UCAPAN Selamat Berjuang oleh Majlis Sukan Negara (MSN) buat kontinjen 30 atlet negara pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 (2021). - Kredit foto: MSN


Menjelang Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kontinjen Malaysia menerima suntikan semangat menerusi pengurniaan Jalur Gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 6 Julai 2021. - Kredit foto: FB Majlis Sukan Negara


MENJALANI ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) sebelum berlepas dan ketibaan, menjaga penjarakan fizikal dan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) Tahap 1 yang mengandungi pelitup dan perisai muka.

Tiga langkah pencegahan daripada dijangkiti Covid-19 ini diberikan penekanan serius oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap 30 atlet dan lebih 20 pegawai kontinjen negara termasuk 21 jurulatih ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021).

Inilah keputusan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-27 yang dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pada hari ini, Selasa 6 Julai 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

LEMBAGA Eksekutif MOM yang diketuai Mohamad Norza Zakaria (lima dari kanan) mengingatkan anggota-anggota kontinjen Sukan Olimpik Tokyo agar mengutamakan langkah-langkah pencegahan Covid-19. - Kredit foto: MOM


“Tinggal 17 hari lagi, Sukan Olimpik Ke-32 bakal berlangsung. Anggota-anggota kontinjen ditekankan mengenai kepentingan mengambil langkah-langkah pencegahan Covid-19 tersebut.

“Pelaksanaannya juga perlu ketika dalam perjalanan ke Tokyo manakala ujian PCR setibanya di sana dan secara harian selepas itu dibuat menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo (Togoc),” katanya dalam siaran media MOM.


PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann (kiri) mendengar taklimat tetamu kenamaan yang meninjau persediaan fasa akhir pasukan badminton negara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Kredit foto: MSN


Lembaga Eksekutif MOM ujar Norza turut menamakan juara Kejohanan Seluruh England 2021, Lee Zii Jia sebagai pembawa Jalur Gemilang yang baharu bersama Goh Liu Ying pada hari pembukaan rasmi Olimpik Ke-32 di Stadium Olimpik, Tokyo, Jepun.

Zii Jia, 23, menggantikan tempat pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad yang terpaksa melepaskannya kerana hari perasmian Olimpik yang juga perarakan semua kontinjen pada 23 Julai 2021 bertembung jadual acara recurve campuran yang turut disertainya selain individu.

 “Zii Jia (perseorangan lelaki nombor sembilan dunia) dipilih daripada kalangan atlet lelaki kontinjen negara yang mewakili generasi masa depan atlet Olimpik selain menjadi harapan pingat,” lapor siaran itu.


KHAIRULNIZAM Mohd. Afendy bertanding dalam acara laser pelayaran di Tokyo. - Kredit foto: MSN


Inilah kali ketiga pemain badminton mendukung peranan berkenaan selepas Datuk Razif Sidek di Barcelona 1992 dan Datuk Lee Chong Wei di Rio 2016 dengan masing-masing membawa pulang pingat gangsa beregu lelaki dan perak perseorangan lelaki.

Liu Ying, 32, pemenang pingat perak beregu campuran bersama Chan Peng Soon di Rio, bakal menikmati penampilan ketiga Olimpik (termasuk London 2012) namun Tokyo 2020 (2021) akan menyaksikan kemunculan sulung Zii Jia - ‘Si Penumbang Juara Dunia’ (Kento Momota dan Viktor Axelsen) di Birmingham, Mac 2021 lalu.

Sejak Olimpik Melbourne 1956 (sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya), inilah kali pertama kontinjen Malaysia menampilkan dua pembawa bendera pada perbarisan negara-negara sempena upacara pembukaan rasmi temasya empat tahun sekali itu.


NUR Suryani Mohamed Taibi, atlet tunggal menembak negara di Tokyo, penampilan Olimpik keduanya selepas beraksi dalam keadaan hamil di London 2012. - Kredit foto MSN 


Kata Zii Jia dalam klip video laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM): "Terima kasih MOM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sebab pilih saya sebagai pembawa Jalur Gemilang. 

"Memang saya agak terkejut dan tidak sangka saya boleh dipilih untuk apatah lagi dalam Sukan Olimpik.

"Satu pentas dan penghormatan besar buat saya malah perangsang semangat dan keyakinan untuk bersaing dalam Olimpik. Semoga akan ada keputusan yang bagus daripada saya," kata anak jati Alor Setar, Kedah ini. 

Kontinjen negara seramai 30 atlet akan menyertai sembilan jenis sukan di Tokyo iaitu memanah, olahraga, badminton, berbasikal, akuatik terjun dan renang, golf, gimnastik, pelayaran dan menembak.

Kredit foto: FB Reezal Merican Naina Merican


Majoriti atletnya ialah lapan pemain badminton yang dianggap prospek cerah pingat terutama emas sulung yang sekian lama dinantikan Malaysia. Di Rio, empat perak dimenangi termasuk oleh Chong Wei, ketua kontinjen ke Tokyo.

Selain Zii Jia dan Liu Ying (gandingan campurannya, Chan Peng Soon), mereka ialah Soniia Cheah (perseorangan wanita),  Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean (beregu wanita).

Dua lagi perak 2016 dimenangi Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg (platform 10 meter akuatik terjun seirama wanita), Goh V Shem dan Tan Wee Kiong (beregu lelaki badminton) dan sebutir gangsa oleh Mohd. Azizulhasni Awang (keirin berbasikal). - KitaReporters


KHAIRUL Anuar Mohamad (dua dari kanan) melepaskan peranan pembawa Jalur Gemilang kerana pertembungan jadual recurve berpasukan campuran. - Kredit foto: MOM


TAN Kim Bee, atlet angkat berat yang membawa bendera Malaya pada perbarisan kontinjen bertanding Sukan Olimpik Melbourne 1956. - Kredit foto: MOM 


Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Sukan Olimpik Malaya/Malaysia:

1956 Melbourne: Herman Marie de Souza (hoki)

1960 Rome: Lim Kee Seong (bola sepak)

1964 Tokyo: Datuk Donald Stephens

1968 Mexico: Khaw Kai Boh (bola keranjang)

1972 Munich: Datuk Harun Idris (bola sepak)

1976 Montreal: Raja Azlan Shah (hoki)

1980 Moscow: Malaysia memboikot

1984 Los Angeles: Tunku Adnan Tunku Besar Burhanuddin

1988 Seoul: Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar (skuasy)

1992 Barcelona: Tan Sri Elyas Omar (badminton)

1996 Atlanta: Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan (badminton)

2000 Sydney: Tan Sri P. Alagendra (hoki)

2004 Athens: Datuk Dr. M. Jegathesan (olahraga)

2008 Beijing: Datuk Ho Koh Chye (hoki)

2012 London: Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kriket)

2016 Rio de Janerio: Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (badminton)

2020 (2021) Tokyo: Datuk Lee Chong Wei (badminton)


AZIZULHASNI Awang atau digelar Jijoe dan 'The Pocketrocket Man', pembawa Jalur Gemilang pada Olimpik Beijing 2008 juga pemenang pingat gangsa berbasikal Rio 2016. - Kredit foto: MOM 


LEE Chong Wei memegang rekod penyumbang pingat terbanyak Malaysia dalam Sukan Olimpik - tiga perak 2008, 2012 dan 2016. - Kredit foto: MSN

0
0
0
0
0

Copy Link: