2 Julai Hari Wartawan Sukan Sedunia! Cabaran dibuang kerja!
Published byARENA kewartawanan sukan Malaysia hari ini berdepan cabaran yang sangat besar terutama gara-gara langkah pengecilan saiz tenaga kerja dan operasi syarikat-syarikat media aliran perdana seperti Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Media Prima sejak beberapa bulan lalu. : KitaReporters
LAMAN Facebook rasmi Reezal Merican Naina Merican mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia pada 2 Julai 2020. - Kredit foto: FB Reezal
Sebahagian besar petugas media seperti wartawan, jurugambar dan juruvideo kehilangan mata pencarian biarpun sumbangan mereka dalam membantu pembangunan sukan negara dan perpaduan nasional, tidak sesekali boleh dipertikaikan.
Seperti 'wira yang tidak didendang' (unsung hero), kudrat dan keringat mereka sebenarnya tetap sama hebat dan getirnya dengan perjuangan atlet-atlet negara dalam mengharumkan dan memartabatkan sukan Malaysia di persada antarabangsa.
Justeru bersempena Hari Wartawan Sukan Sedunia yang diraikan pada 2 Julai setiap tahun, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru seluruh peminat sukan tanah air menghargai peranan dan sumbangan pengamal media sukan itu.
JASNI SHAFIE. - Kredit foto: FB Jasni
“SAM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia yang diraikan pada hari ini, (Khamis) 2 Julai 2020, kepada para pengamal dan penggiat media sukan Malaysia di tengah-tengah cabaran yang sangat besar melanda mereka akibat langkah pengecilan syarikat media.
“Ramai rakan kami kehilangan pekerjaan tetap tetapi kepada para peminat sukan tanah air, marilah sama-sama kita menghargai sumbangan dan peranan mereka yang tidak boleh dinafikan dalam membantu pembangunan sukan negara dan memupuk perpaduan nasional.
“Hari Wartawan Sukan Sedunia diraikan di seluruh dunia hari ini sempena memperingati tarikh penubuhan sebuah persatuan yang menaungi pengamal media sukan seluruh dunia, Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS) pada 1924.
“AIPS kini disertai lebih 156 negara,” kata Presiden SAM, Jasni Shafie dalam siaran media hari ini, Khamis, 2 julai 2020.
KERINGAT dan kudrat petugas dan pengamal media (kanan) sama hebatnya dengan perjuangan atlet-atlet dalam memartabatkan sukan Malaysia.
SAM selain itu katanya, amat menghargai ucapan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman Facebook rasminya berhubung sambutan hari istimewa itu.
“Ucapan beliau membuktikan perhatiannya kepada golongan wartawan dan pengamal media sukan lain di negara ini biarpun baru menyandang tugas menerajui Kementerian Belia dan Sukan sejak 9 Mac 2020 lalu,” katanya. - KitaReporters