Kutipan RM2.56j! Syahmi: Dari Youtuber jadi pengarah filem!
Published byPengarahnya hanya bermula sebagai seorang Youtuber yang beralih ke filem, tetapi siapa sangka filem arahan pertama Syahmi Sazli berjudul ‘Mael Totey The Movie’ (MTTM) yang membariskan nama-nama baharu mampu meraih RM2.56j dalam tempoh empat hari tayangan di pawagam rumah sahaja melalui Astro First. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Syahmi Sazli:
https://kitareporters.com/search?search=syahmi
Inilah yang dikatakan, ‘tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ kerana yang Maha mengetahui hanya Allah sahaja.
Malah, Syahmi (gambar bawah, tengah) juga membuktikan nama-nama besar dalam sesebuah filem bukan jaminan utama untuk beroleh kejayaan kerana 'MTTM' sekadar dibintangi rakan selebriti Youtubernya, Yoe Parey (kanan) dan Asif Suhaimi (kiri) dengan dibantu oleh Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.
Daler Yusof (kiri) antara pelakon terkenal yang turut berlakon dalam 'MTTM' bersama Emaleen Minhad.
‘Mael Totey The Movie’ mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael, lakonan Shaymi sendiri, yang berusaha mempelajari bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.
Namun dalam tempoh itu, Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, Cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.
Menarik tak korang rasa?
“Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” ulas Syahmi berhubung kejayaan yang diraih.
Untuk pengetahuan semua, Syahmi Sazli bersama Yoe Parey dan Asif Suhaimi sering berjaya memikat hati penonton menerusi video pendek yang dihasilkan sehingga tular.
Setakat bulan ini, semua 24 episod drama spontan karya mereka telah mencatat 94.74 juta tontonan selepas dimuat naik kira-kira Jun 2019 lalu.
Gelagat mereka yang bersahaja dengan menggunakan dialek Kelantan dalam menjayakan karakter yang dibawa ternyata memberi kelainan buat tontonan penonton.
Sokongan peminat yang sering menantikan konten terbaru daripada mereka, mendorong Syahmi Sazli tampil dengan filem arahan pertamanya, 'Mael Totey The Movie'.
“Jika sebelum ini peminat hanya dapat menyaksikan drama spontan lakonan Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif dalam platform media sosial dengan durasi video kurang 20 minit, tetapi kali ini peminat boleh menonton mereka lebih lama dengan kualiti filem. Ini adalah sesuatu yang baru buat industri perfileman di mana Youtuber beralih ke skrin yang lebih besar seperti filem,” ujar Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
Menuruy Raja Jastina, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.
“Ternyata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan,” tambah beliau.
Mengulas lanjut peluang yang diberikan, Syahmi berkata:
“Sebelum ini saya ada terlibat sebagai pelakon dalam sebuah filem. Bermula dari situ, rata-rata peminat memberi galakan untuk hasilkan filem saya sendiri. Kebetulan memang sudah ada idea asal Mael Totey tetapi ia untuk drama bersiri bagi tayangan di televisyen. Selepas berbincang, akhirnya karya ini diangkat menjadi filem. Perasaan saya sangat gementar kerana ini adalah kali pertama mengarahkan filem dan berlakon sekali.”
Jika korang nak tahu, gelaran ‘Totey’ sememangnya tidak asing dalam kalangan masyarakat Kelantan. Watak utama yang dibawa oleh Syahmi Sazli di dalam filem, bakal menterjemahkan gelaran tersebut menerusi karakternya.
Jadi jika nak tonton apa istimewanya 'MTTM' ini sehingga mampu mencecah jutaan ringgit bahkan video teasernya sahaja yang dikongsi dalam platform media sosial meraih lebih 1.2 tontonan dalam tempoh 24 jam, bolehlah melanggan ke saluran 480, Astro First di mana dengan membayar RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw. - KitaReporters