Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 yang pertama kali dianjurkan oleh Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) pada Ahad, (29 September 2024) ini telah menarik hampir 5,000 penyertaan merentasi pelbagai negara dan peringkat usia. 

Pengerusi YKM yang juga Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, Dato’ Srei Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan di luar jangka ini turut mendapat penyertaan dari 10 negara seperti Kenya, Mesir, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Indonesia. 

“Larian Keluarga Malaysia 2024 merupakan acara larian yang kali pertama dianjurkan oleh YKM dan penyertaan diterima amat memberangsangkan. 

"Sebelum ini, YKM menyasarkan sebanyak 3,000 peserta sahaja, bagaimanapun sambutan amat luar biasa. 

“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19,” kata Ismail Sabri. 



Penaja-penaja LKM 2024 ialah Perodua, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Shopee Malaysia Sdn Bhd, Affin Bank, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Hotel Holiday Villa, Koperasi Al-Najah, Hotel IDEAS Kuala Lumpur, Yayasan AEON Malaysia, Kajang Plaza Medical Centre dan Optimax Eye Specialist Centre. 

Pada masa sama, Ismail Sabri melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menyokong larian ini khususnya rakan strategik, Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) dan agensi yang terlibat seperti, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU). 

Pada larian yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5km (fun run), 10km (race) dan 21km (half marathon), Ismail Sabri akan menyertai acara ‘fun run’ untuk lima kilometer bersama bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Dr. Adham Baba dan lebih 40 anak yatim dan yatim piatu YKM bermula pukul 7.15 pagi. 

Sebelum itu, beliau akan melepaskan peserta bagi kategori 21km pada jam 6.30 pagi dan 10km (pukul 7.00 pagi). 

Duta LKM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pemuda UMNO, YB Datuk Dr. Akmal Salleh dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming akan menyertai kategori 10km, manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyertai kategori 21km (half marathon). 

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta kepemimpinan tertinggi PUNB akan turut menyertai LKM 2024. 



Pada hari Sabtu, 28 September ini akan diadakan Race Pack Collection bagi peserta-peserta yang telah mendaftar di Dewan Semarak, Cyberjaya bermula jam 10 pagi sehingga 8 malam. 

Para peserta dinasihatkan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan dan barisan pengambilan baju yang panjang. 

Cabutan bertuah bernilai lebih RM70,000 akan menanti para peserta yang mendaftar seperti sebuah kereta Perodua Axia, pakej percutian, pakej penginapan dan sarapan, televisyen, basikal, peralatan elektrik serta pelbagai hadiah menarik lagi. 

YKM memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah kendaliannya mendapat pendidikan yang sempurna dan memastikan kebajikan mereka terbela. - KitaReporter/Kenyataan Media

16
8
0
8
0

Copy Link: