The show must go on! Anuar Zain guna Nebulizer! Demi hiburkan lebih 8,000 peminat pada Konsert AZ40!
Published byBila bercakap mengenai pelantun ‘Lelaki Ini’, peminatnya sudah akur dengan nyanyian merdunya ketika menyampaikan lagu-lagu, jadi apabila Anuar Zain muncul di pentas waima dalam vokal yang ‘pecah’ sekali pun disebabkan hilang suara, beliau tetap penyanyi unggul pada mata 8,000 peminat setianya.
Selama hampir tiga jam menghiburkan mereka di Stadium Malawati. Shah Alam pada Konsert Ulang Tahun Ke-40 Anuar Zain (AZ40), beliau tetap mendapat sorakan dan tepukan gemuruh satu stadium yang bercahaya ‘merah’ gara-gara pemasangan lampu daripada setiap seorang yang memegang sebatang ‘foam’ yang diberikan.
Begitu hebat penangan penyanyi berusia 53 tahun ini.
Itulah eksklusifnya Anuar Zain sehingga mampu menambat hati Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang mencemar duli berangkat ke stadium bersama untuk menyaksikan persembahannya yang turut dihadiri rakan-rakan artis yang menjadi insipirasinya seperti antaranya Datuk Sheila Majid, Misha Omar mahu pun kakaknya sendiri, Ziana Zain serta anak saudaranya. Ernie Zakri dan suami, Syamel.
“Kehadiran anda semua adalah semangat saya, walaupun seminggu sebelum konsert saya kehilangan suara tetapi ‘the show must go on’ dan atas nasihat doktor sebab itulah pertama kalinya dalam hidup, saya terpaksa menyedut ‘nebulizer’ ini,” ujar Anuar Zain kepada semua.
Anuar Zain terpaksa menggunakan alat 'nebulizer' atas nasihat doktor.
Apa pun, sebaik pentas dibuka dengan paparan wajah Anuar ketika kanak-kanak sehingga kini, beliau muncul dengan membawa dua buah lagu popularnya, ‘Kaulah Satunya’ disusuli ‘Sesucinya Cintamu’.
Lebih kurang 20 buah lagu dipersembah pada konsert yang berlangsung selama hampir 3 jam itu dan dengan jeritan ‘We Want More’, Anuar muncul kembali dengan lagu ‘favourite’ semua iaitu ‘Lelaki Ini”.
Hujan pada malam konsert tidak menghalang peminatnya yang hadir memenuhi ruang setiap zon yang berharga dari serendah RM118 (gold), RM388 (Platinum), RM488 (Diamond), RM888 (Vip 2) dan RM1,188 (Vip 1).
Malam penuh bersejarah bukan sahaja bagi semua yang hadir tetapi bagi Anuar Zain sendiri yang memilih Stadium Malawati sebagai mengimbau kenangan sewaktu pementasan konsertnya 10 tahun lalu di lokasi sama.
Pada 10 tahun itu, mengenang kembali penyanyi yang bersama berkongsi pentas, Allahyarham Adibah Noor, Anuar menyampaikan lagu ‘Cinta Tak Harus Memiliki’ malah masih mengekalkan penyanyi Dina Nadzir sebagai ‘hos’ belakang pentas serta ketika mengacarakan sidang media usai konsert kira-kira jam 12 malam yang turut dihadiri Elivira Arul.
Sidang media yang berlangsung lewat 12 malam bersama pengacara Dina Nadzir dan pihak penganjur, JioBuddy (kiri).
“Insya-Allah, ini bukan konsert terakhir saya malah berharap dapat melakukan konsert seperti ini sekali lagi 10 tahun akan datang,” ujar Anuar pada sidang meda tersebut sambil memaklumkan akan membawa Konsert AZ40 ke Singapura tidak lama lagi.
Konsert Ulang Tahun Ke-40 Anuar Zain anjuran JioBuddy ini menampilkan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert manakala Lee Sze Wan, dipertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik (gambar bawah, bermain piano) bersama lebih kurang 25 orang pemuzik handalan tanah air.
Dalam pada itu, Anuar turut memberitahu bakal mengeluarkan single tidak lama lagi setelah mendapat sebuah lagu yang dekat dengan jiwanya.
Yang mengenali prinsip Anuar Zain, semua maklum, penyanyi ini agak teliti dalam pemilihan lagu waima mahupun sebuah lagu yang bukan sahaja berkualiti tetapi mempunyai paparan cerita yang dramatik.
Belum mahu berkongsi panjang terhadap lagu baharunya itu, Anuar sekadar berkata, “Saya bukan cerewet tetapi lebih teliti dan hanya akan keluarkan lagu yang sesuai dengan jiwa saya. Ia akan dihasilkan dalam masa terdekat ini.”
Seperti mana judul lagu popularnya ‘Keabadian Cinta’, pasti lagu pemilihan Anuar kali ini juga akan mengabadikan ‘cinta’nya melalui lagu kepada peminat yang sentiasa menyokongnya sepanjang 40 tahun dalam industri.
Terakhir pemilik nama penuh, Shahrul Anuar Zain ini menghasilkan lagu ‘Belahan Hati’ pada tahun 2018 iaitu single ketiga dan kesinambungan kepada dua single terdahulu bagi trilogi video muzik ‘Andainya Takdir’ pada 2016 dan ‘Cinta Takkan Berakhir’ (2017). - KitaReporters