ACL 2021: Safiq buat penampilan sulung! Berharap langkah kanan! 13 Harimau Malaya perkasa JDT!
Published bySAFIQ Rahim atau digelar Copot, berpengalaman luas dengan skuad negara bahkan membantu JDT FC menjuarai Piala AFC 2015 tetapi belum sempat menikmati saingan ACL. - Kredit foto: JDT
PELUANG penampilan sulung pastinya lebih manis kalau disusuli dengan langkah kanan. Satu keputusan positif buat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dalam Liga Juara Asia (ACL) 2021, esok Selasa, 22 Jun 2021, tentu menjadi misi Safiq Rahim.
Malah inilah hadiah yang paling tepat bagi meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 yang jatuh pada hari ini, Isnin, 21 Jun 2021 buat Pengarah Teknikal kelab selatan Semenanjung ini, Alistair Edwards.
Terlebih dulu bekas kapten Harimau Malaya ini juga perlu meyakinkan ketua jurulatih Benjamin Mora untuk menyertai kesebelasan utama Harimau Selatan apabila menentang Nagoya Grampus (Jepun) dalam aksi Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT FC
BENJAMIN Mora (kanan) berbincang dengan penolongnya dalam mencari percaturan terbaik JDT FC menghadapi Nagoya Grampus di Bangkok. - Kredit foto: JDT
JDT pernah beraksi dalam ACL pada 2019 dan 2020 tetapi Safiq ketika itu telah menyertai Melaka United namun anak jati Kuala Selangor, Selangor ini pernah mengetuai Harimau Selatan menjulang Piala AFC 2015.
Dia juga merupakan antara tonggak penyumbang kejayaan JDT menjulang Piala Malaysia 2017, Liga Super 2014 hingga 2018 dan Piala FA 2016 malah Piala AFC 2015 – pasukan pertama dari Asia Tenggara yang berjaya melakukannya.
“Bersaing dalam ACL anjuran AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) seolah-olah mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya. Ini sentiasa ingin saya lakukan sepanjang karier dan peluang yang pertama,” katanya dalam laman sesawang rasmi the-afc.com.
BARISAN pemain JDT FC serius menjalani latihan menjelang aksi sulung ACL 2021 di Stadium Rajamangala, Bangkok. - Kredit foto: JDT
JDT tidak melepasi peringkat kumpulan pada 2019 biarpun sempat mengejutkan juara bertahan malah terpaksa menarik diri daripada saingan Kumpulan G musim 2020 ketika bermodal tiga mata kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik Covid-19.
Safiq, 34, bekas perantara dan kapten Malaysia dari 2007 hingga 2017, menambah, “(ACL 2021) akan menjadi satu detik terbaik dalam karier saya. Inilah peringkat tertinggi pertandingan kelab Asia.
“Saya harap dapat memberikan yang terbaik untuk pasukan terutama bos saya (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan semoga kami dapat memperoleh beberapa keputusan baik dan apa yang kami mahukan."
Namun Safiq tetap menjangkakan setiap perlawanan kumpulan ini sengit termasuk menentang dua lagi lawan, juara ACL tiga kali - Pohang Steelers (Korea Selatan) dan pasukan tuan rumah, Ratchaburi FC.
ACL 2021 yang berformat venue berpusat atau karnival di Stadium Rajamangala, menjadualkan JDT FC menentang Ratchaburi dan Steelers pada 25 dan 28 Jun 2021, manakala pusingan kedua peringkat kumpulan ini pada 1, 4 dan 7 Julai 2021.
JADUAL perlawanan JDT FC dalam Kumpulan G ACL 2021. - Kredit foto: JDT
Safiq kembali ke pangkuan JDT pada 10 Februari 2021 selepas pernah bersamanya dari 2013 hingga 2018. Selama dua musim, 2019 hingga 2020 di Melaka United, manakala pasukan lainnya termasuk Selangor (2007-2008), KL PLUS (2009-2010) serta Selangor (2010-2012).
Posisi perantara JDT tampak kian cerah diraihnya dengan kembalinya bekas kapten, Hariss Harun ke Singapura namun dia masih terpaksa bersaing dengan Natxo Insa, Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail, Leandro Velazquez, Nazmi Faiz Mansor dan Danial Amier Norhisham.
BENJAMIN Mora (tengah) dan penjaga gol utama JDT FC, Farizal Marlias pada sidang media praperlawanan di Bangkok. - Kredit foto: JDT
ANTARA tonggak kebangsaan ketika Kelayakan Piala Dunia/Asia (dari kiri), Guilherme de Paula, Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad (20) dan Matthew Davies (2) yang bakal memperkasa JDT FC dalam ACL 2021. - Kredit foto: FAM
“Semua pemain kebangsaan kami kini kembali bersama JDT (daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, minggu lalu). Jadi saya harap kami dapat buat persediaan baik bagi menghadapi ACL.
“Perlawanan pertama sentiasa penting dalam mana-mana pertandingan. Nagoya Grampus sebuah pasukan handal, begitu juga pasukan-pasukan lain Kumpulan G malah tiada yang mudah. Yang pentingnya JDT, bagaimana persediaan dan permainan kami,” tegas Safiq.
JDT mempunyai 13 pemain Malaysia iaitu Farizal Marlias, Matthew Davies, Aidil Zafuan Radzak, Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Syamer, Guilherme de Paula, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, La’Vere Corbin-Ong, Arif Aiman Hanapi dan Adam Nor Azlin.
Mereka turut diperkasa bek tengah dari Australia, Shane Lowry selain bekas penyerang Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) dalam ACL 2020, Bergson da Silva selain Leandro Velasquez dan Mauricio bagi kuota empat pemain asing.
SAFAWI Rasid (kanan) menyerlah dengan Harimau Selatan dalam ACL 2019 dan 2020 tetapi bagaimana musim 2021 di Bangkok sekembalinya daripada kelayakan di Dubai bersama Harimau Malaya? - Kredit foto: JDT
SYAMER Kutty Abba (dua dari kanan) dan Akhyar Rashid (kanan) sukar mendapat tempat kesebelasan utama JDT FC tetapi masih menjadi pemain gantian yang mampu menyumbang. - Kredit foto: JDT