Takdir untuk Snowy! Dari jalanan ke istana! Kucing terbiar kini jadi kesayangan Sultan Selangor
Published byTuah badan, Snowy yang dulunya kucing terbiar kini menjadi kucing peliharaan kesayangan dan peneman setia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. - Kredit foto: Twitter.com
EMPAT tahun lalu, Snowy hanyalah seekor kucing terbiar yang merayau-rayau tanpa hala tuju mengikut naluri dan adakalanya terpaksa menceroboh ke kawasan yang tidak sepatutnya semata-mata untuk mencari makanan bagi menyambung hidup.
Namun itu kisah lampau, kini nasibnya sudah jauh lebih baik selepas ditangkap ketika memasuki kawasan kediaman Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang kemudiannya mengambil Snowy untuk dijadikan sebagai haiwan angkat atas inisiatif baginda sendiri.
Menerusi satu perkongsian Faceebook Selangor Royal Office, Snowy kini merupakan antara kucing kesayangan dan menjadi peneman setia baginda.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sultan Selangor
Sebahagian kucing terbiar yang diambil oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk dijadikan haiwan angkat.- Kredit foto: Selangor Royal Office
Seperti kucing terbiar lain yang diambil oleh baginda untuk dipelihara, Snowy juga telah dihantar ke doktor veterinar untuk dibersihkan, diberi rawatan serta dikasi (neuter) selain mendapat perlindungan secukupnya selepas itu.
Snowy kini menjadi kucing peliharaan kesayangan dan baginda turut memelihara dan memberi perlindungan sepenuhnya kepada kira-kira 30 ekor kucing lain yang sebelum ini merupakan kucing terbiar.
Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman merupakan Penaung Diraja kepada program 'Stray Free Selangor' (SFS) kendalian Persatuan Bagi Pencegahan Penganiayaan terhadap Haiwan atau Society For The Prevention Of Cruelty Animals (SPCA) yang telah menyelamatkan ribuan kucing terbiar.
"Melalui kaedah haiwan angkat, haiwan terbiar ini boleh dijadikan haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika diberi rawatan serta penjagaan rapi.
"Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020 sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA di Selangor," titah baginda.
Dalam masa sama baginda berdua turut menzahirkan rasa terkilan kerana masih terdapat individu dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui kaedah terbaik untuk melindungi haiwan terbiar.
Sultan Selangor sering meluangkan masa bersama kucing terbiar yang diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman baginda. - Kredit foto: Selangor Royal Office
Selain menjadi kucing peliharaan kesayangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Snowy turut manja dengan Tengku Permaisuri Norashikin. - Kredit foto: Bharian.com.my
Baginda juga turut menitahkan agar rakyat khususnya di negeri Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar seperti kucing dan anjing.
"Adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi makanan dan perlindungan sama ada ketika dalan peliharaan atau dalam habitat mereka sendiri," titah baginda. - KitaReporters
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mempunyai sifat semula jadi yang sayang kepada kucing. - Kredit foto : Selangor Royal Office
Tengku Permaisuri Norashikin ketika hadir merasmikan salah satu pertandingan kucing antarabangsa. - Kredit foto: Selangorkini
Tengku Permaisuri Norashikin ketika melawat Klinik Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. - Kredit foto: Selangorkini