Apa beza lelaki Buaya dan kasanova? Balqis ada jawapannya!
Published bySETELAH hampir 15 tahun mencari peluang mengetengahkan bakatnya melalui beberapa pertandingan nyanyian bermula dari Bintang Kecil RTM 2010, Idola Kecil Ultra 2014 dan terakhir protege Hazama dalam Mentor Milenia 2017, penyanyi Nor Balqish Ahmad Tajudin, 21, adalah contoh bakat muda yang tidak pernah berputus asa sehingga mampu muncul dengan single debutnya, ‘Buaya’. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan penyanyi:
https://kitareporters.com/tag/penyanyi
Melalui ‘Buaya’, Nor Balqis yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Balqis sahaja menampilkan pula gandingannya, penyanyi rap wanita, Mimi Fly.
Memilih seorang penyanyi janda sebagai rakan kolaborasinya, apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Balqis melalui ‘Buaya’? Adakah ini cerminan daripada pengalaman hidupnya yang juga sudah bergelar janda muda?
“Sebenarnya, saya memilih untuk berkolaborasi dengan Mimi Fly adalah sebagai tanda penghargaan kepadanya yang bukan sahaja merupakan idola saya tetapi Mimi juga adalah guru saya selain Hazama, Genervie Kam dan Afif Tirmizie."
"Sebelum ini saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Mimi sebagai guru aksi panggung ketika menyertai 'Mentor Milenia 2017', Mimi banyak mengajar saya tentang ‘stage present’ dan cara untuk memberikan persembahan lebih efektif di pentas,” ujar Balqis yang sudah mula menyanyi sejak berusia 6 tahun.
Malah, pemenang tempat ketiga 'Idola Kecil musim ke-3' ketika berusia 11 tahun ini memberitahu, “Buaya’ mengisahkan tentang kekuatan seorang wanita di mana hidupnya dikelilingi lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Lagu ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal ini cuba mengetengahkan karakter wanita kuat, berdikari, berkerjaya dan berkarisma di dalam mengharungi perjalanan hidup selepas dicurangi dan ditinggalkan.
Lebih menarik, lirik lagu merupakan hasil nukilan dua komposer berkenaan bersama Balqis dan Mimi Fly, tidak hairanlah apabila lagu itu menjadi istimewa apabila menggandingkan dua penyanyi cantik berstatus janda.
Begitu pun, mengulas tentang mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ‘Buaya’ Balqis menjelaskan, “umum mengetahui bahawa gelaran lelaki kasanova berasal dari kisah seorang lelaki yang bergelar 'kasanova' yang suka memikat perempuan dan mempunyai banyak kekasih.“
Tambahnya, gelaran lelaki buaya pula berasal daripada peribahasa Melayu iaitu 'buaya darat' yang merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan.
“Namun ramai yang keliru dan merasakan lelaki kasanova dan lelaki buaya adalah karakter yang berbeza. Menerusi lagu Buaya, kami cuba membuktikan bahawa yang kasanova dan yang buaya itu adalah lelaki yang sama,” jelas Balqis.
Bercakap tentang pengalaman masuk ke studio merakam karya sulungnya itu, Balqis berkata, “sebenarnya gubahan lagu telah bermula sejak awal tahun ini dan demo pun sudah disiapkan ketika bulan Mac lalu.
"Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, proses rakaman terpaksa ditangguhkan. Bulan Ogos baru dapat masuk studio untuk mulakan rakaman, dan rakaman siap sepenuhnya pada bulan September.”
Walaupun melalui pelbagai aral melintang tambah Balqis, beliau bersyukur kerana lagu sulungnya itu dapat disiapkan di bawah terbitan Adopt Entertainment dan edaran Universal Music Malaysia.
“Buaya’ sudah boleh didengar di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. - KitaReporters