Cintai ibu bapa! Kasihi peminat! Kelab Sahabat Bonda Nor anjur perkampungan! Bagi jalin ukhuwah!
Published byTanpa pembaca siapalah penulis. Tanpa pembeli bagaimana sesuatu karya akan sampai di hati. Begitulah kehidupan, saling memerlukan.
Menyedari hakikat itu, penulis dakwah santai merangkap usahawan wanita dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Bonda Nor sentiasa meraikan kelompok peminatnya dengan cara tersendiri.
Menerusi penubuhan Kelab Sahabat Bonda Nor (KSBN), anak jati Melaka itu berusaha menjalin ukhuwah di samping menghargai mereka yang sentiasa menyokongnya dari awal pembabitannya sebagai penulis.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penulis
Bertemakan Sirih Pulang ke Gagang, satu progam Perkampungan KSBN yang julung kali dianjurkan pada tahun 2022 ini telah diadakan di Kampung Kandang, Melaka pada 29 Januari 2022 lalu.
Memilih kampung halaman sendiri sebagai lokasi pertama program kelab tersebut, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, 45, mengakui teruja untuk memperkenalkan tempat asal usulnya pada penyokongnya.
"Saya gembira untuk menerima kehadiran peserta KSBN di kampung sendiri. Di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim, mereka juga berpeluang mengenali penduduk kampung terutama ahli keluarga saya. Malah, mak dan abah saya cukup seronok untuk melayan tetamu yang berkunjung hingga sanggup menyediakan masakan istimewa,” kata Bonda Nor.
Dalam pada itu, penulis buku best-seller Be Strong ini memberitahu, kali pertama beliau memegang mikrofon di Masjid As Salimin adalah pada 34 tahun yang lalu. Ketika itu, beliau dipilih oleh guru besar sekolahnya untuk menjadi pelajar yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul.
"Alhamdulillah. Ia satu nostalgia yang sangat hebat. Saya boleh katakan ketika itu, dalam ramai-ramai pelajar sekolah tiba-tiba cikgu panggil saya. Rasa grand dah masa tu sebab orang kampung semua ada. Berdebarnya sebab bawa nama mak ayah. Ia kenangan manis bagi saya. Masa itu dapat bunga yang nilainya RM50. Rasa bahagia sungguh.
Bonda Nor bersama kedua-dua ibu bapanya yang telah banyak menyokong perjuangannya sehingga menjadi penulis terkenal tanah air.
"Namun, apa yang saya ingin kongsikan adalah saya pernah mengharumkan nama mak ayah, kemudian saya pernah menghancurkan hati mereka dengan berbagai kesilapan sebagai seorang remaja. Kemudian berkahwin pun buat silap lagi dan lagi. Sampai hari ni buat silap. Allahu Akbar.
"Di mana yang paling penting sekali mak ayah tidak pernah tinggalkan saya. Dia marah, dia pujuk, dia mengamuk, semuanya kerana satu sebab sahaja iaitu perasaan sayang seorang ibu dan seorang ayah kepada anaknya," luah Bonda Nor.
Menurut Presiden KSBN, Rafiuddin Rohani, penganjuran acara seumpama ini diharap dapat merapatkan hubungan antara Bonda Nor dan peminat serta pengikutnya yang sebelum ini mungkin mengenali beliau secara dalam alam maya.
“Melalui program ini, mereka boleh menyelami sisi kebaikan seorang Bonda Nor yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat penyokongnya. Siapa yang telah mengenali Bonda Nor, pasti tahu tentang sifatnya yang suka memberi dan sering mengajak pada kebaikan. Insya-Allah, moga usaha ini dipandang sebagai jariah di sisi Allah,” jelas beliau yang merupakan seorang pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.
"Berada dalam kelompok positif, akan menjadikan kita insan yang lebih proaktif dan motivasi tinggi. Terima kasih, Bonda Nor dan semua pasukan yang setia dalam perjuangan ini!" ungkapnya.
Sementara itu, salah seorang ahli KSBN merangkap peserta penulisan buku solo Golden Circle Akademi Bonda Nor (GCABN), Mazlida Hassan berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertentang mata dengan Bonda Nor selepas mengikuti beberapa siri bengkel penulisan beliau.
"Alhamdulillah, syukur kerana Allah izinkan pertemuan bersama Bonda Nor melalui program ini. Bahagia di hati hanya Allah yang tahu. Terima kasih Bonda atas layanan terbaik yang diberikan. Semoga Allah rahmati ukhuhwah ini," tuturnya yang datang bersama keluarga dan lengkap memakai persalinan pahlawan Melayu mengikut tema program.
Selain acara di masjid, aktiviti sukaneka yang dianjurkan berjaya membangkitkan suasana meriah di dalam kebun. Malah, para peserta turut dijamu dengan minuman air kelapa segar dan tembikai ketika mengikuti aktiviti tersebut.
Antaranya permainan boling kelapa, tarik tali, cari gula dalam tepung, mengail belon di dalam kolam dan banyak lagi. Tidak ketinggalan turut diadakan pertandingan memasak yang memerlukan peserta memikirkan kreativiti menyediakan hidangan nasi goreng secara tradisional.
Sehingga kini, terdapat 1,200 ahli telah berdaftar sebagai KSBN yang ditubuhkan pada tahun 2019. Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Kelab Sahabat Bonda Nor atau hubungi talian 012-6864914 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters