Tiada siapa jadi primadona dalam Harimau Malaya! 11 pemain sebagai satu pasukan! - Peter Cklamovski
Published by
PETER Cklamovski pantas menitipkan mesej tegas kepada Harimau Malaya, hanya tiga hari setibanya di Malaysia.
“PERLU menjadi sebuah pasukan. Kita memerlukan 11 pemain di luar sana (gelanggang). (Kita) tidak akan sesekali bergantung kepada seorang pemain.”
Peter Cklamovski menitipkan mesej ini kepada lebih 20 pemain yang
bakal dipanggilnya seminggu dua sebelum 25 Mac 2025 ini sebaik sahaja memikul
misi sulungnya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Mesej tegasnya menggambarkan tiada siapa yang berhak digelar Primadona
Pasukan. Waima dia Arif Aiman Hanapi, Dion Cools atau si import yang bertaraf pemain naturalisasi.
“Sesiapa yang memakai lencana (Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM)
dan menyarung jersi, akan mewakilinya dengan penuh hormat, komitmen dan semangat.
“Itulah titik mula sebuah pasukan yang kuat yang bererti 11 pemain yang sedia bermain jenama bola sepak yang ingin kami hasilkan,” kata warga Australia ini menerusi video FAMTV, 26 Januari 2025 lalu.
KESEBELASAN utama Harimau Malaya antara yang terbaik sepanjang 2024 ketika diikat India 1-1 di Hyderabad, mungkinkah dirombak secara besar-besaran oleh Peter Cklamovski dengan saranan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Robert Friend apabila menghadapi Nepal pada 25 Mac 2025 ini. - Kredit foto: FAM
“Bola sepak moden ialah sesuatu yang perlu fokus tinggi kepada
hasil dan keperluan fisiologi pasukan negara. Matlamat saya ialah pemain
pasukan kebangsaan kita yang paling cergas di Asia.
“Saya tahu kami boleh bekerjasama dengan sangat baik dalam
menjadikan banyak yang positif. Matlamat saya ialah perlawanan besar menentang
Nepal, 25 Mac 2025 ini (Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F di gelanggang
lawan).
“Saya sangat bertuah dapat bekerjasama dengan Peter. Dia
sememangnya seorang jurulatih yang cemerlang. Saya tahu apa yang dimahukannya. Saya
akan berikan para pemain, apa yang Peter perlukan bagi perlawanan itu.”
Ini pula ikrar Pengarah Prestasi Tinggi Harimau Malaya, Dr. Craig Duncan yang juga rakan senegara malah pernah bergandingan dalam membantu Socceroos menjuarai Piala Asia 2015 di tanah air mereka.
CRAIG Duncan (kanan) melihat banyak jalan perlu diharungi dan perkara dilibatkannya dalam tugas mengutamakan tahap kecergasan Harimau Malaya, manakala Rob Friend mahu sesiapa yang mendapat panggilan pasukan negara, menganggapnya satu penghormatan besar. - Kredit foto: FAM
Walau bagaimanapun Cklamovski mengingatkan pentingnya pasukan
negara sekarang perlu terus merendah diri dan menyedari di mana rankingnya
(ke-132 dunia dan ke-24 Asia).
“Kita perlu maju setiap hari dan selangkah demi selangkah. Saya
juga mahu dapatkan setiap pemain negara yang meningkat yang boleh mengaitkan
sebuah pasukan yang kuat,” kata pengendali berusia 47 tahun ini.
Cklamovski turut melihat betapa banyak kerja keras yang perlu
dibuat dengan menyepadukan segala sumber tenaga yang diperoleh sekalipun
mengakui, tekanan menantinya di mana-mana sahaja dalam dunia bola sepak ini.
“Tugas saya tidak pernah tanpa tekanan setiap hari. Saya
menggemarinya. Untuk mengatasinya kena fokus sepenuhnya setiap hari tentang apa
yang perlu dibuat,” katanya.
Duncan juga menyedari, ada banyak jalan dan perkara yang terbabit untuk ke matlamatnya itu tetapi yakin pasukan negara akan sampai dengan strategi dan perancangan yang akan dilaksanakan.
SYAMER Kutty Abba (kiri), Safawi Rasid dan Nooa Hamzah Laine (tiga dan lima dari kiri) yang kerap menjadi pertaruhan Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dan Pau Marti Vicente namun apakah trio ini masih menepati cita rasa dan aspirasi Peter Cklamovski. - Kredit foto: FAM
Sementara itu, sayap kanan Harimau Malaya, Safawi Rasid mengulas, “mana-mana jurulatih
baharu yang datang, memang akan memberikan semangat baharu kepada pasukan. Sebagai
pemain kami pula perlu bekerja keras secara sepasukan dan menyerlah dalam
perlawanan.”
Perantara, Syamer Kutty Abba pula berkata, “saya percaya dia jurulatih yang bagus yang akan berikan yang terbaik untuk skuad kebangsaan.
“Tugasan negara juga penting. Mengenai Vietnam (juara baharu Kejohanan
ASEAN 2024-2025) dan rekod kemenangan lalu lawan yang lebih baik, kami fokus
diri kita apa yang boleh diperbaiki terlebih dulu.
“Kami tetap ambilnya sebagai satu semangat untuk bekerja lebih keras sebelum transformasikannya kepada perlawanan,” tegas kapten Harimau Malaya ketika kejohanan itu yang merakamkan kegagalan ke separuh akhir akibat dipintas oleh Singapura.
Syamer juga tidak mahu terlalu memikirkan sejauh dan secepat mana peralihan skuad negara daripada gaya jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon dan Pau Marti Vicente (Sepanyol) sejak 2022 kepada pengendali dari Australia menjelang menentang Nepal nanti.
Pada masa sama, Kata Nooa Hamzah Laine, juga perantara negara: “Dia (Cklamovski) seorang yang memimpin pasukan kita bagi keputusan yang lebih baik (demi) mengubah sedikit pasukan negara supaya kita berjaya pada masa depan.” - KitaReporters
PETER Cklamovski berjabat tangan dengan Tan Sri Hamidin Amin yang akan melepaskan jawatan Presiden FAM pada Kongres pemilihan 15 Februari 2025 ini di Subang, Selangor. Kiri ialah Nooa Laine. - Kredit foto: FAM