Video| Siti Nurhaliza nyanyi beberapa lagu Tamil! Teruja diundang muncul pada Konsert AR Rahman di KL!
Published byPENYANYI tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 44, teruja menerima undangan maestro muzik India, AR Rahman yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-56 pada 6 Januari 2023, untuk mendendang beberapa buah lagu dalam Konsert AR Rahman: Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam hari Sabtu, 28 Januari 2023.
Sebagai menghormati maestro muzik yang merupakan penyanyi, pencipta lagu dan pengubah lagu terkenal itu, Siti Nurhaliza sanggup belajar menyanyikan sebuah lagu Tamil ciptaan AR Rahman dan ia satu cabaran.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Nurhaliza
Bagi memastikan persembahan lancar, Siti Nurhaliza meminta bantuan teman baik suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang berketurunan India, untuk mempelajari sebutan perkataan dan maksud lirik didendangkan.
Menurut Siti Nurhaliza, pada hari pertama dia hanya belajar sebutan, kemudian mengambil masa dua hingga tiga hari untuk menghafal lirik.
Siti Nurhaliza merahsiakan judul lagu yang bakal disampaikan. Namun ia adalah sebuah lagu lama yang cukup terkenal ciptaan AR Rahman.
Jadi setiap hari Siti Nurhaliza berlatih dan pastikan sebutannya jelas dan betul. Siti Nuhaliza berdebar menantikan reaksi penonton, apatah lagi, beliau bakal mendendangkan sebuah lagu Tamil hasil ciptaan komposer tersohor itu.
Menurut Siti Nurhaliza, dia dan AR Rahman sudah biasa berhubung termasuk melalui e-mel.
Dan sebagai sahabat sejak kira-kira 10 tahun lalu, seniman terbilang India itu pernah berkunjung ke kediamannya dan minum petang bersama beberapa tahun lalu.
"Beberapa tahun lalu, saya pernah undang AR Rahman untuk minum petang di rumah saya," katanya.
AR Rahman mempelawa Siti Nurhaliza muncul dalam konsertnya yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dan Siti Nurhaliza terus bersetuju kerana ia ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang'.
Konsert dipersembah oleh DMY Creation Sdn Bhd ini turut menampilkan barisan artis India yang terkenal di persada antarabangsa antaranya termasuk anak AR Rahman.
Penerbit Eksekutif DMY Creation Sdn Bhd, Mohd Maideen Abdullah berkata, konsert mega AR Rahman itu mendapat sambutan positif dengan penjualan tiket sangat memberangsangkan. Sebanyak 60,000 tiket disediakan dan sudah hampir habis.
Menurutnya, ia adalah konsert artis India terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia. Seramai 110 orang kru diterbangkan dari India .Selain pekerja belakang tabir, ia turut melibatkan kumpulan pemuzik dan penyanyi undangan dan latar.
AR Rahman asalnya dikenali sebagai NS Dileep Kumar tetapi memeluk Islam bersama anggota keluarga pada 1989 ketika berusia 22 tahun setelah terpengaruh dengan tarekat Qadari.
Dia lalu menukar nama kepada Allah Rakha Rahman tetapi memakai nama komersial AR Rahman. Ayahnya seorang pemuzik mengalirkan darah seni kepada,AR Rahman yang belajar main piano ketika berusia 4 tahun.
Kini AR Rahman mampu membawa pembaharuan dalam muzik India dan turut mengharumkan nama pada peringkat antarabangsa.
Sementara itu bagi Siti Nurhaliza, dia pernah merakam sebuah lagu ciptaan AR Rahman berjudul 'Nenju Enzhu' yang bermaksud 'Bangkitlah Semangat' untuk program pertandingan yang disertai enam negara termasuk Indonesia. Program itu berjudul 'International Superstar' pada 2016. - KitaReporters