SEMANGAT tagline #BUDAKHIJAU menjadikan murid Tahun Lima Teratai, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP) di Klang, Selangor, Muhammad Aidil Zariff Zainal kini semakin berbakat dan menyerlah dalam sukan permotoran yang mula diceburi sejak berusia lapan tahun.

Bermula dengan hanya menggunakan basikal motor elektrik yang disewa untuk bermain di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran, Klang ketika mengikuti ibu bapanya berniaga di situ, Zariff kini memiliki pocketbike (PB).

Bapa Zariff, Zainal Mat Din, berkata melihat kecekapan anaknya itu mengendalikan basikal motor elektrik dia dengan persetujuan isterinya, Siti Noraszariyah Mohd Tumiri berpakat untuk membeli PB supaya bakat anaknya itu dapat terus diasuh.


Muhammad Aidil Zariff Zainal (tengah) bersama ibu bapanya (kiri) dan Guru Besar SKRP, Hazi Kadir (dua dari kanan).


Menurutnya, sebelum negara dilanda wabak Covid-19 dia membawa Zariff berjinak-jinak dengan menunggang PB di atas track sewa dengan mematuhi ciri-ciri keselamatan selain PB yang menggunakan petrol tidak sesuai lagi ditunggang di kompleks sukan berkenaan.

Tambahnya, dengan kecekapan dan minat mendalam Zariff dalam sukan permotoran dia membawa anaknya itu menyertai pelumbaan pertama PB iaitu di Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu pada 2021.

“Bermula selepas perlumbaan ini sebagai ibu bapa kami cuba masukkan Zariff dengan menyertai beberapa perlumbaan yang secara tidak langsung memberi peluang dia untuk belajar dari segi perlumbaaan itu di samping dapat juga meningkatkan cara menunggang PB supaya lebih baik,” ujarnya. 


Zariff bersama rakan pelumba dan trofi yang dimenangi.


Selepas setahun mengendalikan PB, Zainal mendedahkan Zariff kepada motor berkuasa atau ‘CC’ lebih besar dengan membelikan motor KSR yang memiliki ‘clucth’ dan pada Februari 2022, beliau membawa anaknya itu ke pemilihan pertandingan SIC Ohvale Junior Championship 2022 di bawah anjuran FIM MiniGP Malaysia apabila Zariff berjaya terpilih daripada 33 peserta yang hadir ketika itu.

Kejayaan itu mendorong Zainal untuk memfokuskan Zariff dengan latihan motor KSR supaya bertambah baik kemahiran serta dapat mendalami ilmu cara berlumba dengan baik dan cemerlang.

Zainal berkata, penglibatan bersama SIC Ohvale Junior Championship 110cc adalah sebagai titik permulaan untuk pelumba yang berumur 8 hingga 11 tahun seperti Zariff mencari pengalaman dalam dunia perlumbaan sebelum mereka layak untuk menyertai kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 160cc dan 190cc berkenaan. 


Murid Tahun Lima Teratai, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang, Muhammad Aidil Zariff Zainal menerima ucapan tahniah daripada guru dan rakan sekolah.


Menurutnya, kejuaraan FIM MiniGP adalah sebuah platform yang baru sahaja dilancarkan oleh FIM bersama dengan ZKRacing bagi menyatukan dan menyeragamkan pertandingan MiniGP dari seluruh dunia di bawah payung yang sama untuk pelumba muda di seluruh dunia berumur antara 10 tahun dan 14 tahun.

Tambahnya, platform itu bertujuan membangunkan bakat muda negara seperti Zariff untuk lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan pemenang tempat pertama dan kedua bagi Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 160cc dan 190cc akan diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam Final Dunia, yang akan berlangsung selama seminggu menjelang acara MotoGP akhir musim setiap tahun di Valencia, Sepanyol.

Beliau berkata, sebagai bapa dia dan isteri memang banyak memberi galakkan kepada Zariff dengan memberi bimbingan di samping selalu bertanya anaknya itu sama ada ingin menyertai atau tidak jika ada pertandingan yang akan dianjurkan, selain cuba beralih dari PB kepada motosikal CC yang lebih besar.


