#zahirkankesyukuran! Misi kemanusiaan Rezeki Qurban! Ibadat korban di 31 negara termasuk Malaysia!
Published byISLAMIC Relief Malaysia meneruskan lagi misi kemanusiaannya untuk membantu golongan rentan dengan melancarkan kempen Rezeki Qurban yang turut berperanan memudahkan serta membuka peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban di 31 buah negara merentasi benua termasuk Malaysia.
Kempen berslogan #zahirkankesyukuran ini menyasarkan 1,134 penyertaan bahagian korban dengan nilai sasaran kutipan dana sebanyak RM660,000.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibadat korban
Objektif program bermusim yang turut dijalankan Islamic Relief secara global ini adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam yang berkemampuan melaksanakan ibadah korban, serta menjadi serampang dua mata dalam membantu golongan rentan menerusi agihan sumbangan daging korban.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata Islamic Relief telah menjalankan program ibadah korban selama lebih 30 tahun.
Berbekalkan pengalaman lebih 3 dekad ini, Islamic Relief sentiasa menjanjikan tawaran perkhidmatan yang terbaik serta ketelusan dalam menyampaikan amanah yang digalas.
“Inisiatif kempen Rezeki Qurban yang dijalankan Islamic Relief Malaysia diharapkan dapat menjadi jawapan kepada doa-doa penerima manfaat yang sering mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, juga kesukaran untuk mendapatkan akses makanan berprotein hingga menjejaskan kesihatan mereka.
“Disebabkan itu, setiap tahun mereka akan menanti-nanti ketibaan perayaan Aidiladha dan berharap adanya kakitangan Islamic Relief hadir mengetuk pintu untuk menyumbangkan daging segar buat mereka.
“Realiti ini banyak berlaku di negara seperti Yaman, Syria, Somalia, Ethiopia, Palestin dan negara-negara lain yang sedang dilanda konflik kemanusiaan berpanjangan.
"Ada antara penerima manfaat daging korban yang kita edarkan di luar negara hanya berpeluang menikmati juadah daging sekali dalam setahun, itu pun sekiranya mereka terpilih sebagai salah seorang penerima manfaat.
"Selain itu, ada juga yang meluahkan bahawa mereka baru pertama kali merasai nikmat makan daging apabila menerima sumbangan daging korban daripada Islamic Relief,” kata Zairulshahfuddin dalam satu kenyataan media pada 10 Mei 2022,
Dalam usaha memastikan penerima yang benar-benar layak mendapat perhatian sewajarnya, proses penilaian dan pemilihan penerima manfaat daging korban yang dilakukan Islamic Relief adalah berpandukan 19 kriteria di antaranya adalah isi rumah yang diketuai oleh ibu tunggal, orang tua dan OKU, ketua keluarga yang bergantung harap dengan pendapatan gaji harian, isi rumah yang hidup di bawah paras kemiskinan, penduduk yang terjejas dengan bencana seperti banjir, COVID-19, dan ancaman musim sejuk, wanita mengandung dan menyusu, warga emas, anak yatim, komuniti atau etnik yang terpinggir, pelarian dalam negara (IDP), dan lain-lain.
“Asas pemilihan negara-negara bagi pelaksanaan korban yang ditawarkan oleh Islamic Relief antaranya meliputi aspek ekonomi sesebuah negara, di mana penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, negara yang berdepan krisis dan konflik kemanusiaan berpanjangan serta penduduk di negara yang berdepan masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi,” tambah Zairulshahfuddin dalam kenyataan itu lagi.
Setiap keluarga terpilih akan menerima kira-kira antara 2 kilogram hingga 4 kilogram daging korban yang dijangka boleh bertahan bagi tempoh satu minggu.
Bagi proses pemilihan haiwan ternakan untuk disembelih, Islamic Relief amat menitikberatkan kriteria haiwan sembelihan agar menepati syariat Islam yang ditetapkan seperti melebihi umur minimum bagi haiwan sembelihan serta bebas daripada sebarang kecacatan.
Jenis haiwan sembelihan korban pula, adalah berbeza mengikut negara terlibat antaranya lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Orang ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban bersama Islamic Relief Malaysia boleh terus ke laman sesawang www.islamic-relief.org.my untuk membuat pendaftaran.
Harga bagi setiap penyertaan bahagian korban berbeza mengikut negara dan bermula dari RM350 sehingga RM1,800. - KitaReporters