Gerobok Makanan Taman Danau Kota masih beroperasi! Penduduk masih boleh ambil bantuan makanan!
Published byBARANGAN makanan asas siap dibungkus untuk mereka yang memerlukan di Gerobok Makanan Danau Kota, Setapak.
GEROBOK Makanan Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 19 Jun 2021 sepatutnya sudah ditutup kerana jumlah yang memerlukan sumbangan makanan asas sudah menurun. Matlamat membantu golongan yang terkesan lantaran pandemik Covid-19 berjaya dipenuhi.
Ramai yang telah mendapat rahmat bantuan daripada gerobok
ini bagi meringankan beban yang ditanggung. Pelbagai barang keperluan asas termasuk
beras, tepung, gula, minyak masak, telur, bihun dan sardin diagihkan kepada
mereka.
Dengan keadaan Covid-19 kian bertambah baik dan angka jangkitan harian menurun, jumlah mereka yang datang mendapatkan bantuan juga berkurang. Jumlah sumbangan barang daripada penderma juga berkurang, tetapi masih ada.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bank makanan
ANTARA stok barangan asas di Gerobok Makanan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menurut salah seorang ahli jawatankuasa Gerobok Makanan, Guli Tahir, keputusan diambil untuk gerobok terus dibuka dan sumbangan masih diteruskan. Ini kerana setiap kali barangan hampir dihabis, ada sahaja dermawan menghulur bantuan.
“Mungkin ini memang rezeki mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada yang memberi sumbangan. Kami akan terus menghulur sumbangan selagi ada bekalan,” katanya.
Menurut beliau, operasi gerobok masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu tiga hari seminggu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Namun kaedah pemberian sumbangan kini diubah suai. Jika dahulu mereka datang dan memilih barang keperluan dengan dipantau, kini barang sumbangan sudah siap dibungkus. Penerima cuma perlu datang mengambil.
“Setiap hari sebanyak 10 bungkusan bahan makanan disediakan. Bagaimanapun jika ada keperluan, jumlah ini akan ditambah,” kata Guli.
Menurutnya, jumlah 10 bungkus ini biasanya akan habis diambil sekejap sahaja yang bermakna memang masih ada yang memerlukan bantuan makanan untuk keluarga.
“Kerana itu jika ada sokongan dan sumbangan berterusan daripada para dermawan, kami bersedia meneruskan operasi gerobok ini walau pun dalam skala kecil,” katanya.
Jika ada sesiapa yang berhajat memberi bantuan untuk membolehkan Gerobok Makanan Danau Kota terus beroperasi bolehlah datang ke tempat operasi gerobok di kabin taman permainan kanak-kanak Danau Kota. Bantuan anda sangat dihargai demi kelangsungan hidup mereka yang memerlukan. - KitaReporters
GULI TAHIR