Hazi sentiasa turun ke litar untuk memberi semangat kepada Zariff yang membanggakan nama SKRP.


Sehubungan itu, jelasnya, sebagai Ibu bapa dia mengambil tanggungjawab untuk menguruskan Zariff kerana beberapa perkara perlu dititikberatkan dan diberi perhatian untuk beliau terus fokus pada siri akan datang.

“Penyelenggaraan motorsikal yang sempurna dan pengurusan yang baik menjadi tumpuan penting bagi penunggang serta pengurus pasukan untuk terus berada pada siri ini dan seterusnya menempatkan diri di podium untuk setiap lokasi jadual yang ditetapkan,” ujarnya.

Menyingkap mengenai proses latihan, Zainal berkata, kerana bermula agak lambat iaitu penghujung 2019 dan baru hendak berjinak dengan PB selain masalah pendemik Covid-19, dia tetap berusaha membawa Zariff  menjalani latihan asas PB seperti membuat bulatan lapan serta pusingan donut untuk mengekalkan stamina.


Ahli keluarga, guru dan rakan SKRP sentiasa datang ke litar memberi sokongan dan semangat kepada Zariff.


Beliau berkata, untuk motor KSR pula, sekarang ini dia membawa Zariff ke litar yang berdekatan seperti Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (LLRKS) setiap hujung minggu dan komitment diberikan sangat berbaloi dengan pencapaian Zariff miliki sekarang walaupun masih pada peringkat terlalu awal.

Menurutnya, Zariff berazam untuk lebih fokus dan bersedia mengharungi perlumbaan dengan lebih berkeyakinan bagi mencapai kemenangan yang tidak dijangka, sekali gus dia bukan sekadar berjaya meraih kemenangan podium tetapi merangkul gelaran Overall Champion 2023.

“Sejak aktif dalam sukan permotoran ini anaknya tidak menghadapi masalah dalam pembelajaran malah dia cuba menjadualkan dengan sebaik mungkin pergerakkan Zariff untuk mengikuti latihan atau menyertai pertandingan terutama bagi memastikan kehadiran ke sekolah tidak terganggu," kata Zainal lagi.


Zariff tidak lupa untuk kongsikan kejayaan dengan guru SKRP yang memberi dorongan bagi membina kecemerlangan dalam sukan permotoran.


Sementara itu Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKRP, Zulkifli Kamarulzaman, berkata warga SKRP cukup berbangga dengan pencapaian Zariff dalam sukan permotoran di samping memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk mencapai kejayaan buat diri sendiri dan sekolah.

Menurutnya, satu sikap yang baik supaya sesi permotoran dapat diketengahkan di tempat yang betul iaitu di litar bukan di jalan raya tanpa ada undang-undang serta merupakan juga saluran terbaik untuk membuktikan kemahiran dan minat tanpa melanggar undang-undang jalan raya selain keselamatan diri sendiri.

Jelasnya, sebagai contoh Zariff dilatih dan diajar mengenai keselamatan, kemahiran dan membina disiplin diri tinggi di samping memiliki ketahanan fizikal yang tinggi bagi menghadapi cuaca panas, kedudukan membongkok terlalu lama serta jati diri tinggi untuk bersaing dengan rakan lain.

“Sikap tidak mudah berputus asa, keyakinan diri ketika mengendalikan motor pada kelajuan yang tinggi dan perasaan menerima apa sahaja keputusan sama ada kalah atau menang dengan hati cekal serta berdepan pelbagai situasi dalam perlumbaan ditunjukkan oleh Zariff dengan baik,” katanya.

Antara pencapaian cemerlang Zariff termasuklah tempat pertama pada Melaka Minibike Grand Prix 2021; Mini Cupprix 2022 di Stadium Mini Bandar Salak Tinggi, Sepang (tempat keempat); SIC Ohvale Junior Championship 2023 di Litar Go-Kart Sepang; dan pada beberapa perlumbaan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Perlis dan Langkawi. - KitaReporters


Zariff berazam menjadi pelumba profesional bertaraf dunia.

44
12
0
15
0

Copy Link: