ENAM puluh empat sekolah menengah di Selangor dihidangkan aneka peluang menarik dan yang jarang diperoleh menerusi Piala Masa Depan Selangor: kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor 2025 pada 22 dan 23 Februari 2025 ini. MLBB merujuk kepada e-sukan, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)

Hadiah penajaan biasiswa Diploma Kemahiran E-Sukan di Todak Academy dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran bernilai RM160,000 buat pemenang, menggamit setiap pasukan yang diwakili tujuh pemain atau gamer Bawah 17 tahun (B-17) di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, kejohanan ini juga bakal menjadi platform untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 Selangor 2026.


MOHD. Najwan Halimi (tiga dari kiri) bersama-sama para tetamu kenamaan dalam sidang media dan majlis pelancaran rasmi Piala Masa Depan Selangor: Kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor 2025. 


“Piala Masa Depan Selangor: Kejohanan MLBB ini menyajikan para pemenangnya peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran seterusnya mengupayakan diri dalam bidang akademik.

“Sebelum ini, program belia dan sukan hanya sekali jalan sahaja, selepas itu tiada kesinambungan dan kelestarian yang begitulah diulangi saban tahun,” katanya pada sidang media dan majlis pelancaran kejohanan e-sukan itu di pusat beli-belah di Shah Alam.

Dianggarkan 468 pelajar bawah 17 tahun dari 64 sekolah menengah di Selangor, akan beraksi dan mempamerkan kehandalan masing-masing untuk merebut hadiah lumayan dan peluang menyarung jersi kontinjen Sukma negeri ini.

“Kerajaan negeri sedar, masih ramai ibu bapa dan masyarakat yang kurang meyakini e-sukan ini punya masa depan. Ada yang turut beranggapan sukan ini hanya membuang masa dan suka-suka malah melalaikan.

“Kami cuba menyantuni anak-anak muda menerusi e-sukan sejak 2016 lagi dan mengubah perspektif pihak lain bahawa gamer pun masih boleh ‘buat duit’ (bekerjaya) menerusi hadiah biasiswa dalam kejohanan ini.

“Selangor juga pernah menganjurkan Sukan Siber Antarabangsa Selangor beberapa tahun lalu dan boleh dikatakan negeri ini paling ke hadapan dalam membangunkan e-sukan dan iltizam ini menjadi pemangkin kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain,” kata Najwan.


MOHD. Najwan Halimi (memegang mikrofon) menjawab soalan dalam sidang media dan majlis pelancaran rasmi Piala Masa Depan Selangor: Kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor 2025. 


Tujuan Piala Masa Depan Selangor: Kejohanan MLBB ini katanya, adalah untuk mengembangkan bakat pelajar bawah 17 tahun di seluruh Selangor dalam bidang e-sukan secara kompetitif selain membina kemahiran strategik, kepemimpinan dan kerja sepasukan.

“Antara rakan strategik kejohanan ini, Selangor Red Giants (SRG) dan Todak Academy juga akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta.

“Inilah bukti komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan e-sukan sebagai sukan arus perdana yang turut berpotensi membangun ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif,” katanya lagi. - KitaReporters


MOHD. Najwan Halimi menyampaikan ucapan alu-aluan sempena sidang media dan pelancaran kejohanan di pusat beli-belah di Shah Alam. - Kredit foto: MSNS


SENARAI hadiah menarik dan lumayan yang menggamit 468 pelajar atau gamer dari 64 sekolah seluruh Selangor di Shah Alam pada 22 dan 23 Februari 2025 ini. - Kredit foto: MSNS

15
10
0
23
0

Copy Link: