MAJLIS pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Nasional, Bukit Jalil namun Sarawak sudah menuntut hak dilangsungkan di Kuching pada 2027 ekoran kejayaan penganjuran Sukma Ke-21 yang berakhir 24 Ogos 2024 lalu. - Kredit foto: MSN


MENTERI Belia dan Sukan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengibarkan bendera SEAGF kali akhir sebelum diserahkan kepada wakil Filipina, tuan rumah Sukan SEA 2019. - Kredit foto: MSN


MENJADI tuan rumah Sukan SEA 2027 bakal membawa banyak manfaat yang merentasi dimensi politik, ekonomi dan kesukanan terutama menghidangkan peluang besar dalam mempergiat semula industri sukan Malaysia.

Mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri yang menerima tawaran tuan rumah itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga menyifatkannya sebagai menonjolkan kesungguhan negara ini dalam mempromosi sukan dan menjalin kerjasama serantau.

“Temasya serantau Asia Tenggara dwitahunan ke-34 ini bakal mencetuskan satu kesan positif yang besar seluruh negara.

“Sebagai penilai temasya pelbagai sukan di Malaysia, MOM menghulurkan penghargaan kepada kerajaan atas persetujuannya menjadi tuan rumah edisi 2027,” lapor MOM dalam satu siaran media pada 29 Ogos 2024.


KONTINJEN Malaysia pada majlis pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil didahului pembawa bersama Jalur Gemilang, Mohd. Al-Jufferi Jamari (silat), Cheong Jun Hoong (akuatik terjun) dan Azizulhasni Awang (berbasikal) di samping Ketua Kontinjen, Datuk Marina Chin. - Kredit foto: MSN 


Ini juga merupakan kali ketujuh Malaysia mendukung amanah daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) itu selepas 1965, 1971 (Sukan SEAP – Semenanjung Asia Tenggara), 1977, 1989, 2001 dan 2017. 

Kontinjen negara pernah muncul juara keseluruhan sebanyak dua kali dengan memungut 111 dan 145 pingat emas pada Sukan SEA 2001 dan 2017.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Ogos 2024 memutuskan penerimaan hak tuan rumah Sukan SEA 2027 setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri.

“Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama Kuala Lumpur,” lapor siaran media Kementerian Belia dan Sukan pada 28 Ogos 2024.


ANWAR Ibrahim ketika berucap dan mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA Ke-34, 2027 pada majlis penutupan rasmi Sukma XXI di Kuching. 



Anwar ketika majlis penutupan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, turut mengesahkan kebenaran tuan rumah itu dalam ucapannya: "Berikutan keupayaan Sarawak menganjurkan Sukma XXI yang terbaik, saya bagi pihak kerajaan bersetuju bersama Sarawak menganjurkan Sukan SEA 2027.”

Pada 23 Jun 2024 lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meletakkan syarat jika Sarawak menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 iaitu majlis pembukaan rasminya diadakan di Kuching dan sebahagian jenis sukannya dilangsungkan di Bumi Kenyalang itu.

Sekalipun SEAGF telah memberi hak tuan rumah 2027 kepada Malaysia ketika mesyuarat bersempena Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada 12 Mei 2022, persetujuan kerajaan mengenainya masih menimbulkan tanda tanya ekoran penolakannya terhadap tawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 pada 22 Mac 2024 lalu. 

Hak tuan rumah Sukan Komanwel yang dijadualkan pada 17 hingga 29 Mac 2026 itu ditawarkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) setelah Victoria, Australia menarik diri atas alasan peningkatan kos penganjuran dari AUD$2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD$7 bilion (RM21.78 bilion).


ABANG Johari Tun Openg pernah meletakkan dua prasyarat Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027. 


Penolakan kerajaan Malaysia juga disebabkan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjurannya selain impak ekonomi yang tidak dapat dipastikan dalam jangka masa yang singkat.

Malaysia merupakan tuan rumah Sukan Komanwel 1998 namun pernah gagal dalam bidaannya bagi Sukan Asia 2006 yang dimenangi Doha, Qatar.

Ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, segelintir jenis sukan tertentu seperti ragbi, futsal, kriket, triatlon, ekuestrian, berbasikal dan pelayaran turut bergelanggangkan Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah. 

Sukan SEA Ke-32 berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 2023 diikuti Thailand pada 2025 dan giliran Singapura pula menyusuli Malaysia, pada 2029. - KitaReporters


KONTINJEN Malaysia bergembira meraikan kejayaan menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan mengumpul 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa. - Kredit foto: MSN

13
14
0
9
0

Copy Link: