Gegar Vaganza 7! Penyanyi otai nak kena nyanyi rap, hip hop?
Published byBAYANGKAN apabila penyanyi-penyanyi otai yang biasa menyanyi lagu bergenre rock mahu pun irama Malaysia tiba-tiba dicabar menyanyikan lagu hip hop atau rap? Mampukah Noraniza Idris, Mus May mahu pun Yantzen sebagai contoh melakukannya dengan baik? : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Gegar Vaganza:
https://kitareporters.com/search?search=gegar+vaganza
Senario itulah yang bakal anda saksikan jika mereka diberikan tugasan menyampaikan genre hip hop atau rap pada program realiti popular ‘Gegar Vaganza’ musim ke-7 (GV7) yang sekali lagi kembali menghiburkan hujung minggu anda di msaluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) bermula 11 Oktober 2020 depan.
Selain Noraniza Idris, Mus May dan Yantzen (Rusty Blade), konsert mingguan ‘GV7’ yang akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap hari Ahad menampilkan 11 lagi penyanyi lama berpengalaman seperti Ayu Damit, Rozita Izlyn, Linda Nanuwil, Haslinda, Ashira, Cliff Umar (Projek Pistol), Aju (Success), Oja, Nomad serta dua anggota berkumpulan - Indigo dan Eva.
Dengan seramai 14 penyanyi yang terlibat, ‘GV7’ mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini malah bakal menjadi pertaruhan besar pada musim kali ini yang terdiri daripada 6 penyanyi solo lelaki, 6 penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan.
“Saya masuk program ini kerana menyahut cabaran untuk menyanyi lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyi, mungkin lagu-lagu yang saya tak pernah dengar dan lagu-lagu yang saya tak nak nyanyi pun kena nyanyi. Kalau lagu rap, lagilah jahanam,” ujar Mus May ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan artis, juri dan hos ‘Gegar Vaganza 7' pada Selasa, 22 September 2020 di Menara TA One, Kuala Lumpur.
Turut hadir Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal.
"Apa pun saya anggap masuk GV ini satu batu loncatan untuk saya terus berkembang dan anggap GV ini bukan satu pertandingan tetapi satu persembahan. Setiap peserta ada kekuatannya masing-masing," tambah Mus atau nama sebenarnya Mustafa Din.Itu kata Mus May, apa pula yang ditakuti vokalis Rusty Blade yang terkenal dengan lagu ‘Insan’. Yantzen Juniwan, malah pernah menganggotai kumpulan May sebagai vokalis menggantikan tempat Mus yang menubuhkan kumpulan Strangers?
“Bagi saya genre dangdut dan rap. Yalah saya kan penyanyi rock mana pernah berdangdut mahu pun rap. Jadi itulah cabarannya bagi saya dalam GV7 kali ini,” jawab Yantzen ketawa.
Menurut penyanyi yang dah berusia 61 tahun ini, keputusannya untuk menerima tawaran menyanyi di pentas GV7 kali ini lebih kepada nak menghiburkan penonton apatah lagi dalam tempoh PKPP.
“Menang atau kalah adalah adat bertanding tetapi yang penting saya akan memberikan yang terbaik agar semua terhibur,” tambah Yantzen yang katanya, andai menang, dia mahu menggunakan hadiah kemenangan itu untuk melawat anaknya yang sudah lebih setahun tidak ditemui, Alif Ronan, 21, yang sedang melanjutkan pelajaran di Yemen Selatan.
Seperti Mus May dan Yantzen, penyanyi terkenal dalam irama tradisional, Noraniza Idris, 52, juga rasa gementar andai kata diberikan lagu bergenre yang diminati muda mudi era ini.
“Kalau rap memang janggal untuk Kak Ani buat jadi kenalah belajar bagaimana nak bercakap mengikut lirik yang susah tu. Tetapi anak Kak Ani yang kedua banyak bagi sokongan dan nasihat bagaimana nak rap,” ujar Nor Aniza Hj Idris ini yang lebih mesra membahasakan dirinya Kak Ani.
Menurutnya, atas pujukan syarikat pengurusan Mind Order yang berpendapat kehadirannya untuk GV perlu dilihat sebagai satu motivasi agar beliau membuka minda luas dan melihat masa hadapan selepas GV dan bukan untuk bertanding membuatkan hatinya terbuka untuk menerima lamaran.
“Jadi Kak Ani anggap masuk GV ini bukan untuk bertanding tetapi lebih kepada memeriahkan persembahan malah sanggup untuk memasuki kelas vokal. Bayangkan selama 33 tahun tak pernah belajar vokal tetapi dunia sekarang ni terpaksalah belajar asas vokal balik,” ujar Noraniza yang rela menerima apa sahaja kritikan daripada juri profesional sama ada Dato Ramli MS mahu pun Datuk Khadijah Ibrahim.
Pun begitu katanya, sebagai penyanyi lama, beliau tetap akan menjaga tatasusilanya seperti yang dinasihati suami dan anak-anak agar tidak terkinja-kinja di pentas.
Seperti biasa, selain juri tetap, akan ada juri jemputan diundang pada setiap minggu secara bergilir-gilir bagi mengadili persembahan para bintang.
Masih mengekalkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara bersama, personaliti SINAR, Falyg Hikyle (gambar bawah, dua dari kanan) dilantik sebagai hos untuk program ‘Kapsul Gegar Vaganza’ manakala personaliti ERA, Daniel dan Fiza Frizzy (dua dari kiri) digandingkan sebagai hos untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan dalam platform digital.
Juara GV7 bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga akan beroleh RM50,000 dan RM30,000 berserta trofi. Bagi pemenang tempat keempat, kelima dan keenam, mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong waima masing-masing bakal membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.
Siapakah juaranya kali ini? Ikuti Konsert Mingguan GV7 selama 10 minggu bermula 11 Oktober dengan tagline ‘Mara Suara Membara’ nanti ya. - KitaReporters