Ijmal Cinta Ramadan 2.0! Hiburan, kerohanian dan kebajikan! Ada Man Bai, Zur Eda, Zamani, Noorshila!
Published byi
Tahun lalu, pada 23 Mac 2024, Ijmal Cinta Ramadan menampilkan tiga penyanyi legenda tanah air - Datuk Hattan, Ella dan Aris Ariwatan, yang berlangsung di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
“Tahun ini kami tampilkan pula tujuh penyanyi legenda iaitu Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays dan Zamani Slam,” ujar Mubarak Akhtar selaku penganjur HS Event & Entertainment Sdn Bhd pada majlis sidang media Ijmal Cinta Ramadan 2.0 yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir rakan kongsinya. Datin Rosmariza Che Umar serta empat daripada tujuh barisan artis yang bakal memeriahkan program iaitu Zamani, Man Bai, Zur Eda dan Noorshila Amin.
Dari kiri: Man Bai, Zamani, Mubarak Akhtar, Rosmariza Che Umar, Zur Eda dan Noorshila Amin. - Kredit foto: FAS.
Ijmal Cinta Ramadan 2.0 bagi tahun ini (2025) bakal diadakan pada 21 Mac 2025 bertempat di pekarangan Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pemilihan lokasi ini ternyata sesuai dengan konsep majlis yang menampilkan artis-artis legenda yang popular pada era masing-masing sebagaimana Allahyarham Biduanita Negara, Puan Sri Saloma itu sendiri.
“Saya membesar dengan artis-artis legenda seperti ini dan saya yakin generasi muda pun tidak terkecuali mengenali mereka,” jawab Mubarak berhubung pemilihan barisan artis-artis lama.
Berkongsi lanjut Mubarak memaklumkan program Ijmal Cinta Ramadan 2.0 menampilkan gabungan hiburan, kerohanian, dan kebajikan sempena bulan Ramadan.
Menyambung penerangan mengenai program, Rosmariza menambah kata, pihaknya menyediakan 150 booth dengan 12 di antaranya diserahkan kepada golongan artis yang ingin berniaga pada bulan Ramadan.
Selain itu, tambah Rosmariza, melalui pendapatan yang diperoleh, sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada anak-anak yatim serta karyawan seni yang memerlukan.
Rosmariza bersama rakan kongsinya, Mubarak.
“Pada acara ini juga, kita akan meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan. Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri,” tambah Rosmariza sambil memberitahu harga setiap reruai (booth) bernilai RM5,000.
Selain itu penjualan meja pada lima kategori untuk menyaksikan persembahan artis pada malam tersebut dijual bermula serendah RM4,000 hingga RM15,000 yang menempatkan tetamu VVIP.
"Orang ramai yang membeli tiket secara tidak langsung juga turut berpeluang untuk beramal menerusi program ini.” jelas Rosmariza.
Dalam pada itu, Mubarak memaklumkan program seharian yang dianjurkan akan bermula dengan tadarus al-Quran dan tazkirah yang mendalam sebelum semua berbuka puasa bersama-sama. .
“Kemudian, kita akan melaksanakan solat maghrib secara berjemaah, Kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan. Selepas itu, solat isyak dan tarawih akan diadakan. Dan barulah persembahan artis bermula,” katanya lagi.
Sementara itu, rata-rata artis yang hadir melahirkan penghargaan kepada pihak penganjur yang sudi memilih mereka dalam program Ijmal Cinta Ramadan.
“Sudah lama kami tidak berada di pentas dan peluang ini diharap dapat terus mengembangkan kerjaya kami sekali gus dikenali di kalangan kelompok muda,” ujar Zur Eda, 60, yang berjanji akan memberikan persembahan yang ‘cool’ sesuai dengan bulan Ramadan yang mulia.
Tambahnya, "takkan saya nak bergoyang kan? Tentunya saya akan membawa lagu yang sesuai dengan bulan mulia ini, Jika ternampak saya bergoyang tolong beri tunjuk amaran dan ingatkan saya ya,” kata plantun lagu ‘Lama Tak Jumpa’ ini mengingatkan.
Tak apa, sesiapa yang dah lama tak jumpa dengan Zur Eda dan artis-artis lain yang terlibat bolehlah hadir pada program Ijmal Cinta Ramadan 2.0 pada 21 Mac 2025 nanti ya. - KitaReporters