Fattah Amin (dari kiri), Amir Masdi, Tomok dan Pekin Ibrahim bangga menerima Anugerah Dekan UUM.

SEMAKIN ramai insan seni kini cuba mempertingkat pencapaian akademik mereka kerana faham akan kepentingan mempunyai ijazah.  Ini kerana masyarakat kini menghargai insan seni yang turut mempunyai pendidikan tinggi.

Ini membuat sejumlah insan seni mengikuti pengajian jarak jauh (PJJ) yang ditawar beberapa universiti dengan membolehkan mereka mengikuti program PJJ dan hanya perlu mengikuti pengajian secara berdepan sesekali.

Namun pengajian ini memakan masa yang lebih lama daripada mengikuti pengajian sepenuh masa.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program PJJ


Antara universiti yang menawarkan program PJJ ini ialah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Seramai 28 penggiat seni yang juga pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi penerima Anugerah Dekan yang disampaikan dalam sebuah majlis yang diadakan di sebuah hotel di Damansara pada Khamis, 27 Oktober 2022 lalu.



Kesemua insan seni terbabit, antara lebih 40 pelajar bidang berkenaan yang mengikuti program PJJ yang dilaksanakan selama sembilan semester yang bermula dari 2015 hingga 2020 lalu.

Antara selebriti tanah air yang tersenarai adalah Fattah Amin, Tomok, Amir Masdi, Aril Pilus, Pekin dan Haziq AF.  

Pada acara itu, Dekan Fakulti Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin turut hadir menyampaikan anugerah kepada semua penerima. 


Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin (tengah) menyampaikan anugerah kepada penerima.



Berhubung penganugerahan itu, pelakon terkenal, Abdul Fattah Mohd Amin, 32, yang menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang industri kreatif di UUM sekitar penghujung 2015 itu meluahkan rasa syukur apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Industri Kreatif & Seni Persembahan dengan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian.

Berkongsi perjalanan menyambung pengajian menerusi program PJJ, Fattah mengakui dia melalui fasa mencabar sekitar tahun 2017 di mana ketika itu popularitinya sedang memuncak.

Menurut Fattah, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh kuliah, namun kejayaan ini membakar semangatnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.


Fattah Amin

"Alhamdulillah, saya bersyukur berjaya menamatkan pengajian dan menerima Anugerah Dekan untuk semester akhir... sebenarnya tak sangka saya dapat 4 flat untuk semester ini.

"Sejujurnya ada juga saya struggle... lagi-lagi masa tahun 2017, ketika itu saya memang sibuk dengan shooting drama, filem dan pada masa sama waktu tu juga saya menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

"Saya ada niat untuk sambung ke peringkat seterusnya tapi belum ada perancangan dalam masa terdekat," kata suami kepada Fazura ini.


Amir Masdi

Sementara itu, Amir Masdi atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, 26, turut berkongsi pengalaman sepanjang melanjutkan pengajian.

Baginya ijazah itu berkat kejayaan mengharungi pelbagai cabaran sebagai seorang pelajar dan penyanyi. 

"Paling penting ibu bapa saya paling bangga dengan pencapaian akademik ini. Saya juga sangat bersyukur kerana berjaya mengharungi semua cabaran sepanjang pengajian.

"Mungkin dengan ilmu ini saya boleh manfaatkan untuk bantu industri jika tidak lagi aktif menyanyi pada masa depan," kata Amir pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang berlangsung di Damansara pada Khamis, 27 Oktober 2022.


Pekin Ibrahim

Sementara itu Pekin atau nama sebenarnya Mohd Izhan Ibrahim, 41, berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian kerana adik-beradiknya yang lain sudah memiliki segulung ijazah. 

Sebagai anak bongsu dalam keluarga, Pekin terdorong untuk mengikut jejak langkah keluarga yang lain dan bersyukur impian itu akhirnya terlaksana.

"Saya ini anak bongsu, apabila adik-beradik lain ada ijazah, mestilah saya pun terdorong nak ikut jejak mereka. Bukan mudah nak mengharungi segala cabaran. Terpaksa bahagi masa untuk kelas, perniagaan dan juga lakonan," ujarnya.


Tomok

Sementara itu penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 38, bersyukur berjaya memperoleh ijazah setelah bertahun-tahun membahagikan masa antara kerjaya seni, perniagaan dan pelajaran. 

Mengakui pernah ingin menarik diri di pertengahan jalan, namun motivasi daripada para pensyarah dan rakan-rakan sekuliah membuat dia terus bersemangat untuk meneruskan pengajian. 

Tomok turut mengucapkan terima kasih kepada isteri dan anak-anak yang terus memberi semangat untuk meneruskan pengajian.

Tomok juga berharap untuk meneruskan pengajian pada peringkat sarjana kerana berpendapat insan seni akan dihormati jika mempunyai pendidikan yang tinggi. - KitaReporters


13
21
0
11
0

Copy Link: