Gimik pelancaran Program 2023 Istana Budaya.


Pentas berprestij, Istana Budaya akan membuka tirai 2023 tahun ini dengan pelbagai program mengikut kehendak semasa didahului dengan pementasan Konsert  Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ini diikuti dengan Konsert Sanam Band, Tayangan Filem Cereka “Imam”, Konsert Klasik Pemain Solo Itali Domenico Nordio, Teater Tradisional Makyung (Anak Raja Gondang) dan Flourishes '23: Seri Puteri Symphonic Winds Royal Concert. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Istana Budaya


“Tahun 2023 ini diharap dapat mempergiat lagi pembangunan kecemerlangan artistik dalam seni persembahan pentas dengan mengadakan pelbagai corak persembahan selaras mengikut kehendak semasa, dalam dan luar negara. Setiap program yang dirancang secara teliti sepanjang tahun ini dilihat akan memberi impak kepada kepelbagaian budaya di Malaysia dengan menerapkan konsep Malaysia Madani,” ujar  Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar pada majlis pelancaran Program 2023 Istana Budaya bertempat di Sunset Glashaus, Boraombak Marina Putrajaya pada 21 Februari 2023.

Perasmian disempurnakan oleh Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mewakili Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato Seri Tiong King Sing.

Dalam majlis yang sama, Istana Budaya turut melancarkan kempen Gerak, bertujuan untuk menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap kesenian negara.



Menurut Zubaidah (gambar atas) Istana Budaya akan dilihat sebagai seni persembahan pentas yang bergerak secara proaktif dan inovatif dalam mencerminkan budaya dan seni tempatan kepada orang ramai. 

“Istana Budaya juga akan terus konsisten dan bersungguh-sungguh membawa pementasan berkualiti di samping meningkatkan tahap kecintaan masyarakat terhadap seni dan budaya.” tambah beliau.

Melalui persembahan-persembahan istimewa yang berkonsepkan program jelajah ke serata tanah air, pelbagai program menarik akan dipersembah di beberapa lokasi luar yang strategik agar para peminat dapat merasai pengalaman seni pentas yang sebenar. 

Antara program yang telah disusun untuk kempen Gerak meliputi  Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia, Siri Jelajah IB Sulur Nakasari, NSO Lambang Sari Series 2023, IB In The Park, Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN



Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Mohd Yusri memaklumkan  MOTAC bukan sahaja menekankan kegiatan pelancongan, malah memberi fokus yang sama terhadap kegiatan kesenian dan kebudayaan yang juga secara tidak langsung merupakan khazanah penting kepada negara. 

“Kementerian ini akan terus mengekalkan keunikan dan keistimewaan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, seni dan warisan,” katanya. 

Pada tahun 2022, sebanyak 15 buah program dan 39 pementasan telah dipertonton dengan jayanya kepada khalayak. 

Jumlah keseluruhan penonton adalah seramai 29,405 dengan hasil kutipan jualan tiket sebanyak RM6.144 juta manakala  bagi nilai publisiti Istana Budaya pula telah berjaya mencecah sebanyak RM52 juta.  



Untuk rekod, sebelum ini, Istana Budaya telah berjaya mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa menerusi penglibatan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Artistana dalam beberapa program kesenian dan kebudayaan yang diadakan di negara-negara luar seperti Korea, India dan Vietnam. 

Antara pencapaian yang diraih adalah penerbitan video muzik Asia Traditional Orchestra (ATO) di Gwangju, Korea, Festival Muzik ASEAN- India di New Delhi, India dan Festival Muzik ASEAN-Vietnam di Hoi An, Vietnam. 

Malaysia turut menerima pengiktirafan daripada Persatuan Pemuzik Viet Nam sebagai "The Excellent Orchestra Malaysia Ghazal Istana Budaya" dan "Merit of Authentic Tradition for Malaysia Ghazal Istana Budaya".  - KitaReporters


6
18
0
10
0

Copy Link: