BARISAN kepemimpinan MR dan Kaki Jersi serta skuad negara melaungkan sorakan semangat selepas MOU di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - Kredit foto: MR


RAGBI Malaysia (MR) mengambil satu langkah inovatif dan berani dengan memilih sebuah jenama sukan tempatan, Kaki Jersi sebagai penaja kelengkapan pasukan kebangsaan 15 dan tujuh sebelah, remaja dan wanita dari 2025 hingga 2027.

Kelengkapan Kaki Jersi ini bakal mula mengiringi aksi padat 2025 tim Bunga Raya (julukan skuad negara) iaitu Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7's) di Singapura (4 hingga 5 April), play-off Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC)/Kelayakan Ragbi Piala Dunia (19 April) dan Sukan SEA Thailand (9-20 Disember).

Presiden MR, Amir Amri Mohamad berkata, “kerjasama kami dan Kaki Jersi amat bermakna malah memberi peluang kedua-dua pihak mengembangkan potensi dan membawa ragbi ke satu arah yang lebih tinggi. 

“Langkah ini juga bakal banyak membantu pasukan negara beraksi dengan lebih selesa dan berprestasi tinggi selain memberi impak positif kepada jenama tempatan sambil memperkasa industri pakaian,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) MR dan Kaki Jersi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2025 lalu.


AMIR Amri Mohamad (dua dari kiri) dan Nik Mohd. Iqbal Nik Ibrahim menunjukkan dokumen MOU MR dan Kaki Jersi yang dimeterai. Kanan ialah Nik Mohd. Rizal Nik Ibrahim. - Kredit foto: MR  


Kaki Jersi yang sebelum ini menaja pasukan bola sepak Liga Super, Negeri Sembilan FC dan Penang FC selain sukan baharu, footgolf.

Pengarah Urusan Kopa Holding Sdn. Bhd., Nik Mohd. Rizal Nik Ibrahim berkata:  “Kami telah lama (10 tahun) menjadi rakan strategik industri sukan. Kopa Holding adalah syarikat pengeluar Kaki Jersi.

“Penajaan dengan MR juga satu amanah dan tanggungjawab Kaki Jersi dalam menyokong pembangunan ragbi tanah air. Selain latihan, kejayaan sesebuah pasukan juga berkaitan persediaan kelengkapan dan keselesaan pemain.

“Kaki Jersi menganggap sukan juga satu ekosistem yang membina komuniti, mencungkil bakat muda dan mengangkat nama negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.  

Mengenai busana baharu Bunga Raya yang dijangka diperagakan Mac atau April 2025, Ketua Pegawai Eksekutif Kopa Holding, Nik Mohd. Iqbal Nik Ibrahim memberitahu: “Reka bentuknya nanti sentiasa lebih segar dan berkualiti terbaik serta berketahanan yang sesuai bagi sukan prestasi tinggi.”


KHIDMAT dan pengalaman Sakiusa Gavidi (memegang bola) berusia 35 tahun dan bermain dalam Liga Perancis ditagih MR dan Bunga Raya bagi berdepan Sri Lanka tanggal 19 April 2025 ini. - Kredit foto: MR 


Bunga Raya 15’s kendalian Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor akan berdepan Sri Lanka pada 19 April 2025 di venue sama ada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang atau tempat lawan yang masih bergantung kepada penilaian badan induk, Ragbi Asia (AR).

Skuad negara tumpas kesemua perlawanan Divisyen Perdana ARC pada 2, 8 dan 21 Jun 2024 kepada Korea Selatan 55-5 di Incheon, Hong Kong 70-6 di Serdang dan Amiriah Arab Bersatu 62-19 di Dubai.

Kalah dengan Sri Lanka bakal menurunkannya ke Divisyen Satu ARC pada musim hadapan. 

Kali ini dengan Sri Lanka kata Amir Amri, Malaysia bakal diperkasa tiga pemain naturalisasi kelahiran Fiji iaitu Sakiusa Gavidi, Timoci Vunimoko dan Etonia Saukuru dengan dua daripadanya kini beraksi dengan Liga Perancis.

Bunga Raya 15's menjalani latihan persediaan ke ARC di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dari 24 hingga 28 Februari 2025 lalu. Dalam senarai Ragbi Dunia (WR) Malaysia kini di ranking ke-50 berbanding Sri Lanka, ke-40.


BUNGA Raya 15's (jersi merah) jelas bukan tandingan UAE yang diperkasa ramai pemain naturalisasi, 62-19 dalam saingan Divisyen Perdana ARC di Stadium Ragbi Asia, Incheon pada 2 Jun 2024. - Kredit foto: MR


Bunga Raya 7’s kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man pula diletakkan sasaran MR untuk mempertahan gelaran Asia Tenggara di Singapura dengan pencabar terdekatnya ialah Filipina dan Thailand, manakala skuad wanita, naib juara. 

Sasaran atau penanda aras ini sekiranya berjaya dicapai, mampu memudahkan laluan pasukan 7’s yang kini di ranking keenam Asia, ke Sukan SEA Ke-33 untuk dibiayai dengan Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN), kata Amir.

Tim lelaki negara menewaskan Singapura 14-10 dalam perlawanan akhir SEA 7's di Stadium Nasional, Singapura tanggal 3 Mei 2024 lalu.


BUNGA Raya 7's dengan Nik Safuan Ismade Nik Man (tengah) melaungkan sorakan ceria dengan penajaan Kaki Jersi dan bakal beraksi pada minggu pertama Aidilfitri di Singapura.  


Kata Safuan, "kami kesuntukan masa dalam menyiapkan pasukan. Satu tanggungjawab berat untuk mengekalkan kejuaraan namun saya rasa pengalaman dan taktikal menjadi antara kelebihan kami apabila bermain pada Hari Raya Aidilfitri Keempat atau Kelima nanti."  

Nik Mohd. Rizal juga sempat menitipkan dua rangkap pantun perangsang buat Bunga Raya: “Genggam bara api biar sampai jadi arang, pegang bola ragbi biar sampai try terus menang.” - KitaReporters


BUNGA Raya 7's wanita cukup girang dengan penajaan Kaki Jersi, turut akan beraya di gelanggang ragbi dalam SEA 7's di Singapura.



8
13
0
11
0

Copy Link: