Video| Lagu klasik nafas baharu! Interpretasi Dayang Nurfaizah lagu Tudung Periuk dalam Belagu
Published byNAMPAK gayanya walaupun negara masih memerangi pandemik COVID-19, artis-artis popular tanah air sudah mula menghasilkan album penuh dan bukan lagi single seperti lazimnya. Sudah tentu Dato Seri Siti Nurhaliza mempelopori langkah itu apabila mengeluarkan album ‘ManifestaSITI2020’ pada Julai 2020 lalu. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Dayang Norfaizah:
https://kitareporters.com/search?search=Dayang+Nurfaizah
Ini dikuti penyanyi rap Yonnyboii pada Disember 2020, manakala penyanyi nasyid, Hafiz Hamidon melancarkan ‘Marhaba’ sebagai pembuka tirai 2021.
Kini, pemenang vokal terbaik tiga kali berturut-turut sejak AJL30 (2015), Dayang Nurfaizah akan mengambil langkah sama melancarkan album kesembilannya ‘Belagu’ tidak lama lagi.
Dipetik dari perkataan dalam dialek Melayu negeri kelahirannya Sarawak, ‘Belagu’ yang membawa maksud menyanyi agak menarik apabila album yang bakal hadir dengan lapan buah lagu mengetengahkan intrepretasi segar Dayang mengembalikan esen muzik tradisional Melayu tetapi dalam nafas yang baharu.
Menerusi 'Belagu', Dayang mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar.
“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampaiannya. Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” ujar Dayang pada majlis pradengar ‘Belagu’ yang berlangsung pada Selasa, 12 Januari 2021 bertempat di Universal Music Malaysia.
Penyanyi tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah ini memilih lagu ‘Tudung Periuk’ nyanyian asal Seniman Agung P. Ramlee dan Biduanita Saloma dalam filem ‘Sumpah Orang Minyak’ sebagai lagu pada trek pertama albumnya.
Disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito, kelainan album berkonsepkan lagu klasik Melayu ini terletak pada proses rakamannya yang mana Dayang merakamkan lagu-lagu dengan iringan muzik secara langsung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.
Process rakaman yang di sempurnakan dalam masa dua hari, diiringi pemuzik-pemuzik di bawah telunjuk Aubrey Suwito.
Menurut Dayang, pemilihan ‘Tudung Periuk; sebagai lagu pertama adalah kerana kemasyhuran lagu itu dalam kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.
“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, begitu juga cara penyampainnya yang mana kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan," ujar Dayang.
'‘Tudung Periuk' cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu. Kami melancarkan lagu ini terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan kepada mereka sepenuhnya apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak, “ harapan penyanyi berusia 29 tahun yang masih solo ini.
Menurut pelantun lagu ‘Dayang Sayang Kamu’ ini lagi, beliau berpendapat sekiranya pendengar sukakan lagu ‘Tudung Periuk’ pasti mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu klasik lain dalam ‘Belagu’.
Tujuh lagu lama lain yang menjadi pilihannya meliputi ‘Jikalau Abang Rindu’, ‘Tak Seindah Wajah’, ‘Malam Ku Bermimpi’, ‘Tari Tualang Tiga’, ‘Di Kirim Jangan Dipesan Jangan’ dan sebuah lagu duet yang dinyanyikan bersama pasangan duet mesranya, Hael Husaini berjudul ‘ ‘Gurindam Jiwa’.
Wah! Masih pilih Hael Husaini ya dan bukan orang lain, al-maklum lagu duet mereka “Haram’ menjuarai AJL33 kan malah mereka pula pasangan ideal gitu!
Apa pun, ‘BELAGU’ diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
'Tudung Periuk' boleh didengar dalam semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 15 Januari 2021, manakala album 'Belagu' edisi digital akan dilancarkan pada 12 Febuari 2021.
Jadi peminat Dayang eloklah tandakan kalendar anda terlebih awal ya! - KitaReporters