Komedi baharu Punchline DAC! AC Mizal janji gelak tak henti!
Published byApakah anda merindui program yang menjanjikan tontonan ‘gelak tidak henti’ apatah lagi dalam keadaan runsing dihimpit gejala wabak COVID-19? Jika sedemikian kehendaknya barangkali program komedi terbaharu ‘Punchline DAC’ yang bakal bersiaran mulai 12 Ogos 2020 ini di Astro Warna (127) boleh menghiburkan suasana waktu rehat malam anda seketika. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan lawak:
https://kitareporters.com/search?search=lawak
Sebelum itu, mesti anda nak tahu kan apa maksud di sebalik abjad 'DAC' itu?
Ya, ‘DAC’ adalah nama singkatan bagi Dato AC Mizal yang diberi tanggungjawab sebagai hos untuk 24 minggu berturut-turut yang bakal menyaksikan pengacara popular itu menemu bual tokoh-tokoh masyarakat popular tanah air seperti pelakon, penyanyi, pemuzik, pelawak, pengarah dan ramai lagi.
Antara barisan selebriti yang bakal mewarnai program 'Punchline DAC' ini termasuklah maestro muzik Dato’ Ramli MS, pemain bola sepak Khalid Jamlus, pelakon Sharifah Amani, kumpulan Dollar, peserta Big Stage 2020, dan sebagainya.
Di samping itu pelbagai jenis aktiviti seperti trivia, sketsa dan elemen-elemen 'game show' bakal diterapkan bagi menghiburkan audiens. Malah lebih menarik lagi, jurusolek dan penghibur, PS Mansur turut memeriahkan lagi set 'Punchline DAC' dengan celoteh lucunya sebagai ‘sidekick’ kepada AC Mizal.
Turut disiarkan melalui saluran Warna HD (107), ‘Punchline DAC’ yang akan bersiaran selama 60 minit mulai pukul 9 malam menjanjikan gelak tawa berterusan waima ramai yang akui watak AC Mizal sendiri sudah popular dengan lawak spontannya apabila berada di pentas.
Sudah tentu kreativiti AC Mizal mampu membuat penonton ketawa terbahak-bahak kan?
‘Kami amat teruja kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan seorang pengacara yang disegani ramai, Dato’ AC Mizal. Beliau cukup sinonim dengan sikap profesionalnya, dan kami amat bertuah kerana sentiasa diberikan peluang untuk menghasilkan pelbagai seleksi program lawak penuh variasi bersamanya.
"Kami berharap program 'Punchline DAC' ini boleh mengutuhkan lagi jenama Astro Warna sebagai hab kandungan komedi tanah air yang digemari ramai,” ujar Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh (gambar atas) kepada media.
Menurut Norzeha, selaku peneraju kandungan komedi utama tanah air, penghasilan program ‘Punchline DAC’ merupakan salah satu usaha Astro Warna untuk sentiasa menyajikan penonton dengan pengisian menarik dan menghiburkan.
Gelak tawa berterusan ini boleh juga disaksikan di platfrom digital, melalui siri vlog 'Pintu Belakang' dalam saluran YouTube rasmi Zon Lawak di mana penonton akan diberikan ‘pas’ eksklusif yang menunjukkan momen-momen istimewa di sebalik tabir penghasilan dan rakaman program 'Punchline DAC' dari Studio 1 di Astro!
Program yang menjanjikan pengalaman tontonan ‘gelak tidak henti’ ini juga boleh distrim secara percuma bagi pelanggan Astro melalui aplikasi 'Astro GO' dan juga 'on demand' untuk pilihan yang lebih fleksibel. Jom kita tonton sikit promo video AC Mizal di bawah ini. - KitaReporters