Jangan Takut: Kau Takut.. Aku Pun Takut! Nak takut apa? Tunggu 8 Julai! Takut-takut terlepas!
Published byJUDUL filem ini agak menarik malah sering diluahkan apabila berada dalam situasi ketakutan. Kita akan berkata, "jangan takut, kau takut, aku pun takut". Betul tak?
Begitulah jelasnya mesej yang mahu disampaikan oleh penerbitnya, Fuad Rodzi kala memilih ‘Jangan Takut: Kau Takut.. Aku Pun Takut’ sebagai judul bagi menggambarkan filem bergenre komedi seramnya itu.
Istimewanya filem berkenaan juga menampilkan buat kali pertamanya gandingan trio pelakon dan pelawak terkenal, Mark Adam, Amerul Affendi dan Syuk Sahar.
Sebagaimana ramai penonton filem tempatan maklum, pelakon Amerul Affendi telah membuktikan kemampuannya dalam membawa pelbagai watak yang mana salah satu watak yang menjadi ingatan penonton sehingga ke hari ini adalah karekter Mat Yam melalui filem pecah panggung, ‘Polis Evo’ (gambar bawah).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem
Kali ini, Amerul mempertaruhkan sekali lagi bakatnya dengan bergandingan bersama dua pelakon Syuk Sahar dan Mark Adam yang terkenal dengan ‘punchline’ dan jenaka yang bersahaja.
Tentu lebih gamat jadinya apabila ketiga-tiga mereka ini disatukan ya tak?
Selain mereka, filem ‘Jangan Takut: Kau Takut.. Aku Pun Takut’ turut menghimpunkan barisan pelakon terkenal lainnya seperti Tasha Shilla, Wan Hanafi Su, Delimawati, Ropie, Jasmin Hamid, Bell Ngasri, Melati Zero, Azlee Senario, Ucop Cecupak, Aiyuni Hashim, Kamarul Yusof, Donna Muslim dan Along Eyzendy.
Setiap watak menampilkan karakter dan gelagat tersendiri yang pasti akan mencuit hati penonton manakala dari sudut pengarahan pula, filem ini mendapat sentuhan kreatif pengarah Nazir Jamaluddin.
Nazir banyak mengarahkan karya-karya komedi dan komedi seram malah pernah dinobatkan sebagai Pengarah Komedi Terbaik (TV) di Anugerah Lawak Warna 2014 menerusi drama ‘Bila Joyah Dah Goyah’.
“Filem ini pada awalnya dirancang untuk tayangan di pawagam, namun lanjutan daripada situasi semasa, pihak kami membuat keputusan untuk tidak menangguhkan tayangannya dan memilih platform Astro First untuk mempersembahkan karya ini kepada masyarakat,” ujar Fuad Rodzi (gambar bawah) selaku wakil produksi CMA Media Sdn Bhd merangkap penerbit eksekutif filem berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dilihat wajar memandangkan penularan wabak COVID-19 belum membolehkan pawagam dibuka pada kadar segera.
Bercerita lanjut, Fuad memberitahu, filem berkenaan sarat dengan nilai murni yang boleh diambil sebagai teladan.
“Malah, antara daya tarikan filem ini, ia bukan sahaja menonjolkan lakonan oleh pelakon terkenal, tetapi turut menampilkan subplot dan tiga cerita berbeza di dalam sebuah filem,” tambahnya.
‘Jangan Takut: Kau Takut... Aku Pun Takut mengisahkan tentang tiga sahabat karib Sarip, Dol dan Leman yang sangat nakal dan sering mencuri serta menyakat penduduk kampung.
Sikap mereka membuatkan keluarga masing-masing terpaksa menanggung malu.
Selepas gagal mencuri di rumah Tok Bomoh, mereka bertiga telah dihalau oleh keluarga masing-masing. Kemudian Sarip, Dol dan Leman tekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.
Berikutan itu, mereka menahan dan menumpang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang gadis bernama Malaika (lakonan Tasha Shilla).
Dalam perjalanan, Sarip mengajak untuk bermain satu permainan iaitu mereka perlu berkongsi kisah seram dan jika sesiapa rasa takut maka orang itu perlu keluar daripada kereta.
Sarip dan Leman masing-masing menceritakan kisah seram tetapi tidak ada sesiapa pun yang rasa takut, bahkan mereka terhibur dengan cerita-cerita tersebut.
Tiba giliran Dol untuk bercerita, Malaika pula terus memotong dan menceritakan satu kisah seram sehingga membuatkan mereka bertiga pula rasa seram.
Apa kesudahannya?
Nak tahu… Saksikan lakonan bersahaja tiga pelawak terkenal itu bermula 8 Julai 2021 depan yang dibawakan oleh Astro Shaw ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, melalui saluran 480.
Penonton cuma perlu melanggannya pada kadar RM15 untuk menontonnya selama 48 jam berulang kali. - KitaReporters