IDEA serta cadangan yang bernas demi memacukan kecemerlangan sekolah sudah pasti tidak akan disia-siakan oleh seorang guru besar yang amat menghargai pendapat yang dikemukakan oleh guru-guru di bawah pengurusannya walaupun kecil sahaja namun memberi manfaat yang besar.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa (SeKTaJ), Jeram, Selangor, Nor Mahali Mohamad Torman, yang bersikap terbuka dan mudah didekati guru termasuk warga SeKTaJ lain menerima idea yang dicetuskan oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Abdul Halim Sharif supaya diadakan Untaian Memori Karnival Sukan Tradisional SeKTaJ 2023.

Beliau yang dihubungi, berkata dengan ungkapan slogan ‘Kenangan menciptakan pengalaman, pengalaman menciptakan kekuatan dan pengajaran’ membuat dirinya terpaut kepada cadangan berkenaan bertepatan dalam perancangan mengadakan Karnival Sukan Tradisional SeKTaJ pada 1 November 2023. 

Menurutnya, berikutan itu cadangan berkenaan dipersetujui yang secara tidak langsung memenuhi kegiatan kokurikulum pada setiap hari Rabu bersempena Karnival Bulan Kecergasan, Kesihatan dan Sukan Tradisional 2023 di samping mendapat sokongan untuk diadakan setiap tahun.


Beberapa kumpulan murid SeKTaJ mencuba permainan sukan tradisional batu seremban.


Jelas beliau, beberapa jenis permainan tradisional dipilih sepanjang menjalankan aktiviti karnival  berkenaan seperti permainan ceper atau tutup botol, congkak, batu seremban, baling atau tuju selipar, teng-teng dan juga permainan galah panjang.

Katanya, objektif utama pemilihan permainan tradisional itu bertujuan memberi pendedahan dan pengajaran kepada murid SeKTaJ supaya mereka perlu lebih fokus dalam menjalankan sesuatu perkara bukan sahaja ketika bermain.

Tambahnya, aktiviti karnival sangat memotivasikan diri murid serta guru supaya sentiasa berusaha bagi mempertahan sukan tradisional yang semakin luput ditelan zaman, selain dapat memupuk sikap lebih fokus ketika menjalankan sesuatu perkara paling penting menjurus ke arah kemenjadian murid. 

“Apabila diteliti semua permainan tradisional ini memerlukan ramai pemain yang memberi pengajaran kepada murid supaya mereka sentiasa memerlukan antara satu sama lain atau dalam erti kata sebenar mereka perlu bekerjasama.

“Mereka perlu saling membantu dan sentiasa mengamalkan sikap setia kawan bagi memenangi sesuatu pertandingan yang jauh berbeza dengan gaya hidup kebanyakan murid sekarang yang hanya memerlukan gajet untuk bermain tanpa perlu berkawan.

“Keadaan sebegini yang cuba pihak sekolah atasi dengan memperkenal permainan tradisional ini supaya  murid SeKTaJ gembira bermain sambil aplikasikan semangat berkawan, bersosial dan yang lebih penting, mereka perlu lebih fokus dalam melakukan sesuatu perkara,” ujar Nor Mahali.


Seorang guru menunjukkan teknik bermain ceper atau tutup botol bagi mengalahkan lawan.


Guru penyelaras karnival berkenaan, Rahana Ismail, pula berkata, diharapkan dengan adanya program seperti itu dapat menambahkan keyakinan diri murid berinteraksi sesama mereka serta menjadikan lebih fokus dalam sesuatu perkara serta sikap sebegini dapat diaplikasikan semasa pembelajaran di dalam kelas.

Menurutnya, permainan sukan tradisional dipilih antaranya bertujuan merangsang minda murid supaya sentiasa fokus, aktif, produktif dan sentiasa bermotivasi memupuk semangat kerjasama dalam pasukan disamping memberi pendedahan kepada anak didik supaya memelihara sukan tradisional yang semakin dilupai.

