HARIMAU Malaya mengumpul 10 mata dengan tiga kemenangan dan satu seri serta dua kali kalah dalam Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. - Kredit foto: FAM


BARU sahaja kering keringat badan selepas menewaskan Taiwan 3-1, kelmarin, Harimau Malaya bakal kembali disabungkan pada Pestabola Merdeka dan siri perlawanan antarabangsa tahap 1 pada September dan Oktober 2024 ini.

Tiga pasukan luar negara akan diundang menyertai Pestabola edisi ke-43 yang dijangka di Stadium Nasional, Bukit Jalil daripada kalangan ‘penghuni’ Balang 1 dan 2 undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac 2025 nanti.

Antaranya yang senasib Malaysia dan terlepas tiket automatik Piala Asia 2027 serta pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas pusingan kedua pada 11 Jun 2024 ialah seperti India, Syria, Yemen, Lebanon, Tajikistan dan Turkmenistan serta Vietnam mahupun Thailand.  

Dua perlawanan antarabangsa tahap 1 pula mengisi Oktober, menanti anak-anak buah Kim Pan-gon, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif persatuan Ke-11 Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 13 Jun 2024.


YUSOFF Mahadi (dua dari kiri) dan Noor Azman Rahman dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM


Pestabola yang dijangka mengulangi format dua perlawanan antara empat pasukan seperti tahun lalu (2023), ‘menang jumpa menang dan kalah jumpa kalah’, turut akan menjadi persediaan awal Harimau Malaya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, Mac 2025 depan.  

Hanya juara keenam-enam kumpulan pusingan ini membabitkan 24 pasukan, akan ke pusingan akhir Piala Asia di Arab Saudi – menyertai 18 terbaik dan layak automatik daripada pusingan kedua.

“Siapa pasukannya (peserta Pestabola) bergantung kepada jawapan pelawaan mereka kepada FAM,” jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Yusoff juga melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan skuad negara ke Arab Saudi lebih awal sekali gus tersingkir ke Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat setelah sekadar menewaskan Taiwan 3-1 di Bukit Jalil dan mengumpul 10 mata dalam Kumpulan D.


KIM Pan-gon yang mulai mengendalikan Harimau Malaya pada 2022 dan membantu layak ke Piala Asia 2023/4 di Qatar, Januari 2024 lalu. - Kredit foto: FAM


“Kita bersaing pada peringkat Asia, sebelum ini (sampai) Asia Tenggara sahaja. Kita masih dapat 10 mata dengan menewaskan dan seri Kyrgyzstan (4-3 di Bukit Jalil, 16 November 2023 dan 1-1 di Bishkek, 6 Jun 2024).

“Agak malang (dengan) pencapaian ini, kita terlepas (pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan tiket automatik Piala Asia),” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM.

Mengenai khidmat Pan-gon ekoran kegagalan pasukan negara pimpinan Dion Cools yang hanya ditewaskan Oman 2-0 dua kali katanya, warga Korea Selatan itu akan dikekalkan sehingga selesai kontraknya pada awal 2025.

Harimau Malaya juga bakal menghadapi Kejohanan ASEAN pada 23 November hingga 21 Disember 2024 yang menempatkannya dalam Kumpulan A dengan juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan. - KitaReporters


HARIMAU Malaya masih berpeluang ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dengan syarat muncul juara kumpulan tertentu dalam pusingan ketiga kelayakannya pada Mac 2025. - Kredit foto: FAM 

15
11
0
13
0

Copy Link: