Video| Cinta Wany Hasrita kepada ibu bukan Cinta Khayalan! Mahu bahagiakan ibu selagi mampu!
Published by"SAYA adalah saya biarpun setinggi mana pun saya terbang, Insya-Allah saya akan tetap membumi. Syukur sebab saya ada ibu yang selalu ingatkan saya supaya selalu bersyukur dan jangan lupa diri.
"Saya memang selalu bersama ibu, dan bagi saya ibu adalah segalanya. Salah satu tujuan saya melangkah ke dalam industri hiburan ini juga selain kerana minat, saya berazam untuk membahagiakan ibu,” jelas Wany Hasrita tulus.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan single terbaharu:
https://kitareporters.com/search?search=single+terbaharu
Tambahnya, sebelum menjadi penyanyi, beliau melalui hidup susah bersama ibu, tambahan pula sewaktu ibu diberhentikan kerja.
“Waktu tu walaupun susah Wany tengok wajah ibu tenang je dan selalu bagi Wany kekuatan. Dan dari situlah Wany berazam Wany takkan sia siakan peluang apabila ditawarkan oleh FMC Music.
"Alhamdulillah Wany sangat berterima kasih kepada FMC Music kerana percaya bakat Wany walaupun ketika itu Wany bukan siapa siapa dan tidak dikenali,” kenang Wany mensyukuri perjalanan seninya membawa kebahagian kepada diri dan ibu tercinta malah sudah pun membelikan sebuah rumah buat ibu tersayang pada bulan September tahun lalu.
@wanyhasrita: Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah for everything. Betullah, kata-kata itu satu doa. Setiap hari sebut nak beli rumah, pegi haji & umrah doa permudahkan utk beli rumah. Ini azam saya tahun 2019, 1 tahun delay. Tapi Allah tahu bila waktu yg terbaik utk dia beri pada hamba-Nya. Ibu, ini rumah kita. Terima kasih pd semua yg mendoakan. ❤️
Walau pun berdepan dengan pandemik COVID-19, Wany Hasrita meluahkan hasrat tidak mahu bersedih-sedih lagi melainkan terus melangkah dengan takdir yang Allah aturkan untuk beliau terus kecapi kebahagiaan bersama ibu dan insan-insan lain yang disayangi.
"Dah tak nak fikir yang negatif dan Wany nak terus berjaya,” katanya tersenyum manis.
Sementara itu, bercakap mengenai lagu terkininya, Bintang Paling Popular ABPBH31 ini berkata: “Saya rela dikritik tetapi bukan bab peribadi melainkan demi kebaikan kerjaya dan lagu saya sahaja.”
Tambah penyanyi bernama penuh Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 29, ini, beliau mohon semua peminat dan pendengar menjadi juri dan tidak teragak-agak memberi komen tentang lagu dan cara nyanyiannya melalui ‘Cinta Khalayan’.
“Tetapi ingat, jangan komen kisah peribadi dah la,” tambahnya berseloroh sebelum melancarkan single terbaharunya, “Cinta Khayalan’ pada 5 Februari 2021 di semua platform digital dan muzik video saluran YouTube FMC Music.
Mengakui “Cinta Khayalan merupakan lagu yang paling berat dan susah untuk dibawa memandangkan lagu tersebut memerlukan emosi yang kuat selain perlu fokus pada vokal.
“Ini pertama kali saya merakamkan lagu yang memerlukan masa yang lama untuk disiapkan. Empat kali saya ke studio rakaman bagi memastikan hasil lagu ini betul-betul mencapai tahap yang dikehendaki oleh pencipta lagunya iaitu Amelia dan Farouk,” ujar pemegang Sarjana Muda Sains Perubatan dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU Shah Alam) ini.
Menurut Wany, lebih mencabar lagi apabila lagu berkenaan dirakamkan sewaktu bulan Ramadan tahun 2020 lalu.
“Bayangkan struggle nya saya untuk siapkan lagu ini kerana bulan puasa sudah tentunya tenaga juga berbeza berbanding bulan lain. Namun saya sangat puas hati kerana pengorbanan saya berbaloi,” ujar Wany Hasrita puas.
“Lagu ini berat dan sangat mendalam maksudnya, saya rasa amat gembira kerana telah melangkah setapak ke hadapan malah saya rasa telah berjaya mencabar diri untuk keluar dari zon yang selesa dan nyanyi lagu yang biasa saya nyanyikan.
"Jujur saya kata kan saya ‘in love’ dengan lagu ini. Kalau kalian tak percaya dengar dan hayatinya,” sambung pelantun lagu 'Menahan Rindu’ ini lagi yang bakal bersaing dalam Anugerah Juara Lagu ke-35 bersama Raja Pop, Dato Jamal Abdillah melalui lagu ‘Belenggu Rindu’.
Tidak syak lagi nyanyian duetnya bersama penyanyi veteran yang hebat seperti Dato Jamal Abdillah merupakam satu sejarah tersendiri diciptanya sebagaimana beliau pernah memulakan kerjayanya dalam industri hiburan dengan single duet ‘Memori Berkasih’ dalam bahasa Melayu dan bahasa Korea yang dinyanyikan bersama penyanyi berasal dari Korea, Kim Dong Gyun pada tahun 2016.Begitu cepat masa berlalu sehingga Wany pun tak sangka rupanya telah merakamkan 18 buah lagu sepanjang enam tahun sejak bergelar artis rakaman.
Namun bagi penyanyi yang boleh dikelaskan sebagai 'Ikon Artis Wanita' berdasarkan pencapaian dan imej bersih yang sering ditampilkan tanpa sebarang kontroversi yang melampau ini, tidak sesekali mendongak ke langit. - KitaReporters