Kebanyakan permainan sukan tradisional itu hanya menggunakan peralatan yang ada di persekitaran kita sahaja. Contohnya , permainan ceper hanya memerlukan penutup botol yang senang diperoleh dan tidak perlu dibeli.

Begitu juga dengan permainan batu seremban hanya menggunakan batu yang dikutip di halaman rumah dan hal yang sama dengan permainan congkak iaitu pada masa dahulu hanya menggunakan lubang yang dikorek di atas tanah di halaman rumah dan menggunakan biji getah.

Namun kini, kebanyakan peralatan permainan itu sudah dicipta semula menggunakan bahan yang mudah digunakan, tahan lama dan senang disimpan selari dengan arus pemodenan sekarang termasuklah permainan congkak apabila tapaknya kini diperbuat daripada plastik dan kayu, manakala buahnya pula menggunakan guli pelbagai corak menjadikannya lebih menarik serta fleksibel. 

Perkara yang sama juga berlaku kepada permainan ceper kerana sudah banyak dijual di kedai-kedai runcit selain mudah untuk didapati.


Nor Mahali Mohamad Torman (duduk tengah) memerhatikan muridnya bermain congkak pada Karnival Sukan Tradisional SeKTaJ pada 1 November 2023.


Rahana berkata, murid  juga diajar mengenai peraturan yang perlu dipatuhi dan mereka wajar lebih cekap serta bijak menilai untuk memenangi sesuatu permainan di samping itu ia mewujudkan juga semangat kerjasama yang erat ketika bermain.

Menurutnya. reaksi murid apabila dimaklumkan aktiviti  yang akan dijalankan adalah permainan sukan tradisional seperti permainan ceper, batu seremban, congkak, tuju selipar dan teng-teng mereka jelas kelihatan teruja serta gembira.

“Pada raut wajah murid bersemangat untuk mencuba permainan ini kerana ada antaranya permainan sukan tradisional ini sangat asing dalam kehidupan mereka apabila banyak terdedah kepada permainan ‘online’ atau pun mengisi masa lapang dengan melayari internet. 

“Terdapat juga murid yang bertanya bagaimanakah cara bermain tuju selipar, pemenang pula dinilai dari segi apa berbanding dengan mereka yang kalah, tetapi apabila terbabit dalam permainan berkenaan jelas menunjukkan sikap terlalu gembira serta berasa amat seronok,” ujar Rahana. 


Sekumpulan murid SeKTaJ mencuba permainan congkak yang diperbuat daripada plastik dan menggunakan guli pelbagai warna.


Sementara itu, Abdul Halim yang mencetuskan idea itu, berkata, slogan ‘Kenangan  menciptakan pengalaman, pengalaman menciptakan kekuatan dan pengajaran’ secara tidak langsung untuk meneruskan kesinambungan mesej berkenaan apabila unit kokurikulum bercadang mewujudkan sudut permainan tradisional yang akan diberi nama Anjung Warisan di SeKTaJ.

“Sudut ini nanti akan menjadi tempat rujukan kepada warga SeKTaJ khusus murid di samping menarik perhatian pengunjung untuk menjadikan laman ilmiah menimbah pengetahuan mengenai permainan sukan tradisional,” katanya.

Rakan setugas beliau, Cikgu Mohd Nabil, yakin usaha itu akan mengembalikan memori kepada semua permainan sukan tradisional berkenaan walaupun pada peringkat sekolah di samping sudah membuka ruang menanamkan semangat patriotisme.

“Program seperti  ini amat bermanfaat dibuat setiap tahun malah wajar membabitkan ibu bapa murid untuk sama-sama menaikkan rasa bersyukur serta semangat juang bagi memelihara warisan permainan sukan tradisional yang begitu terkenal pada masa dahulu,“ terang Cikgu Fauziah pula. - KitaReporters


Nor Mahali bersama-sama guru dan murid SeKTaJ menunjukkan permainan baling atau tuju selipar.

20
10
0
16
0

Copy Link: