalan ‘Raya Nak Ke Mana?’

Lagu berentak zapin ini yang merupakan hasil ciptaan Aisha Retno dan RADi, dengan lirik digarap oleh Aisha Retno dan Amylea Azizan telah dilancarkan dalam majlis penuh glam dan santai di pekarangan Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur pada 12 Mac 2025.


Siti Nurhaliza bersama Umairah (kiri) menandatangani poster single raya masing-masing ditemani Kim Lim di Pavilion Kuala Lumpur. -Kredit foto: Siti Dimiati.


Majlis pelancaran itu turut memperkenalkan single raya pertama. anak saudaranya, Umairah atau nama penuhnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, berjudul ‘Tak Balik Raya’  yang kini menjadi artis rakaman di bawah syarikatnya, SN Legacy Sdn Bhd.

Turut hadir pada majlis berkenaan tidak lain daripada penerbit bersama lagu “Raya Nak Ke Mana’ iaitu Pengarah Urusan Universal Music, Kim Lim; Pengarah Kanan A&R dan Pemasaran merangkap Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng serta ramai lagi.



Apa yang menariknya. lagu raya berentak zapin  Tok Ti kali ini bukan sahaja mengembalikan nostalgia irama tradisional, tetapi turut menampilkan sentuhan segar daripada dua komposer muda seperti Aishah Retno dan RADi, jadi persoalannya kenapa Siti memilih untuk bekerjasama dengan generasi muda? 

“Bagi saya, peluang bekerjasama dengan bakat muda ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan serta membuka ruang buat generasi baharu untuk menyerlahkan kreativiti mereka dalam muzik raya,” jawab Siti.

Menurutnya, beliau telah menerima 10 buah lagu untuk dipilih dan disebabkan terpikat dengan karya Aishah Retno serta RADi serta lirik oleh Amylea Azizan, beliau memilih lagu ‘Raya Nak Ke Mana?’.



Persekitaran majlis pelancaran turut disediakan gerai Simplysiti dan koleksi fesyen Aafiyah by Siti Nurhaliza  serta pereka fesyen yang terkenal, Radzuan Radwill yang sering mereka fesyen baju Tok Ti.  


“Melodi lagu ini memikat sejak pertama kali saya dengar. Walaupun ada elemen moden, irama tradisionalnya tetap melekat di jiwa apatah lagi pada akhir lirik lagu ini ada sentuhan gaya lagu Seniman Agung  Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.” tambahnya.

Pada penghujung lirik lagu ini berbunyi ‘... maafkan kami, maafkan kami… maafkan kam'  sekali gus pastinya membawa pendengar mengingati lagu ‘Maaf Kami’ dari sedutan filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ lakonan P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Satar.

Berkongsi lanjut, menjawab pertanyaan persis lagunya ‘Raya Nak Ke Mana?’ Siti memaklumkan seperti kebiasaannya beliau akan menyambut hari raya pertama di Kuala Lumpur sebelum ke kampung halamannya di Kuala Lipis. Pahang pada minggu raya seterusnya.

Bagi Tok Ti, fokusnya menjelang hari raya sudah tentu menyediakan segala kelengkapan untuk anak-anak terutamanya baju raya yang harus sedondon.

“Saya cuma sediakan tujuh baju raya dan sudah tentu akan berulang memakainya. Rasa sayang pula kalau pakai sehari, sekurang-kurangnya dua harilah tetapi paling banyak pun saya pakai tiga kali untuk acara-acara berlainan selepas raya,” ujar Tok Ti jujur dan tidak menafikan ada juga membeli baju secara dalam talian.



Sementara itu, Umai yang turut hadir semasa sesi temu ramah melahirkan rasa terujanya dapat melahirkan sebuah singla raya dan mendapat bimbingan 'Mak Iti'nya apabila berada sebagai artis di bawah syarikat SN Legacy.

“Apabila mendapat demo lagu ‘Tak Balik Raya’ ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito, Mak Iti pun turut mendengarnya dan saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkannya waima muzik dan emosi lagu ini sesuai dengan usia remaja saya.” ujar Umarah yang lebih mesra disapa Umai.

'Tak Balik Raya' menceritakan realiti sebenar yang dialami oleh anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan kerana terpaksa berjuahan dengan keluarga kerana bekerja.


Thowback... Umai merupakan artis pertama di bawah syarikat milik Siti, SN Legacy yang menandatangani kontrak selama 5 tahun bermula 1 Januari 2025. Sudah tentu Umai adalah penyambung legasi dalam keluarga.


Walaupun liriknya menyentuh hati tetapi ada nada memujuk dengan kemajuan teknologi terkini, anak-anak masih dapat menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti menelefon dan sebagainya.

``Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser’ atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif dari warganet. Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik,’’ ujar penyanyi yang bergelar juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat ini.



Menyentuh komen-komen negatif yang dibaca daripada netizen Umairah anggap ia adalah sebahagian dari[ada asam garam yang perlu diterima golongan artis.

“Walau pun ada komen yang menyakitkan tetapi saya memang suka baca komen. Paling tidak jika tak suka sangat saya block je tetapi setiap komen itu saya baca. Saya anggap itu sekadar pendapat mereka,” jelas Umai.

Begitu pun, kata Umairah, pengalaman yang dilalui sebagai artis remaja kini amat dirasai keseronokkannya lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi dan memberikan peluang kepada rakan-rakan yang berbakat dan belajar dalam bidang tari di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menjadi penari pengiringnya. - KitaReporters


15
15
0
13
0

Copy Link: