TEAM Mas pimpinan Datuk Hamidin Amin (lima dari kanan) ketika acara perbarisan kontinjen negara peserta Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine, Paris pada 26 Julai 2024 yang berjuang dalam memanah, menembak, golf, badminton, pelayaran, olahraga, angkat berat, akuatik terjun dan renang serta berbasikal. - Kredit foto: MSN 


POSTER Himpunan Pembebasan Palestin yang turut disiarkan laman sosial Facebook MSN mulai 3 Ogos 2024. - Kredit foto: MSN


SEJAUH manakah solidariti Malaysia terhadap Palestin? Serangan yang meragut nyawa pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada 31 Julai 2024 selain kekejaman tanpa henti rejim Zionis df Gaza.

Sejauh manakah reaksi ‘anti-Israel’ dizahirkan tanpa batasan walaupun termasuk jika berkaitan Sukan Olimpik Paris 2024?

Himpunan Pembebasan Palestin dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos 2024 mulai 6.30 petang di Arena Axiata, Bukit Jalil yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


SUHAIMI SULAIMAN. - Kredit foto: X SS


Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman mengakui Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak sengaja menyiarkan perlawanan perseorangan lelaki Israel, Misha Zilberman dengan Prince Dahal dari Nepal dalam saingan Kumpulan P badminton Olimpik Paris juga pada 31 Julai 2024.

Menerusi kenyataan klip video laman media sosial X, RTM memang tiada rancangan menyiarkan perlawanan selama kurang lima minit menerusi Saluran Olimpik RTMKlik malah kakitangan bertugas dengan pantas menggantikannya dengan perlawanan bola baling sejurus kemudian.

“(Perlawanan pemain Israel-Nepal itu) tidak pernah ada rancangan untuk tunjukkan Israel lawan Nepal. Tiada dalam senarai tayangan dan liputan RTM. Tiba-tiba benda itu keluar, datang dari Paris,” katanya.


DUA atlet Olimpik dari Israel... Misha Zilberman (atas) dan Mikhail Yakovlev. - Kredit foto: Olympics.com 


Mujurlah Zilberman, bekas anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari 2007 hingga 2010, tidak melepasi peringkat Kumpulan P untuk ke pusingan kalah singkir yang jika mara, memungkinkannya bertemu Lee Zii Jia.

Mujur juga perseorangan Malaysia itu sudah menjejak separuh akhir, awal pagi 3 Ogos 2024 selepas menewaskan pemain Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 dalam suku akhir untuk berdepan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, pukul 4.50 petang, 4 Ogos 2024 (waktu Malaysia).


LEE Zii Jia mengangkat tangan kejayaan dan sebagai penghargaan kepada sokongan peminat Malaysia di Arena Porte De La Chapelle. - Kredit foto: MSN


Kerajaan Malaysia memang tidak mengiktiraf Israel apatah lagi untuk menjalin hubungan diplomatik tetapi bagaimana jika ada atlet atau pasukan kita yang berkongsi gelanggang dengan lawan dari negara haram itu di pentas setinggi Olimpik ini?

Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom bakal beraksi dalam acara pecut dan keirin berbasikal Sukan Olimpik Ke-33 ini di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines mulai 7 dan 10 Ogos 2024.

Relakah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan mereka bersaing dengan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dalam kedua-dua acara tersebut semata-mata atas semangat kesukanan dan prinsip persahabatan Olimpik?


TRIO berbasikal trek Team Mas (dari kiri) dalam acara keirin dan pecut lelaki dan wanita, Nurul Izzah Izzati Asri, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom di Perkampungan Sukan Olimpik Paris. - Kredit foto: MSN


Sediakah Si Roket Saku (julukan Azizulhasni) yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dan perak Tokyo 2021 atau Shah ‘The Terminator’ menghulurkan salam kepada Yakovlev, 24, kelahiran Moscow, Rusia jika ditakdirkan mereka bertembung selepas pusingan kelayakan dan penentuan ranking?

Adakah mana-mana pihak akan bercakap, sukan dan politik ibarat air dan minyak, tidak boleh dicampuradukkan?

Sanggupkah peluang empat tahun sekali yang muncul dan Program Laluan Ke Emas (RTG) yang memburu pingat emas sulung Olimpik Malaysia ini dikorbankan?


Azizulhasni Awang memburu pingat emas sulung Olimpik Malaysia sebagai hadiah persaraannya daripada sukan berbasikal.


Kerajaan Malaysia pimpinan Tun Hussein Onn yang mengarahkan pemboikotan Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai membantah pencerobohan rejim komunis Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan sekali gus mengempunankan pasukan bola sepak pimpinan Soh Chin Aun yang layak secara merit setelah menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Atlet judo Algeria, Fethi Nourine dan jurulatihnya, Amar Benikhlef dihukum dengan pembatalan akreditasi Sukan Olimpik Tokyo 2021 kerana sokongan padu mereka terhadap perjuangan Palestin hanya kerana enggan menentang Tohar Butbul dari Israel dalam pusingan kedua kategori 73 kilogram.

Fethi juga pernah menarik diri daripada menentang atlet Israel pada Kejohanan Judo Dunia di Tokyo pada 2019. - KitaReporters


SEBAHAGIAN penyokong Malaysia di Arena Porte De La Chapelle ketika Lee Zii Jia memenangi suku akhir perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MSN

14
5
0
20
0

Copy Link: