Bisnes bola bukan main saham, jual burger! Patut masuk sekolah! Belajar daripada JDT! - Dr Zulakbal
Published by
KEGAGALAN beberapa pasukan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) membayar gaji pemain adalah cerminan kepada kelemahan pengurusan sesebuah kelab yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
Menurut laporan terkini, sekurang-kurangnya enam kelab sedang berdepan kemelut tunggakan gaji. Situasi itu sudah tentu secara langsung menjejaskan prestasi pasukan berkenaan sekali gus menjadikan Liga Malaysia semakin hambar dan membosankan.
Tidak mustahil ada pasukan yang akan gulung tikar pada musim depan jika masalah ini tidak ditangani dengan segera. Silap haribulan, Liga Super hanya akan ditandingi lima atau enam pasukan sahaja!
PROFESOR Madya Dr Zulakbal Abd Karim, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) .
Mengulas situasi itu, pemerhati bola sepak, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpendapat kebanyakan kelab belum memiliki kemahiran dalam urusan perniagaan bola sepak yang mendorong kegagalan mereka menguruskan kelab masing-masing.
“Selama bertahun-tahun, pasukan bola sepak kita diuruskan oleh persatuan bola sepak negeri (FA), jadi bila ia bertukar ke status kelab bola sepak atau football club (FC), pasukan itu tidak bersedia sepenuhnya terutama dari segi kewangan.
“Dulu, mereka boleh bergantung kepada persatuan yang mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri tapi bila bertukar ke status FC, mereka perlu mencari dana sendiri untuk menguruskan kelab masing-masing.
“Walaupun ada sesetengah kelab dimiliki tokoh korporat yang sudah terbukti berjaya dalam perniagaan, namun mengurus perniagaan bola sepak adalah berbeza sama sekali.
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi. Kredit foto: MFL
“Perniagaan bola sepak bukan macam main saham atau jual burger, ia bisnes berbeza yang memerlukan kemahiran. Jangan fikir jika ia dimiliki oleh syarikat atau tokoh korporat, segala-gala akan berjalan lancar.
“Dalam apa bentuk perniagaan sekalipun, jika ia gagal menjana pendapatan, akhirnya akan gulung tikar. Inilah berlaku kepada kelab bola sepak kita yang akhirnya menyebabkan mereka gagal membayar gaji pemain sedangkan ia adalah perkara asas yang perlu dilunaskan,” katanya.
Sebagai solusi kepada permasalahan itu, Zulakbal yang juga merupakan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyarankan agar semua pihak duduk semeja untuk membantu kelab-kelab berkenaan.
“Mereka (kelab-kelab) perlukan bimbingan dan panduan. Semua pihak, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), persatuan negeri dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) perlu memainkan peranan untuk membimbing mereka menjalankan bisnes bola sepak dengan cara yang betul dan efektif.
“Pengurusan perlu ‘masuk sekolah’ belajar selok belok perniagaan dan pengurusan kelab profesional. Saya sangat berharap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang dibawa dari Itali, Giorgio Pompili Rossi dapat memainkan peranan dalam membantu kelab-kelab bermasalah ini.
“Saya yakin dengan kepakaran serta pengalamannya, Rossi mampu menyelamatkan liga bola sepak kita terutama dalam membimbing kelab-kelab kita untuk benar-benar profesional, bukan sekadar pada status,” ujarnya lagi.
ROSSI dalam sesi ramah mesara bersama media selepas dilantik sebagai CEO MFL. - Kredit foto MFL.
Pada masa sama, kata Zulakbal, kelab-kelab bermasalah ini juga boleh ‘berguru’ dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, satu-satunya kelab bola sepak di Malaysia yang berjaya, bukan sahaja di atas padang tapi juga dalam pengurusan.
“Saya sendiri kagum melihat perkembangan pasukan JDT yang jauh meninggalkan kelab-kelab lain. Apakah rahsia atau formula mereka? Bagimana mereka menjana pendapatan sehingga mampu menguruskan kelab itu dengan profesional? Inilah yang perlu dipelajar oleh kelab lain.
“Saya rasa JDT sendiri tidak lokek untuk mencurahkan ilmu yang mereka miliki demi kemajuan bola sepak kita. Jika ada kelab masih malu-malu untuk belajar atau ego, akhirnya liga kita akan berada pada takuk yang sama. Cerita tunggakan gaji akan berulang saban tahun,” kata Zulakbal. - KitaReporters
KEJAYAAN JDT FC perlu dijadikan panduan kepada kelab lain.