KL City FC dengan Bojan Hodak (kanan dengan trofi) girang meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan JDT 2-0. - Kredit foto: MFL


PENANTIAN selama 32 tahun untuk Kuala Lumpur kembali bergelar juara Piala Malaysia berakhir pada 30 November 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika usia pertandingannya mencecah 100 tahun.

Dijenamakan semula sebagai Kuala Lumpur City FC (KL CIty FC) atas dasar pelesenan dan penswastaan, skuad bimbingan Bojan Hodak ini turut merampasnya dengan menumbangkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC 2-0

Jaringan Zhafri Yahya dan kapten, Paulo Josue pada minit ke-66 dan 74, melemaskan Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora dari Mexico yang menjadi pilihan majoriti pemerhati bola sepak tanah air.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan KL City FC

PAULO Josue meledakkan rembatan kaki kiri untuk gol kedua KL City FC selepas mendapat umpanan Ryan Edward Lambert. - Kredit foto: MFL


‘Tragedi’ JDT dalam final itu turut mendapat perhatian bekas pemain Johor, Serbegeth Singh yang berkata, mereka ketandusan Pelan B setelah gagal menembusi gawang KL City FC yang kebal dikawal oleh Kevin Ray Mendoza.

Kecuali hampir tertewas dengan rembatan Bergson Gustavo da Silva yang terkena tiang pada minit kesembilan, Mendoza pula kerap kali menafikan aneka percubaan JDT termasuk oleh dua pemain kebangsaan, Nazmi dan Syafiq serta bek tengah import, Mauricio.   

Empat pertukaran pemain JDT katanya, hanya untuk membetulkan kesilapan tetapi akhirnya masih gagal menukar kekalahan 2-0 dan mempertahankan gelaran di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


SERBEGETH Singh (kanan) ketika bersama-sama Bojan Hodak selaku ketua jurulatih JDT 2014 hingga 2015. 


KEVIN Ray Mendoza (jersi hijau) dianggap ramai lebih berhak ditabalkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: MFL


“Kejatuhan JDT dalam babak kedua begitu mengejutkan selepas menguasai babak pertama. Mereka kekurangan Pelan B. Mereka tukar pemain pun hanya untuk memperbaiki kesilapan. 

“Adil kalau dikatakan, pasukan yang lebih baik malam itu, telah menang (KL City),” kata bekas pemenang hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989 dengan Kuala Lumpur ini.

Shebby (nama julukannya), 61, yang  juga pengulas pakar bola sepak TV terkenal, mengulas tindakan nekad Mora yang memasukkan Mohamadou Sumareh, La’Vere Corbin-Ong, Nazmi Faiz Mansor dan Syafiq Ahmad. 

Masing-masing mengambil tempat Mohd. Afiq Fazail, S. Kunanlan, Safawi Rasid dan Arif Aiman Hanapi namun terus kempunan mencipta trebel musim 2021 selepas merangkul Piala Sumbangsih dan Liga Super.  


SHEBBY (tiga dari kanan) bersama skuad Kuala Lumpur juara Piala Malaysia 1987. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


PAULO Josue, kapten dan perantara KL City FC (merah) bersaing di udara dengan bek tengah JDT FC, Shane Lowry. - Kredit foto: MFL


Shebby yang sebelum ini menyatakan sokongannya malah memilih JDT bakal juara semula, menambah, KL City FC kendalian Hodak, warga Croatia hanya bermain gaya bola sepak yang asas dan mudah. 

"Tahniah kepada KL City kerana memenangi Piala Malaysia. Permainan yang asas dan mudah. Mereka bertahan secara beramai-ramai dan menyerang balas. 

“Selepas 90 minit, mereka berhak untuk menang,” kata bekas bek tengah skuad negara dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 serta juara Pestabola Merdeka 1986 ini.

Anak jati Kluang, Johor ini berhirah ke Wilayah Persekutuan yang ditewaskan negeri kelahirannya itu 2-0 dalam final Piala Malaysia tanggal 13 Julai 1985 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sesudah Wilayah Persekutuan bertukar nama kepada Kuala Lumpur mulai 1986, Shebby bangkit bersama Si Warga Kota yang menumpaskan Kedah 1-0, 3-0 dan 2-1 untuk mencipta hatrik kejuaraan bola sepak teragung negara itu. - KitaReporters


SERBEGETH Singh (berdiri, dua dari kiri) bersama-sama pasukan Kuala Lumpur dalam siri jelajah di Eropah.


KL City FC: Kevin Ray Mendoza, Daniel Sang Ting, Kamal Azizi Mohamad Zabri, Ryan Edward Lambert, Romel Morales Ramirez, Zhafri Yahya (Arif Shaqirin Suhaimi), Giancarlo Gallifuoco, Muhammad Akram Mahinan, Partiban Janasekaran (Hadin Azman), D. Kenny Pallraj (Shukor Adan), Paulo Josue Sturmer Dos Reis.

JDT FC: Farizal Marlias, Matthew Davies, Mohd. Afiq Fazail (Mohamadou Sumareh), Bergson Gustavo da Silva, Leandro Velazquez, S. Kunanlan (La’Vere Corbin-Ong), Shane Lowry, Safawi Rasid (Nazmi Faiz Mansor), Ignacio Natxo Insa, Mauricio Nascimento, Arif Aiman Hanapi (Syafiq Ahmad).


BERGSON Gustavo da Silva (kiri) kempunan gol kerana rembatannya hanya terkena tiang gol ketika Kevin Ray Mendoza sudah tertewas. Cuba mengekangnya ialah Zhafri Yahya, penjaring gol pertama KL City FC. - Kredit foto: MFL

14
10
0
8
0

Copy Link: