Naim Daniel akui gementar jadi hos Suara Viral 2.0! Danial Zaini bantu dapatkan keserasian!
Published byBERMULA sebagai pelakon kanak-kanak dan seterusnya melangkah ke dunia nyanyian sepuluh tahun kemudian sehingga berjaya menggenggam trofi Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 melalui single ketiganya ‘Sumpah’, Muhammad Naim Daniel Baharin kini maju setapak lagi dengan gelaran pengacara.
Buat julung kalinya, artis muda berusia 24 tahun ini memberanikan diri menerima tawaran sebagai hos bersama Juara Lawak Solo dan penyampai radio, Danial Zaini, 28, untuk program realiti nyanyian, ‘Suara Viral 2.0’.
‘Suara Viral 2.0’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105) dengan episod istimewa 'Uji Bakat Suara Viral 2.0' ditayangkan terlebih dahulu pada Rabu, 10 November 2021, pukul 10 malam sebelum konsert mingguan disiarkan bermula 17 November 2021 selama 10 minggu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Naim Daniel
“Sejujurnya , memang saya gementar pada minggu pertama berada di set tetapi dengan bantuan Danial yang lebih berpengalaman, saya sudah mula dapatkan keserasian,” ujar Naim Daniel kepada media secara maya.
Menurut Naim, sebagai anak seni beliau mahu mencontohi Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee mahupun ‘the singing lawyer’ Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad yang berkebolehan terjun ke dalam pelbagai cabang seni.
Daripada kapsyen yang dimuat naik Daniel di laman instagramnya @naimdanielx membayangkan rasa gementarnya.
“Selagi ada cabang seni yang saya boleh ‘explore’ selagi itu saya tidak akan berhenti mencuba,” jelas Naim sambil mengakui tidak pernah memasuki sebarang kelas latihan pengacaraan sebelum ini.
Menurutnya, beliau mahu belajar melalui pengalaman dan tidak mahu menjadi pengacara yang statik seperti dalam sesi bual bicara.
“Saya lebih analitik dalam mengadaptasikan situasi semasa kerana itu lebih nampak bersahaja dan realitistik tanpa buat-buat,” Naim berpendapat.
Penyanyi angkatan baharu ini merupakan antara artis muda selain rakannya Haqiem Rusli, 23, yang turut dipilih memeriahkan musim kedua Suara Viral.
Namun, Haqiem Rusli dipertanggungjawabkan menduduki kerusi juri tetap bersama penyanyi otai, Datuk Hattan serta Marsha Milan Londoh dan Aina Abdul bersama dua juri jemputan lain.
Dari kiri: Marsha, Hattan, Danial Zaini dan Haqiem Rusli. Foto kredit: Gempak.com.
Pemilihan penyanyi muda dalam ‘Suara Viral 2,0’ dilihat sebagai langkah pihak produksi memberi peluang kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang dan usia.
“Begitu juga dengan pemilihan peserta, jika pada musim pertama ia terbuka kepada barisan penyanyi berkerjaya yang nyanyian mereka tular di media sosial, kali ini diluaskan ke skala yang lebih besar untuk mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh (gambar bawah).
‘Suara Viral 2.0’ bakal menyaksikan enam peserta berentap secara kalah mati untuk setiap pusingan selama tujuh minggu.
Juara mingguan secara automatik akan mara ke peringkat suku akhir untuk bersaing sekali lagi bagi menempah tempat ke pusingan akhir.
Format penjurian untuk edisi kali ini yang diberi penambahbaikan dari segi format asalnya, menggunakan sistem liga, ditentukan berdasar pada pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional.
Empat finalis terbaik sahaja yang akan terpilih untuk beraksi pada pentas akhir bagi merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Lebih menariknya, bagi menambah keunikan musim terbaharu ‘Suara Viral 2.0” ini diperkenalkan kosep ‘Tangga Viral’ yang mana setiap peserta dikehendaki memulakan persembahan masing-masing dengan berdiri pada kedudukan anak tangga teratas.
Sewaktu itu mereka menyahut cabaran dengan menyanyi dalam suasana berlatarkan bayangan silhoutte bagi menambat hati juri .
“Jika juri terhibur serta berpuas hati dengan bakat nyanyian mereka barulah juri akan menekan butang buzzer yang berfungsi untuk menyalakan lampu di setiap anak tangga sekali gus akan mempamerkan wajah peserta yang berjaya dengan jelas,” akhiri Norzeha.
Untuk rekod, ‘Suara Viral’ tahun lalu (2020) menyaksikan 10 peserta dengan Lans Koperal Angkatan Tentera Malaysia, Farah Noorashikin Abdul Rahim (gambar bawah) diangkat sebagai Juara musim pertama, manakala tempat kedua milik seorang Eksekutif Pemasaran, Abdul Hamim Hj Sulaiman (Ameem) dan ketiga dimenangi Krew Teknikel Audio, Ahmad Anis Aznan Kamil atau Boy.
Siapa pula agaknya yang bertuah tahun ini? - KitaReporters