PENDUDUK daerah Besut yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua minggu lalu beruntung kerana mereka terus mendapat bantuan makanan yang disumbangkan oleh pelbagai pertubuhan sukarela Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menghantar ke rumah masing-masing. : KitaReporters

Telur turut menjadi pilihan disumbangkan kepada penduduk

Mereka tidak perlu keluar beramai-ramai untuk mendapatkan bekalan terbabit, sebaliknya,mereka dikehendaki berada di rumah masing-masing dan akan ada sukarelawan yang datang menyampaikan sumbangan bantuan terutama bahan makanan asas.

Selepas minggu pertama orang ramai mendapat bahan bekalan asas untuk keperluan keluarga, kini trend baharu pengagihan bekalan diubah kepada bahan basah termasuk ikan segar, telur dan ayam.

Bekalan ayam untuk diagihkan kepada penduduk sekitar DUN Jertih


Antara badan sukarela yang tampil menghulurkan sumbangan ialah parti-parti politik, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk, Group Anak-Anak Jertih Besut (AAJB) dan tidak ketinggalan usahawan tempatan.

Penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, mendapat manfaat besar apabila pelbagai pertubuhan menggerakkan jentera untuk mengagihkan sumbangan kepada orang ramai.

Pada Sabtu, 28 Mac 2020, sebuah NGO, yang tidak mahu menyebutkan namanya, menyumbangkan 500 ekor ayam melalui Pejabat Penyelaras DUN Jertih untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan bahan basah.

Penduduk gembira menerima sumbangan ayam


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bersama Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Abd Rozak Mohammad menerima sumbangan dari NGO terbabit.

Muhamad Pehimi berkata, pengagihan ayam segar itu diberikan kepada mereka yang sebelum ini tidak menerima apa-apa sumbangan daripada pihak tertentu.

Manakala seorang peniaga ikan dari Kampung Lak Lok, Jertih, yang juga tidak mahu disebutkan namanya, bermurah hati menyumbangkan ikan basah kepada penduduk sekitar kampung itu pada Jumaat, 27 Mac 2020.

Ikan segar sumbangan seorang peniaga untuk diagihkan kepada penduduk di Kampung Lak Lok, Jertih


Pengagihan ikan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang mengagihkan ikan dari rumah ke rumah.

Manakala Kumpulan AAJB pula mengagihkan pelbagai jenis bahan basah termasuk telur ayam untuk keperluan keluarga yang tinggal di rumah kerana mematuhi PKP.

Kamal Idris Sukarelawan dari Kumpulan AAJB mengagihkan sumbangan telur kepada penduduk


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Mohammad berkata, sehingga ini 95 peratus penduduk daerah itu mematuhi arahan PKP sejak kerajaan menguat kuasanya pada 18 Mac 2020.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak berpuas hati kerana masih ramai ibu bapa yang membiarkan anak mereka berkeliaran di jalan raya dan tempat awam ketika PKP dilaksanakan sekarang. - KitaReporters

2
1
1
0
0

Copy Link: