KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kegiatan dalam bidang seni terbatas menyebabkan penyanyi remaja Aiman Tino, 23, serius menjalankan perniagaan untuk mencari rezeki kira-kira dua tahun lalu.

Selain memperolehi keuntungan, Aiman turut berjaya memetik buah hatinya yang turut menjalankan perniagaan ketika PKP.

Setelah beberapa waktu menjalin hubungan sebagai kekasih, Aiman berhasrat mengikat Syarah Haifa, 24, sebagai pasangan hidupnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Aiman Tino


Aiman Tino atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri melihat teman wanitanya yang sebaya usia itu mempunyai ciri-ciri wanita idaman dan sayang untuk dilepas atau disambar oleh lelaki lain.

Justeru Aiman meminta ibunya melakukan urusan merisik dan melamar. Sebagai anak kesayangan, Hazelina Mat Jalil, 47, lebih dikenali sebagai Riena sedia menunaikan permintaan anak lelaki kesayangannya itu.

Lalu Riena pergi melamar Syarah Haifa pada Sabtu, 21 Januari 2023 di Cheras. Turut hadir Aiman dan beberapa anggota keluarga.



Berita gembira itu dikongsi oleh abang Syarah Haifa, Farish Isa yang memuat naik beberapa hantaran video dalam laman Instagram (IG) miliknya.

Menerusi perkongsian dalam IG, ibu Aiman dilihat menyarung cincin pada jari manis Syarah sebagai tanda hasrat hati untuk menyunting gadis pilihan.

"Eh! Ada tetamu datang rumah kita la. Rupanya nak merisik bunga di taman," tulis Farish. Majlis merisik itu turut dihadiri beberapa ahli keluarga Aiman.



Menurul Riena selepas ini majlis pertunangan akan diadakan tetapi belum ada tarikh tepat. 

Mengenai perkahwinan, Riena berharap ia tidak akan berlangsung lama kerana jika terlalu lama berkawan dan bertunang akan mempunyai pelbagai dugaan.

Aiman adalah anak keempat daripada 10 beradik mula dikenali sebagai penyanyi sejak 2016,

Dan sejak ‘Ku Rela Dibenci’ dia telah melahirkan sembilan single dengan yang terakhir berjudul ‘Dendam Simpati’.


Aiman Tino (kiri) turut berlakon dalam drama bersiri 'Anak Beranak Abang Yie'

Bagi mengembangkan lagi bakatnya, Aiman kini turut mendapat peluang berlakon dalam sejumlah drama. 

Bermula dengan drama bersiri ‘Mak Cun 4’ pada 2018 membawa watak Kumin, Aiman semakin memperlihat bakat lakonan dalam drama bersiri ‘Anak Beranak Abe Yie’ di TV3 pada 2022.

Sehingga kini Aiman telah berlakon dalam lapan drama bersiri dan telemovie.

Kemunculan dalam filem akan dapat disaksi dalam  ‘Remp-it-2' arahan Farid Kamil yang bakal ditayang tidak lama lagi. - KitaReporters


8
13
0
14
0

Copy Link: