HENDAK dikata sudah tebal muka, mungkin ya!! Kalaupun sampai dikata orang cuba menagih simpati, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memang mengakuinya. Justeru kepada orang ramai terutama para penyokong pasukan Kelantan FC, KAFA dengan rendah diri kini merayu bantuan kewangan mereka. : KitaReporters

AHMAD Muzakkir Hamid (kiri) merayu derma orang ramai secara online bagi membantu menjelaskan tunggakan gaji Casio Francisco De Jesus. - Kredit foto: FB Ahmad Muzakkir Hamid 


Jika tidak, jadilah ‘The Red Warriors’ (TRW) macam Perlis yang digantung daripada saingan bola sepak negara sejak musim lalu gara-gara gagal melunaskan tunggakan gaji para pemainnya.   

KAFA dalam siaran media pada Sabtu, 9 Mei 2020, merayu sumbangan mereka untuk menjelaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28.

CASIO juga bekas pemain beberapa kelab Indonesia. - Kredit foto Galeri Semen Padang FC


“KAFA telah diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membayarnya dalam tempoh 30 hari bermula 23 April 2020.

“KAFA tidak mempunyai banyak masa tambahan pula Liga Malaysia telah direhatkan (sejak 16 Mac lalu) kerana pandemik maut Covid-19.

“Dengan rasa rendah diri KAFA merayu serta menagih simpati daripada semua untuk membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita. 

"Bantulah KAFA dengan seadanya dan semampunya. Sayangilah bola sepak kita,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak persatuan, Ahmad Muzakkir Hamid dalam siaran media itu.

Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, KAFA juga diakui sudah semakin sukar mendapat sumber kewangan yang mencukupi untuk menjelaskan tunggakan gaji bekas bek tengahnya dari Brazil itu.

KELANTAN FC (jersi biru) mungkin senasib Perlis digantung daripada Liga M jika gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya itu. - Kredit foto: MFL


Sekiranya tidak dapat menjelaskan apa jua tuntutan yang diarahkan oleh FIFA itu tambahnya, KAFA mungkin dikenakan tindakan yang lebih berat, selain merumitkan skuad Yusri Che Lah untuk terus bersaing dalam Liga Perdana.

“KAFA kian terhimpit apabila segala urus niaga dengan rakan kongsi termasuk penualan jersi pasukan TRW terhenti ketika ini manakala bakal penaja yang dijadualkan bersama kami Jun ini juga mengambil langkah berdiam diri.

“Justeru KAFA memohon bantuan orang ramai terutama para penyokong bola sepak Kelantan untuk menderma seberapa sahaja yang mereka mampu, secara atas talian ke dalam akaun bank kami bagi membolehkan segala tuntutan gaji (De Jesus) yang diarahkan FIFA ini dibayar,” katanya.

Orang ramai boleh menyumbangkannya menerusi akaun Maybank KAFA yang bernombor 553010630676.

BARISAN pucuk pimpinan KAFA penggal 2019-2023 yang diketuai Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (bersongkok, tengah). - Kredit foto Facebook Ahmad Muzakkir Hamid 


De Jesus, 31, merupakan bek tengah TRW dari musim 2018 hingga 2019 yang kini menyarung jersi kelab Indonesia, Barito Putera selain pernah mewakili skuad bawah 20 tahun Brazil.

“KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari semasa ke semasa kepada para penyokong yang mendermanya. Resit (atau penyata bank) sumbangan juga boleh dihantar mereka melalui aplikasi WhatsApp bernombor 013-928 3293," katanya.

0
0
3
0
0

Copy Link: