NAMA Ayez Shaukat-Fonseka Farid, 34, tidak asing bagi peminat gusti tanah air. Selain menjadi ahli gusti, Ayez yang merupakan pengasas Malaysia Pro Wrestling (MYPW) dan ketua jurulatih di situ juga aktif dalam bidang seni.

Siapa yang menonton filem Gila Gusti, lakonan Elizabeth Tan dan Syafie Naswip yang ditayangkan di pawagam pada Mac 2022 lalu, pasti ingat watak Naga adalah orang baharu dalam bidang seni lakon.

Sebenarnya Naga lakonan Ayez bukanlah orang baharu dalam bidang seni lakon kerana ahli gusti itu sudah lama terbabit dalam industri lakonan dan dia juga bertindak sebagai penolong pengarah untuk filem tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan gusti

Ayez Shaukat-Fonseka Farid merupakan ahli gusti tempatan yang pertama muncul dalam program TV di Amerika Syarikat.



Kehadiran Ayez dalam bidang lakonan tidak menonjol berbanding di gelanggang gusti kerana dia sering diberi tanggungjawab untuk kerja-kerja di belakang tabir termasuklah sebagai stuntman dan pengarah.

Dia pernah muncul dalam Budak Lorong serta berlakon filem Juvana 2, Juvana 3 dan Sangkar tapi namanya sebagai pelakon sukar melekat di bibir peminat seni tanah air, walhal Ayez Shaukat banyak terbabit dalam pembikinan filem tempatan.

Ayez pernah menjadi penolong pengarah untuk filem pendek berjudul Taruh yang tular sejak dikongsi di laman FB (Facebook)  Cineplus Asia dan dia juga pernah mengarahkan filem Inggeris berjudul Dark Eye untuk Amazon.


Penampilan Ayez yang mengenakan tanjak dalam program Reality of Wrestling menarik perhatian ramai. 


Kini nama Ayez kembali mendapat perhatian ramai apabila ahli gusti profesional itu mendapat perhatian syarikat produksi Hollywood yang melamarnya untuk terbabit dalam enam episod rancangan Reality of Wrestling.

Pada 26 Jun 2022 lalu menerusi FB (Ayez Shaukat-Fonseka Farid) , Ayez melahirkan rasa gembiranya dan memberitahu orang ramai bahawa hari itu dia di muncul di saluran TV di negara Hollywood itu

“Hari ini (26 Jun 2022) saya keluar di kaca TV Hollywood, menjadikan saya ahli gusti anak kelahiran Malaysia yang pertama keluar di TV USA. Dan saya juga seorang pelakon, mungkin juga salah satu antara tidak ramai yang berjaya tembusi USA.


Dalam episod program tersebut, Ayez bertarung dengan Jonathan Vega.


Lengkap dengan tanjak dan berjaket songket, membawa identiti dan imej Nusantara ke mata Hollywood.

“Tapi sayang, disebabkan saya bukan "artis" atau "selebriti" popular, berita ni takkan tersebar luas. Dan di tanah air saya sendiri, saya tetap takkan dipanggil untuk job atas bakat saya, sebab saya bukan tergolong dalam golongan artis atau selebriti. 

"Kalau ada rezeki, mungkin setahun 3-4 kali tu dah kira tahun yang baik,” katanya yang sudah 13 tahun dalam bidang seni lakon tanah air.  

Rupa-rupanya orang luar lebih nampak bakat Ayez dalam bidang seni berbanding penggiat seni tempatan kerana sebelum ini dia ada menerima tawaran daripada syarikat produksi tempatan namun kebanyakannya watak antagonis dan pelakon pembantu.


Akhirnya Ayez berjaya mendapat perhatian produksi Hollywood berbanding tempatan.


Menurut Ayez, dia menerima tawaran daripada produksi Hollywood itu sejak dua tahun lalu namun terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke sana disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Dia telah ke Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan Jun 2022 selama dua minggu untuk rakaman rancangan gusti profesional, Reality of Wrestling yang diadakan di Stadium World Gym Arena, Texas.

Reality of Wrestling adalah sebuah rancangan gusti profesional yang dimiliki dan dikelolakan oleh ahli gusti profesional legenda, Booker T, yang juga merupakan ahli Hall of Fame sebanyak dua kali dalam syarikat gusti terbesar dunia, WWE (World Wrestling Entertainment).


Bersama Dr Tom Prichard, jurulatih legenda WWE, The Rock.


Bercerita tentang pengalamannya di sana Ayez mengakui terharu kerana mendapat layanan baik oleh semua pihak yang terlibat dalam rancangan tersebut.

“Saya muncul sebagai persona gusti bernama Shaukat yang juga dikenali sebagai The Nusantara Menace. Dalam program tersebut, Shaukat berjaya menewaskan ahli gusti veteran asal Texas, Jonathan Vega.

“Alhamdulillah, penerimaan terhadap saya amat baik termasuk daripada kanak-kanak teruja yang bersorak ketika datang mengikuti rakaman di lokasi penggambaran. Mungkin kerana mereka tertarik melihat penampilan saya yang memakai tanjak serta nampak lain daripada lain.

"Penerimaan positif itu membuatkan saya jadi bertambah teruja lebih-lebih lagi kerana pertama kali muncul di stesen televisyen Hollywood dan berjumpa dengan pelakon serta pengarah hebat di sana.

"Lebih membuatkan saya terharu apabila mereka mahu membantu mengusulkan nama saya untuk berlakon dalam siri lain," katanya berkongsi kegembiraannya menerusi hantaran di FB.


Sepanjang menjalani penggambaran di sana, Ayez mendapat layanan baik daripada para kru produksi.


Menurut Ayez, perbelanjaannya sepanjang berada di AS ditaja oleh syarikat produksi milik ahli gusti terkenal, Booker T dan turut mendapat tajaan dua syarikat tempatan, Cineplus Asia dan XO Ice Cream.

Kata Ayez, dia amat terharu kerana mendapat layanan baik oleh semua pihak yang menjayakan rancangan tersebut, malah gembira kerana turut diundang Dr Tom Prichard, jurulatih legenda WWE, The Rock untuk mengajar kelas seni lakonan di Knoxville, Tennessee, AS.

Bagi mengetengahkan identiti Malaysia, Ayez tampil dalam rancangan itu dengan memakai tanjak dan jaket songket ditempah oleh Paul Carling, pereka pakaian dari Sarawak yang banyak menghasilkan busana pertandingan Ratu Cantik di Borneo.

Booker T sebelum ini pernah berkata Shaukat mempunyai bakat tersendiri dan berminat untuk membawanya menyertai Reality Of Wrestling. - KitaReporters


Sepanjang berada di Amerika Syarikat, perbelanjaan Ayez ditaja oleh produksi ahli gusti Booker T.


17
11
0
8
0

Copy Link: