PATAH tumbuh, hilang berganti! Istilah itu sering kita dengar bagi menggambarkan betapa kehilangan seseorang sudah pasti akan ada penggantinya. Namun hakikatnya, apa yang sukar adalah untuk mencari pengganti yang sama kualitinya.

Inilah realiti dalam bola sepak Malaysia selepas kematian Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pada 1991. Walaupun pemain silih berganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya namun belum ada pemain yang benar-benar boleh diangkat setaraf pemain legenda itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain legenda Mokhtar Dahari 


Berasaskan hakikat itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif menggerakkan pencarian bakat muda menerusi program berkonsepkan realiti telivisyen berjudul ‘The Next SuperMokh’ yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Ia merupakan program realiti bola sepak pertama diterbitkan oleh RTM dengan matlamat mencungkil bakat baharu serta melahirkan pemain yang memiliki wibawa seperti Mokhtar.

Menurut Pengarah Program, Datuk Jasni Shafie, walaupun program berkenaan berjenamakan SuperMokh, namun ia bukanlah rancangan realiti khusus untuk mencari penyerang sebagai pengganti Mokhtar sebaliknya ia terbuka kepada semua posisi termasuk penjaga gol.

“Perlu dijelaskan, ini bukan rancangan semata-mata untuk melahirkan penyerang sebaliknya kami mencari bakat-bakat baharu untuk semua posisi dari penjaga gol hingga penyerang. 


PROGRAM 'The Next SuperMokh' mahu mengesan bakat serta mendidik pemain muda menjadi pemain sehebat Mokhtar Dahari. Kredit foto: FB Dari Tepi Padang


“Justeru mengapa nama rancangan ini ‘The Next SuperMokh’?

“Ramai yang hanya melihat Mokhtar daripada sudut kehebatannya sebagai penyerang tanpa menilai beliau daripada skop lebih luas. 

“Apa yang sebenarnya menjadikan manusia bernama Mokhtar Dahari itu hebat sehingga digelar SuperMokh? Jawapannya, beliau memiliki disiplin, kesungguhan, semangat juang, semangat berpasukan, daya kepemimpinan serta pengorbanan untuk berjaya.

“Bagi kami, inilah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh setiap pemain jika mereka mahu berjaya dan Mokhtar adalah contoh terbaik untuk mereka ikuti. Atas asas itu, kami menjadikan SuperMokh sebagai ikon untuk program ini.

“Maknanya, tanpa mengira apa posisi mereka, kalau hendak berjaya, ikut macam Mokhtar kerana bakat dan latihan sahaja tidak memadai untuk mencipta kejayaan. Inilah konsep yang akan diterapkan dalam program itu kelak,” kata Jasni.


TIGA tonggak yang menggerakkan program 'The Next SuperMokh', (dari kiri) Ahmad Sobri, Jasni dan Azraai Khor. - Kredit foto: FB Jasni Shafie.


Menurut Jasni, bagi memastikan misi itu mampu dilaksanakan, tugas melatih dan membentuk pemain diserahkan kepada jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah sambil dibantu oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail.

“Azraai adalah pilihan yang tepat kerana selain pengalamannya sebagai jurulatih, beliau juga pernah bersama Mokhtar dalam skuad kebangsaan pada tahun 1970-an. Beliau adalah antara individu yang mengenali Allahyarham secara dekat dan mampu menerapkan ‘semangat Mokhtar’ dalam diri pemain muda,” ujar Jasni lagi.


ANTARA pasukan yang mengambil bahagian dalam program 'The Next SuperMokh' bagi zon selatan. - Kredit foto: FB Dari Tepi Padang.


Misi mencari ‘The Next SuperMokh’ itu sudah bermula sejak awal Februari, 2023 dengan sesi pemilihan pemain dilakukan mengikut zon iaitu di Selatan (Melaka, 4 Februari), Tengah (Shah Alam, Selangor, 5 Februari), Timur (Kota Bharu, Kelantan, 11 Februari) dan Utara (Sungai Petani, Kedah, 18 Februari).

Ia dilaksanakan menerusi pertandingan bola sepak 7 sebelah pada setiap zon yang terbuka kepada pasukan sama ada kelab, komuniti, taman perumahan, sekolah, daerah dan sebagainya dengan syarat ia mesti diwakili oleh pemain berumur 17 tahun ke bawah.

Panel pemilihan yang diketuai Azraai akan menilai dan memilih 10 pemain maksimum dari setiap zon yang kemudian akan dikumpulkan untuk menjalani latihan dan pemilihan peringkat pusat di Kuala Lumpur.

“Semua pemain yang terpilih ini akan diberikan bimbingan bukan sahaja di dalam padang tapi merangkumi semua aspek yang diperlukan oleh seorang pemain bola sepak kerana matlamat kami adalah melahirkan pemain yang berwibawa seperti Mokhtar.

“Kemudian, daripada 40 pemain itu, panel pemilihan akan memilih 18 pemain untuk dimasukkan dalam skuad terakhir yang akan didedahkan pula pada perlawanan persahabatan menentang kelab Liga 1 Thailand, PT Prachuap FC,” jelas Jasni lebih lanjut.


AZRAAI (kanan) dibantu Ahmad Sobri sedang menilai persembahan pemain dalam pencarian bakat di zon selatan yang berlangsung di Melaka. - Kredit foto: FB Dari Tepi Padang.


Mengenai hala tuju pemain-pemain itu selepas tamat program berkenaan, Jasni berkata mereka mempunyai beberapa perancangan jangka panjang bagi memastikan bakat ‘The Next SuperMokh’ terus berkembang dan berjaya dalam karier masing-masing.

“Program ini adalah langkah awal mereka untuk memperagakan bakat dalam bola sepak. Kami akan turut menjemput kelab-kelab untuk meninjau ubi-ubi muda ini, mungkin ada antara mereka yang layak untuk direkrut oleh mana-mana kelab terutama yang sedang mencari bakat-bakat baharu. 

“Kami juga ada beberapa perancangan lain untuk mereka kerana kami tidak mahu bakat mereka berakhir setakat dalam rancangan realiti TV, kalau boleh biarlah ‘The Next SuperMokh’ ini benar-benar mencapai matlamatnya.


PEMAIN muda yang mempamirkan bakat mereka pada pertandingan di Zon Selatan.


“Antaranya, dari segi akademik, kami sudah menjalin kerjasama dengan pusat pengajian tinggi, Cyberlynz International College yang menyediakan peluang melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan Football Studies (Pengajian Bola Sepak).

“Apa yang menarik, tiga pemain daripada kalangan 18 pemain terpilih akan ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran di kolej itu dengan kos pengajian bernilai RM50,000.

“Malah, semua pemain yang terbabit dalam program ini, bermula dari peringkat zon, layak mendapat potongan harga yuran pengajian jika melanjutkan pelajaran di Cyberlynz dengan hanya perlu menunjukkan sijil penyertaan ‘The Next SuperMokh’ yang kami berikan,” kata Jasni.

Program realiti ‘The Next SuperMokh’ akan bersiaran selama 60 minit setiap episod dan akan berlangsung sebanyak 13 episod. -KitaReporters


PIALA untuk juara, naib juara dan semi finalist program 'The Next SuperMokh' pada peringkat zon.

9
13
0
9
0

Copy Link: